SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan. Pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan.

Pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, pada masa ini, tiada siapa yang boleh menghalang PRN dibuat melainkan pengisytiharan darurat di negeri tersebut.

Ia susulan tindakan UMNO mengarahkan Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengutus surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan pembubaran DUN Melaka setelah dipersetujui Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Menurutnya, tindakan seterusnya bergantung kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan menjalankan peranan dan menjayakan pilihan raya memandangkan ia termaktub dalam undang-undang.

"Apabila DUN dibubar, dalam tempoh 60 hari mesti diadakan pilihan raya.

"Maka, akan berlangsung sesi penamaan calon, pengundian dan sebagainya, sebagaimana yang berlaku di Sabah sebelum ini.

"Apa yang boleh membatalkan pilihan raya ini ialah sekiranya ada perisytiharan darurat di Melaka. Jika Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) bersetuju untuk mengisytiharkan darurat di Melaka, maka pilihan raya berkenaan tidak boleh diadakan.

"Dalam keadaan tersebut yang tiada kerajaan, Yang di-Pertua Negeri Melaka perlu melantik kerajaan sementara.

"Dalam konteks itu, beliau kena melantik seorang ketua menteri interim sehinggalah pilihan raya boleh diadakan di DUN Melaka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Ditanya mengenai proses PRN, beliau menjelaskan, makluman pembubaran itu bergantung kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Bagaimanapun, selepas beliau bersetuju membubarkan DUN, satu notis akan diberikan kepada Speaker DUN untuk pembubaran, seterusnya SPR perlu melaksanakan pilihan raya dalam masa 60 hari.

"Kemelut sebegini terlalu kerap berlaku dan pada pandangan saya, cara terbaik adalah mengadakan pilihan raya.

"Cuma dalam keadaan sekarang ini, walaupun kita dalam pandemik Covid-19 yang semakin baik namun risikonya masih ada. Seperti PRN Sabah, pada masa itu kes Covid-19 dalam keadaan menurun tetapi ia meningkat secara mendadak selepas itu (PRN).

"Kita tidak mahu PRN Melaka ini menjadi satu lagi gelombang kenaikan kes Covid-19," katanya.

Jelas Nik Ahmad Kamal, mungkin SPR boleh belajar daripada kes PRN Sabah mengenai tatacara menjalankan kempen pilihan raya tersebut.

"Pengundian tidak menimbulkan banyak masalah sebab boleh diadakan mungkin dalam masa dua atau tiga hari supaya tidak terlalu ramai orang berada di kawasan mengundi.

"Masalahnya, semasa kempen akan berlaku perhimpunan dan ada pula kempen dari rumah ke rumah. Ini semua boleh menjadi faktor Covid-19 merebak. Jadi, mungkin SPR boleh guna tatacara baru dalam kempen pilihan raya di Melaka nanti," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca