SHAH ALAM - Cadangan kerajaan untuk membenarkan kembali pergerakan rentas negeri setelah liputan vaksin dewasa mencapai 90 peratus kini semakin hampir apabila kadar vaksinisasi semasa sudah melebihi 87 peratus setakat Ahad.
Walaupun ramai yang tidak sabar menanti kelonggaran tersebut, namun segelintir pakar turut berpendapat keputusan pembukaan sepenuhnya rentas negeri masih terlalu awal kerana jumlah kes harian Covid-19 di Malaysia masih tinggi.
Setakat 4 Oktober kes harian di Malaysia berjumlah 8,075 kes.
Pakar Kesihatan Awam daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, cadangan pembukaan rentas negeri itu terlalu awal kerana walaupun kadar vaksinasi sudah mencapai sasaran, namun masih terdapat golongan yang belum di vaksin dan terdedah kepada virus seperti kanak-kanak.
"Sasaran 90 peratus ini adalah kadar vaksinasi dewasa. Kita masih ada golongan kanak-kanak di bawah 12 tahun dan mereka berumur 12 hingga 17 tahun yang tengah atau baru mengambil vaksin.
"Mereka ini masih rentan kepada virus kerana belum di vaksin. Oleh itu, kerajaan harus mempertimbangkan pembukaan rentas negeri sehingga kita mendapat kadar vaksinasi tinggi termasuk golongan kanak-kanak,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Walaubagaimanapun, Sharifa Ezat menyedari bahawa untuk menunggu sehingga kadar vaksinasi mencapai 90 peratus termasuk golongan kanak-kanak akan memakan masa yang lama, jadi masyarakat dinasihati untuk sekurang-kurangnya membuat saringan pergi dan balik sendiri dalam tempoh tiga hari perjalanan jika ingin merentas negeri.
"Untuk menunggu 90 peratus kadar vaksinasi termasuk golongan kanak-kanak itu mungkin lambat terutamanya bagi mereka yang sudah lama tidak melawat ibu bapa, pasangan jarak jauh atau hantar anak ke sekolah.
"Oleh itu, amat penting untuk kita menyaring diri sendiri sebelum pergi dan pulang balik kerana kita tidak pasti sama ada kita adalah pembawa yang boleh menyebarkan virus ke kampung atau tempat lain.
"Kedua, kita juga tidak tahu sama ada orang di kampung sudah menerima vaksin atau tidak kerana ada beberapa negeri yang masih rendah kadar vaksinasi nya seperti Kelantan dan Pahang,” katanya.
Dalam pada itu, kadar populasi dewasa yang sudah lengkap di vaksinasi adalah 87.6 peratus manakala mereka yang sudah menerima suntikan sekurang-kurangnya satu dos adalah 92.3 peratus sehingga 3 Oktober tahun ini.
Selain itu, Sharifa Ezat berkata, faktor kes tinggi atau rendah bukanlah kebimbangan utama untuk merentas negeri tetapi melihat kepada situasi kadar vaksinasi sesebuah negeri tersebut.
"Kita mesti melihat kadar vaksinasi dan bukan sahaja angka kes yang tinggi atau rendah. Kebanyakan kes adalah kategori satu dan dua dan ramai yang sudah vaksin jadi saya hanya berpegang kepada kadar vaksinasi itu sahaja.
"Jika vaksinasi di negeri itu tinggi, maka kadar kes baharu akan rendah manakala jika kadar vaksinasi rendah, kes baharu akan bertambah. Kita tidak boleh lupa bahawa masih ada negeri-negeri yang kadar vaksin tidak sampai 70 peratus jadi negeri-negeri ini tidak sesuai untuk dibenarkan merentas melainkan oleh sebab-sebab darurat,” katanya.
Sharifa Ezat mencadangkan bahawa jika kerajaan tetap akan memberi kebenaran untuk merentas negeri, kerajaan patut memberi kelonggaran pada negeri-negeri yang mempunyai kadar vaksinasi tinggi terlebih dahulu di samping masyarakat mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan kendiri yang baik.
"Kerajaan boleh buka kelonggaran rentas negeri kepada negeri-negeri yang mana kadar vaksinasi nya tinggi terlebih dahulu.
"Bagi saya, secara umum, kerajaan tidak perlu tergesa-gesa memberi kebenaran perjalanan pulang selagi tidak mencapai kadar vaksinasi yang tinggi buat semua golongan termasuk kanak-kanak,” katanya.
Peratus kumulatif pemberian dos vaksin Covid-19 (Sehingga 3 Oktober 2021) :
• Peratus populasi keseluruhan - 1 dos 73.0%
• Peratus populasi keseluruhan - lengkap 63.1%
• Peratus populasi dewasa - 1 dos 94.3%
• Peratus populasi dewasa - lengkap 87.6%
Bilangan kes Covid-19 (Sehingga 4 Oktober 2021) :
• Bilangan kes baharu 8,075 kes
• Bilangan kes kumulatif 2,285,640 kes
Klik di sini untuk terus membaca