YAN - Penduduk di kaki Gunung Jerai di sini yang menjadi mangsa bencana kepala air pada 18 Ogos lalu sehingga kini masih trauma dan khuatir kejadian sama akan berulang.
Seorang penduduk di Kampung Setol, Nasriah Ali, 66, berkata, setiap kali hujan lebat, dia dan keluarganya tidak dapat melelapkan mata.
Menurutnya, perasaan takut dan trauma sentiasa menghantui diri mereka, apatah lagi Kedah ketika ini sudah memasuki musim tengkujuh.
"Selepas kejadian hari itu, kerap berlaku hujan lebat. Walaupun tiada kejadian tidak diingini tetapi kami sangat takut.
"Jika hujan pada waktu malam, saya sanggup menahan mata supaya tidak tidur. Saya takut kalau tiba-tiba kepala air turun lagi dan kami tak sempat untuk selamatkan diri,” katanya kepada Sinar Harian.
Seorang lagi penduduk, Nor Faizah Ismail, 33, berkata, setiap kali cuaca kelihatan mendung dan hujan lebat di atas gunung, hatinya tidak tenteram memikirkan ibu dan ayahnya yang uzur di rumah.
"Ibu (Rohana Ali, 73) diserang angin ahmar, ayah (Ismail Jusoh, 77) pula sakit tua.Kedua-dua mereka tidak mampu bergerak sendiri dan hanya terlantar di atas katil.
"Kalau nampak cuaca gelap, saya akan hubungi ibu saudara yang tinggal berdekatan untuk bertanyakan keadaan semasa.
Rumah saya terletak hanya kira-kira 50 meter dari sungai. Dalam kejadian lepas, rumah saya antara yang teruk dilanda banjir lumpur,” katanya.
Bagi Jamilah Saad, 47, dari Kampung Mat Acheh pula, dia dan jirannya mengambil keputusan tidak menyusun atur kelengkapan rumah seperti sebelum ini.
"Sekarang masih hujan. Kami risau kalau kejadian sama berulang lagi dan perkakas rumah tidak dapat diselamatkan seperti sebelum ini.
"Setakat ini kami hanya membuka barang rumah yang perlu sahaja. Mood untuk menghias rumah belum ada,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Rizan Mahmud, 38, dari Taman Lembah Merbok di daerah Kuala Muda berkata, isterinya, Rohaizana Yahya, 39, yang baru melahirkan anak kelima mereka pada 12 September lalu masih trauma setiap kali hujan.
"Ketika kejadian, isteri saya terpaksa panjat siling rumah dalam keadaan sarat mengandung untuk menyelamatkan diri. Pengalaman pahit itu menyebabkan dia trauma sehingga kini.
"Sekarang setiap kali hujan, dia tidak beri saya keluar ke mana-mana kerana risau kejadian sama berulang,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca