SHAH ALAM - Spekulasi bertiup kencang mengatakan keputusan kerajaan melantik beberapa pemimpin UMNO yang menolak kerajaan Perikatan Nasional (PN), untuk memegang jawatan penting kerajaan adalah sebahagian strategi bagi mempercepatkan proses... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Spekulasi bertiup kencang mengatakan keputusan kerajaan melantik beberapa pemimpin UMNO yang menolak kerajaan Perikatan Nasional (PN), untuk memegang jawatan penting kerajaan adalah sebahagian strategi bagi mempercepatkan proses pemilihan UMNO tahun hadapan.

Sumber daripada UMNO berkata, langkah kerajaan melantik pemimpin-pemimpin UMNO pro kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seperti Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; dan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris didakwa sebahagian usaha fraksi UMNO menguasai kerajaan untuk memujuk kumpulan pemimpin ini agar menyokong cadangan pemilihan UMNO diadakan sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bahkan, sumber UMNO berkenaan turut menegaskan keputusan UMNO mencadangkan nama Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Ahmad Maslan bagi jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat kedua dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri juga dikaitkan dengan usaha fraksi UMNO menguasai kerajaan dan menjarakkan pemimpin penting parti itu daripada Ahmad Zahid.

Datuk Seri Najib Tun Razak

"Fraksi ahli Parlimen UMNO menguasai kerajaan menyedari usaha memuktamadkan kerjasama politik antara parti-parti Melayu bagi mengelakkan pertembungan lebih dua penjuru pada PRU15 sukar direalisasikan sekiranya Ahmad Zahid kekal sebagai Presiden parti.

"Justeru, mereka kini sedang mencari jalan bagi mengalihkan sokongan pemimpin-pemimpin UMNO pro Ahmad Zahid daripada Presiden UMNO itu sendiri termasuk meraih sokongan Ahmad Maslan.

"Bagi saya, kunci utama untuk fraksi UMNO pro kerajaan mempercepatkan proses pemilihan parti terletak di tangan Ahmad Maslan kerana selaku Setiausaha Agung UMNO, ahli Parlimen Pontian itu bertanggungjawab menentukan bila pemilihan parti sepatutnya diadakan," katanya kepada Sinar Premium.

Sumber UMNO itu berkata demikian bagi mengulas implikasi tersirat di sebalik keputusan kerajaan melantik sebilangan daripada 15 ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap kerajaan PN atau dikenali G15, memegang jawatan penting kerajaan termasuk jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sebelum ini, kerajaan turut mengumumkan Azalina yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) pada Sabtu.

Ahmad Jazlan dan Ahmad Nazlan pula masing-masing dilantik memegang jawatan Pengerusi Felcra dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berkuat kuasa pada Jumaat.

Pada masa sama, difahamkan terdapat cadangan melantik lebih ramai ahli Parlimen UMNO pro Ahmad Zahid dalam jawatan kerajaan termasuk Najib bagi jawatan Penasihat Khas Ekonomi.

Sehingga kini, Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO menegaskan pemilihan jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), bahagian dan cawangan parti itu ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) iaitu sebelum 29 Disember 2022.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pontian itu mengakui UMNO sudah menetapkan Perhimpunan Agung UMNO 2021 berlangsung selama tiga hari bermula pada 13 hingga 15 Januari 2022.

Felcra Berhad pada Sabtu mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai pengerusi baharunya berkuat kuasa semalam (Jumaat). - Foto Facebook

PENDEKATAN LUAR KOTAK

Dalam pada itu, seorang ahli MKT UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menolak dakwaan dibangkitkan sumber UMNO berkenaan dan sekali lagi menegaskan desas-desus pemilihan UMNO bakal diadakan dalam masa terdekat adalah tidak betul.

Sebaliknya, beliau berpandangan keputusan Perdana Menteri melantik pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak menyokong kerajaan sebelum ini, memegang jawatan kerajaan adalah satu pendekatan luar kotak bagi menjamin kestabilan politik negara.

Armand Azha

"Langkah pemberian tempat dalam kerajaan terhadap pemimpin seperti Azalina, Ahmad Jazlan dan Ahmad Nazlan turut membuktikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak pernah membezakan kepercayaan antara pemimpin-pemimpin UMNO dengan tindakan ini pastinya akan lebih merapatkan saf kepimpinan parti sendiri.

"Bagi saya, satu-satunya strategi politik diguna pakai Perdana Menteri ketika ini adalah dengan menjunjung semangat ucapan titah Yang di-Pertuan Agong yang menuntut suhu politik negara diredakan dengan banyak tindakan beliau pada masa hadapan akan menjurus ke arah kebaikan rakyat," katanya.

Mengulas lanjut, Armand Azha yang juga Ketua UMNO bahagian Subang menegaskan sekiranya berlaku perubahan dalam soal pelaksanaan proses pemilihan parti, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat MKT sebelum diputuskan dalam PAU 2021 yang bakal diadakan Januari hadapan.

"Buat masa ini, kita bersepakat untuk mengadakan PAU tanpa bersekali dengan proses pemilihan parti bagi mengelakkan masalah dalaman parti semakin serius sekiranya isu tuntutan pemilihan parti terus berlarutan.

"Justeru, saya minta semua ahli UMNO perlu bersabar dan menfokuskan kepada usaha memantapkan kerajaan dan jentera parti bagi menghadapi PRU15 kerana itu adalah ujian sebenar kekuatan parti," katanya.

Azalina yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia) pada Sabtu.
Klik di sini untuk terus membaca