Kerajaan negeri Melaka gabungan pimpinan BN/UMNO dan Perikatan Nasional/Bersatu dilihat telah tumbang susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

Kerajaan negeri Melaka gabungan pimpinan BN/UMNO dan Perikatan Nasional/Bersatu dilihat telah tumbang susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali hari ini.

Empat ADUN tersebut termasuk bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Untuk rekod, kerajaan negeri Melaka dipimpin Sulaiman daripada parti UMNO selepas PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) yang tumbang pada bulan Mac tahun lalu.

Persoalannya kini, apakah landskap seterusnya untuk kerajaan negeri Melaka susulan penarikan sokongan itu yang menyaksikan Sulaiman kini hanya mempunyai 13 sokongan ADUN Melaka daripada keseluruhan 28 kerusi di DUN negeri itu.

Menurut Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib@Khalid, apabila empat ADUN terbabit menyatakan undi tidak percaya kepada Ketua Menteri, komposisi kerusi 17 blok kerajaan dan 11 blok pembangkang akan masih sama sekiranya empat ADUN mahukan pengganti KM dari blok kerajaan sendiri dan bukannya pembangkang.

"Melainkan telah jelas empat ADUN tersebut menyokong blok pembangkang iaitu PH maka sudah pasti pengiraan undi dilakukan di peringkat DUN untuk melantik Ketua Menteri yang baharu.

"Sebaliknya jika mereka menolak Sulaiman sebagai individu tetapi masih mahu kepimpinan dari blok yang sama, maka belum tentu PH mendapat peluang untuk mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri di Melaka," ujar Kartini kepada Sinar Premium pada Isnin.

Secara mudahnya, kerajaan negeri Melaka boleh dianggap 'tumbang' berikutan Ketua Menteri sedia ada hilang kepercayaan tetapi pada masa sama, tidak dianggap tumbang sekiranya pengganti beliau kelak dari blok yang sama.

PROF DR KARTINI
Kata Kartini lagi, kekecohan politik negeri Melaka ini juga merupakan satu bentuk ujian terhadap maksud persefahaman antara kerajaan dan blok pembangkang.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan apa yang berlaku kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau Peja yang terpaksa melepaskan jawatan Ketua Menteri Perak susulan tindakan UMNO dan DAP mempersoalkan kepimpinan beliau turut boleh berlaku di Melaka.

EMPAT ADUN KUASA PENENTU

Bagi penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian, keempat-empat ADUN terbabit, masing-masing dua daripada UMNO, seorang daripada Bersatu dan seorang Bebas merupakan penentu kepada lanskap politik negeri Melaka pada ketika ini.

Katanya, 'nasib' ketua menteri dan kerajaan negeri bergantung kepada sokongan empat ADUN terbabit sama ada mahu berpihak kepada blok pembangkang atau berdiri secara bebas.

"Keempat- empat mereka kini menjadi ‘penentu’ dan perancangan dilakukan secara strategik untuk memberi impak kepada tumbangnya kerajaan negeri," ujar Sivamurugan.

PROF DR SIVAMURUGAN
Namun adakah dengan pertukaran ketua menteri baharu akan membuat mereka kembali menyokong kerajaan negeri atau ada faktor lain yang menyebabkan mereka menarik sokongan? "Kemungkinan pada fasa ini, mereka menarik sokongan untuk melihat tindak balas kerajaan negeri dan barisan kepimpinan utama.

"Adakah ini sebenarnya satu pertembungan peribadi atau benar-benar tidak bersetuju dengan kepimpinan, jawapan ada pada mereka," katanya lagi.

Ditanya kebarangkalian PH mengintai ruang untuk cuba kembali menguasai Negeri Hang Tuah itu, Sivamurugan tidak menolak kemungkinan ia berlaku melainkan jika keempat-empat ADUN terbabit membuat keputusan untuk tidak berpihak kepada mana-mana gabungan politik.

Klik di sini untuk terus membaca