MALAYSIA berhasrat menjadi negara maju berteraskan pembangunan rendah karbon, berdaya tahan dan inklusif serta penggunaan sumber yang cekap. Justeru, pembangunan sosioekonomi akan beralih daripada trajektori pembangunan konvensional grow... Klik di sini untuk terus membaca

MALAYSIA berhasrat menjadi negara maju berteraskan pembangunan rendah karbon, berdaya tahan dan inklusif serta penggunaan sumber yang cekap.

Justeru, pembangunan sosioekonomi akan beralih daripada trajektori pembangunan konvensional grow first, clean-up later yang berkos tinggi kepada trajektori pertumbuhan hijau bagi memastikan pembangunan sosioekonomi dilaksanakan secara mampan bermula peringkat perancangan, pelaksanaan dan penilaian.

Pertumbuhan hijau merangkumi tiga tonggak pembangunan mampan iaitu ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Kejayaan pelaksanaan pertumbuhan hijau akan meningkatkan bukan sahaja pertumbuhan ekonomi, malah mengubah pemikiran dan tingkah laku masyarakat serta mempengaruhi penggubalan dasar kerajaan, strategi pengeluaran dalam industri serta corak penggunaan individu.

Melalui Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10), kerajaan telah mengiktiraf kepentingan alam sekitar sebagai seba-hagian pelan pembangunan sosioekonomi yang komprehensif.

Tumpuan diberikan kepada langkah menangani isu perubahan iklim, degradasi alam sekitar dan penggunaan mampan khazanah alam semula jadi.

Dalam tempoh RMK11, pertumbuhan hijau terus menjadi anjakan penting mencorak pembangunan sosioekonomi negara dan melindungi hasil pembangunan serta biodiversiti berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan bencana alam.

Terkini dalam RMK12, penegasan diberikan bahawa pembangunan ekonomi tidak harus menjejaskan alam sekitar, antaranya dengan mempercepat pertumbuhan hijau, mempertingkat kemampanan tenaga dan mentransformasi sektor air agar kekal menjadi teras pembangunan sosioekonomi negara.

Kerajaan juga akan terus memenuhi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) selari dengan aspirasi menjadi negara rendah karbon.

Beberapa kejayaan dapat dilihat, antaranya pada 2009, Malaysia secara sukarela telah menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan GHG daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sehingga 40 peratus menjelang tahun 2020, namun mencapai 33 peratus daripada sasaran itu pada 2013.

Kejayaan itu terhasil apabila sektor tenaga sebagai penyumbang utama GHG telah mengambil langkah menuju ke arah pertumbuhan hijau melalui penggunaan sumber tenaga bersih dan mesra alam.

Pada 2017, Malaysia adalah negara pertama di dunia melancarkan instrumen iklim kewangan baharu dikenali sebagai sukuk hijau, dengan perolehannya digunakan untuk membiayai projek prasarana alam sekitar mampan.

Pada April 2021 pula, Malaysia berjaya mengumpul AS$1.3 bilion menerusi Sukuk Kelestarian yang pertama diperkenalkan di dunia.

Negara turut berikrar mengurangkan intensiti pelepasan GHG daripada KDNK sebanyak 45 peratus pada 2030 menerusi manfaat teknologi hijau di darat, dalam sektor penerbangan dan maritim.

Dalam sektor maritim, Malaysia menekankan tiga aspek iaitu alam sekitar, pembabitan masyarakat dan kelestarian yang memberi fokus inisiatif seperti pengurusan air serta kajian kualiti minyak kapal di pelabuhan.

Bagi memenuhi komitmen pelaporan negara di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC), pembangunan agenda pelan pemulihan hijau seperti Kesepakatan Hijau Baharu (GND) yang memperkenalkan mekanisme pasaran karbon diberi tumpuan.

Ia diterjemahkan melalui penubuhan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) bagi menjadikan Malaysia hab dalam bidang ekonomi, perkhidmatan dan teknologi hijau.

Selaras itu, Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara akan menjadi asas panduan serta hala tuju bandar rendah karbon di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri.

Namun kesemua matlamat kemampanan itu hanya akan tercapai melalui sokongan penuh semua pemegang taruh merangkumi pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat secara keseluruhannya.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah dari Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca