INDUSTRI berkaitan pertahanan adalah industri khusus yang dianggap tidak banyak diceburi pemain-pemain industri tempatan berbanding industri lain seperti elektronik dan komponen automotif. Walaupun sektor itu kecil, pulangan yang diterima... Klik di sini untuk terus membaca

INDUSTRI berkaitan pertahanan adalah industri khusus yang dianggap tidak banyak diceburi pemain-pemain industri tempatan berbanding industri lain seperti elektronik dan komponen automotif.

Walaupun sektor itu kecil, pulangan yang diterima dari sudut nilai dagangan mampu menjana pendapatan tinggi kepada negara

Pada awal Mac lalu, Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa kementerian beliau sedang merangka satu pelan ‘Polisi Pertahanan dan Industri Keselamatan’ baharu.

Polisi itu katanya, bakal memacu negara ke arah menjadi pengeluar produk pertahanan bertujuan mengurangkan pergantungan import dan merancakkan sektor ekonomi.

Salah satu industri yang kurang diberi perhatian, namun mempunyai sejarah tersendiri dalam bidang pertahanan adalah industri pembuatan serta pembaikan kapal maritim atau Ship Building and Ship Repair (SBSR).

Mungkin umum lebih mengenali firma Boustead Naval Shipyard yang berpangkalan di Lumut sebagai perintis kepada industri SBSR pertahanan.

Tidak ramai mengetahui bahawa industri SBSR sebenarnya telah wujud sebagai satu industri di Sarawak lebih 108 tahun lalu apabila Brook Dockyard ditubuhkan.

Sehingga 2018, industri SBSR negara ini melibatkan sehingga 100 limbungan yang melaksanakan 200 aktiviti pelbagai termasuk mengilangkan kelengkapan dan peralatan maritim, penyelenggaraan, pembaikan dan kendalian operasi atau Maintenance, Repair & Operations (MRO) dan reka bentuk.

Pulangan yang didapati oleh industri SBSR secara purata sejak 2011 dianggarkan bernilai antara RM5 bilion hingga RM10 bilion setahun.

Ketika kemuncak, industri itu telah mewujudkan kira-kira 33,000 pekerjaan di seluruh negara.

Hari ini daripada 100 limbungan, 60 daripadanya beroperasi di Sarawak, dengan Sibu menjadi pusat limbungan utama negara yang memiliki 40 limbungan melaksanakan pelbagai kegiatan industri SBSR.

Limbungan industri SBSR tempatan telah menghasilkan pelbagai jenis kapal dan platform maritim bagi tujuan pertahanan.

Ia termasuklah bot dan kapal ronda, kapal logistik serta kapal pendarat. Ia digunakan oleh pelbagai agensi berkaitan keselamatan dan pertahanan dalam serta luar negara.

Satu isu perlu diberi perhatian ialah bagaimana pihak berwajib di Malaysia dapat memastikan industri SBSR mempunyai prosedur atau proses semak imbang yang dapat mengesan sekiranya berlaku pelanggaran terhadap mana-mana akta berkaitan keselamatan negara ketika proses SBSR dilaksanakan.

Platform atau kapal maritim bagi tujuan agensi keselamatan atau tentera laut lazimnya bakal dilengkapkan dengan sistem persenjataan.

Ia sama ada dalam bentuk akan dibawa krew kapal atau dipasangkan pada tenggekan di atas geladak.

Ia menjadi satu keperluan apabila kapal yang telah siap dibina oleh limbungan dalam negara perlu dibawa pulang ke negara yang memesannya terutama apabila kapal itu perlu dibawa belayar merentasi Selat Melaka yang mempunyai sejarah aktiviti perlanunan.

Perlindungan untuk kapal-kapal itu juga boleh dibuat dengan menggunakan firma-firma keselamatan maritim persendirian, namun bagi kapal yang dihasilkan untuk tentera laut negara luar, mereka lebih selesa menggunakan krew tentera laut sendiri bagi tujuan kawalan keselamatan sewaktu pelayaran.

Keadaan itu mampu menimbulkan isu berkaitan keselamatan iaitu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh industri SBSR tempatan dalam usaha mereka menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pemilik kapal yang dibina.

Sekiranya kapal dan krew akan membawa kapal pulang ke negara pemilik dan dilengkapi sistem persenjataan, tentunya ia memerlukan setiap limbungan membekalkan maklumat yang sahih kepada pelanggan mengenai bagaimana dan apakah proses yang perlu dilaksanakan.

Ia termasuklah syarat import eksport, dokumen sah, selain peraturan dan akta senjata api negara yang perlu dipatuhi.

Integrasi maklumat dan tindakan antara agensi-agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pertahanan dan pihak Kastam, selain pihak syarikat yang membawa masuk apa juga kelengkapan berkaitan senjata api untuk sesebuah kapal mestilah diwujudkan.

Proses itu amat penting dan bakal membawa implikasi keselamatan yang besar sekiranya ia tidak dipatuhi.

Ia mencabar kedaulatan undang-undang negara dan dilihat sebagai memperlekehkan keupayaan pihak berwajib.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca