ALOR SETAR - Fenomena kepala air atau aliran puing dari puncak Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu mengejutkan negara apabila mengorbankan enam nyawa selain kerosakan harta benda dan alam semula jadi.
Limpahan kepala air yang berlaku selepas lebih dua jam hujan lebat turut mengakibatkan banjir besar sehingga menjejaskan lebih 800 rumah di daerah Yan dan 200 buah rumah di Kuala Muda.
Ia turut menyebabkan sebanyak 124 premis perniagaan dan 14 chalet pelancongan desa mengalami kerosakan.
Sehingga kini, semua pusat rekreasi di Gunung Jerai iaitu Batu Hampar, Titi Hayun dan Sri Perigi ditutup kepada pengunjung berikutan kawasan terlibat masih dalam proses baik pulih dan pembersihan.
Justeru, dalam usaha memulihkan semula persekitaran Gunung Jerai, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) merangka lima pelan tindakan.
Pengarah JMG Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Abdullah Sulaiman berkata, peringkat pertama adalah melakukan pemetaan terperinci dan cadangan mitigasi cerun berisiko di sepanjang jalan ke puncak Gunung Jerai.
"Perubahan ketara dikesan di kawasan puncak dan lereng terutama bentuk muka bumi serta aliran sungai selepas berlakunya kepala air dan tanah runtuh pada 18 Ogos lalu. Perubahan itu dikesan hasil maklumat geografi dan analisis data geospatial berdasarkan pemetaan udara oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem),” katanya.
Menurutnya, analisis menunjukkan terdapat perubahan nyata membabitkan morfologi sungai yang asalnya bengkang-bengkok berubah menjadi lurus dan lebar.
"Peta baharu ini menunjukkan kesan akibat bencana, maklumat ini penting untuk analisis. Apabila berlaku perubahan, kita melakukan kajian di kawasan tertentu untuk melihat apa yang menyebabkan berlaku kejadian kegagalan cerun,” katanya.
Abdullah berkata, proses pengumpulan data geospatial dengan kaedah pemetaan udara di Gunung Jerai dilaksanakan pada 21 Ogos hingga 4 September oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem) menggunakan dron dan kapal terbang khas.
"Pasukan Kerja Bencana Geologi JMG Kedah, Perlis dan Pulau Pinang menemui sebanyak 69 kesan runtuhan tanah atau parut di kawasan Gunung Jerai dan Titi Hayun serta lima lokasi kepala air selepas pemantauan melalui udara dan siasatan lapangan.
"Tujuh lokasi tanah runtuh di jalan ke puncak Gunung Jerai telah diambil tindakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk dibaik pulih,” jelasnya.
Menurutnya, aspek kedua adalah mengesyorkan satu kajian terperinci di seluruh kawasan Gunung Jerai bagi mengenal pasti risiko berlakunya bencana geologi.
"Syor kajian sudah dibentang kepada kerajaan negeri untuk mohon peruntukan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), ia melibatkan kos tinggi dan perlu mempunyai dana khusus untuk laksana kajian ini. Ia penting kerana meliputi keseluruhan kawasan Gunung Jerai, bukan kawasan tanah runtuh atau aliran debris sahaja,” katanya.
Abdullah berkata, pelan tindakan ketiga adalah membangunkan sistem amaran awal pemantauan dan pengesanan tanah runtuh dan aliran debris di Gunung Jerai bagi mengurangkan risiko bencana dan keselamatan penduduk serta pengunjung.
"Kejadian tanah runtuh dan aliran debris disebabkan dua faktor iaitu faktor pencetus (hujan) dan faktor penyumbang iaitu geologi dan geomorfologi sesuatu kawasan.
"Oleh itu kita memerlukan sistem lebih terperinci seperti mengukur turunan hujan, sensor pergerakan tanah dan sebagainya selain bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi yang memiliki data iklim dan taburan hujan,” katanya.
Jelas Abdullah lagi, pelan keempat merangkumi cadangan untuk mengekalkan sebahagian kawasan terjejas sebagai galeri hidup tragedi untuk sektor pelancongan dan pendidikan.
"JMG cadang diadakan galeri tanah runtuh dan aliran debris seperti galeri tsunami di Kuala Muda dengan meletakkan tinggalan pokok, batu, rumah yang dihanyutkan untuk dipamerkan kepada generasi akan datang. Ini bukan bencana biasa tetapi bencana yang berlaku mungkin 100 tahun sekali dan berskala besar,” katanya.
Menurutnya, pelan tindakan kelima adalah program pemerkasaan komuniti dalam menangani ancaman bencana geologi.
"Kertas cadangan program sudah dibentangkan kepada Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) dan telah diluluskan pada 5 Julai lalu menjadikan Gunung Jerai sebagai projek perintis melibatkan komuniti."Apabila berlaku bencana, kita sudah mempunyai pelan dan rangkaian untuk bertindak segera. Ia memudahkan pemantauan kerana maklumat lebih cepat disalurkan oleh komuniti.
"Kita akan mengadakan sesi libat urus untuk dibentangkan kepada pihak terlibat sebelum menubuhkan jawatankuasa bertindak,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca