SHAH ALAM - Sah! Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 akhirnya bubar rentetan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) blok kerajaan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Isnin. Perkara itu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sah! Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 akhirnya bubar rentetan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) blok kerajaan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Isnin.

Perkara itu disahkan oleh Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang memaklumkan pembubaran DUN mendapat kelulusan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Ab Rauf turut memaklumkan Proklamasi Pembubaran DUN Melaka itu telah diwartakan hari ini.

"Yang di-Pertua Negeri sudah membuat pertimbangan dan bersetuju membubarkan DUN Melaka pada pada 4 Oktober.

"Cadangan pembubaran DUN itu dibuat Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, pagi semalam," katanya dalam sidang media petang Selasa.

Pada masa sama, Ab Rauf turut menyerahkan proklamasi pembubaran DUN Melaka kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Melaka Rudy Rohan Johan @ Ganesan.

Kemelut yang bermula Jumaat lalu dengan spekulasi menjatuhkan Sulaiman menemui klimaks apabila bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) masing-masing menyatakan telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Sulaiman.

"Bagi menjawab segala pertanyaan yang sibuk di sosial media dua tiga hari ini, saya Idris Haron, ADUN Sungai Udang bersama rakan-rakan saya mengumumkan kami telah hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman dan seluruh kerajaan negeri.

"Kami telah menyerahkan surat ketidakpercayaan kami kepada Sulaiman, sekali gus empat orang kami akan mencari jalan untuk memberikan peluang kepada kerajaan negeri ini ditubuhkan bagi meneruskan perjalanan dan pentadbiran negeri pada masa depan," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Ab Rauf (kanan) menyerahkan Proklamasi Pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Negeri Melaka Rudy Rohan Johan @ Ganesan selepas sidang media di Seri Negeri. - Foto Bernama

Untuk rekod, sebelum tumbangnya kerajaan Melaka, ia berada di bawah pimpinan BN diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).

Berikutan penarikan sokongan, Sulaiman hanya tinggal 13 sokongan ADUN Melaka daripada keseluruhan 28 kerusi di DUN Negeri Hang Tuah itu.

Baki 15 yang tidak menyokong masing-masing 11 ADUN Pakatan Harapan (PH) dan baki empat lagi ialah ADUN yang hilang kepercayaan kepada Sulaiman.

Menariknya, kekusutan politik yang berlaku menampakkan tindakan empat nama terbabit ibarat Hang Jebat yang menolak kepimpinan rakan sendiri daripada parti sama.

Malah Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka ke-10 dari tahun 2013 -2018 dan Nor Azman masing-masing daripada parti UMNO dikatakan sanggup berdepan sebarang tindakan disiplin oleh parti demi pendirian tidak menyokong kepimpinan Sulaiman.

Natijah daripada tindakan nekad kedua-dua wakil rakyat itu yang dilihat bertentangan dengan Perlembagaan parti akhirnya, Ab Rauf turut menyatakan keahlian mereka dalam UMNO tergugur secara automatik.

Episod seterusnya selepas pembubaran DUN Melaka ke-14 kini terarah kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dalam suasana pandemik Covid-19 yang masih belum reda.

Menurut Ab Rauf, kerajaan negeri sedia ada akan menjalankan tugas sebagai kerajaan sementara dan berhubung isu mengadakan PRN ketika pandemik Covid-19, pihak SPR boleh mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Klik di sini untuk terus membaca