ALOR SETAR - Kedah dijangka menerima hujan melebihi purata tahunan dalam tempoh tiga bulan bermula September dan berterusan sehingga awal November.
Pengarah Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Ab Aziz berkata, ia berikutan fasa peralihan monsun dari Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut yang menyebabkan berlaku tiupan angin dari pelbagai hala dan berubah-ubah, selain hujan dan ribut petir.
Menurutnya, berdasarkan purata taburan hujan dalam tempoh 30 tahun, peningkatan dijangka melebihi 20 hingga 25 peratus untuk tiga bulan ini.
"Purata taburan hujan untuk September yang direkodkan ialah 278.4 milimeter (mm) diikuti Oktober sebanyak 292.7mm dan November (222.1mm). Tiga bulan ini menerima paling banyak hujan dan paling tinggi dalam tahun ini,” jelas beliau.
Muhammad Khalil berkata, berdasarkan tinjauan jangka panjang setakat Rabu lalu menunjukkan penerimaan hujan untuk September dijangka mencecah 351mm, diikuti Oktober sebanyak 350mm serta November (320mm) yang mana kesemuanya melebihi purata tahunan.
"Secara amnya, pada sebelah pagi cuaca cerah dan baik namun menjelang petang atau tengah malam akan berlaku ribut petir yang membawa kepada hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa singkat,” katanya.
Menurutnya, jangkaan itu dibuat berdasarkan keadaan yang disebabkan oleh peralihan monsun selain konsensus hidrologi mengikut pengiraan model tinjauan iklim dari beberapa negara seperti Jepun dan Eropah.
"Dengan adanya data berkenaan, kita boleh melakukan persediaan awal untuk berdepan bencana. Semua data telah dibentangkan kepada jawatankuasa bencana negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk agensi berkaitan bersiap siaga,” katanya.
Muhammad Khalil berkata, ia juga sebagai rujukan kepada penduduk setempat agar lebih bersedia dengan perubahan cuaca dan kemungkinan berdepan bencana seperti banjir.
"Semua pihak perlu bersedia dan peka dengan perubahan cuaca. Sekiranya dikeluarkan amaran laut bergelora, elak ke kawasan laut untuk riadah. Perlu ambil langkah berjaga-jaga yang bersesuaian.
"Semua daerah di Kedah akan menerima lebih taburan hujan, bukan hanya daerah tertentu. Disebabkan itu, sentiasa waspada apabila hujan berterusan bagi tempoh beberapa hari kerana tanah akan tepu dengan air sehingga menyebabkan banjir,” katanya.
Mengulas mengenai banjir melibatkan beberapa daerah iaitu Baling, Sik, Kuala Muda, Padang Terap dan Yan sejak Selasa, beliau berkata, ia bukan semata-mata disebabkan oleh faktor cuaca atau hujan lebat.
"Selain faktor alam semula jadi, faktor guna tanah turut menyumbang seperti perumahan atas tanah pertanian. Penerokaan hutan untuk pembangunan dan kediaman juga antara punca banjir. Oleh itu semua aspek ini harus seimbang,” katanya.
Tambahnya, kesan bencana dapat diminimumkan dengan mengambil langkah berjaga-jaga selain cepat bertindak.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Khalil memaklumkan terdapat dua buah stesen pencerapan permukaan utama di Alor Setar dan Langkawi yang merekodkan data secara automatik.
"Sebanyak 23 stesen sokongan lain pula merekodkan data secara manual dan kurang tepat, kita sedang menaik taraf kepada stesen automatik secara berperingkat untuk data lebih tepat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca