TINDAKAN Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu hipersonik pada minggu lalu mencetuskan kebimbangan baharu tentang perlumbaan mendapatkan teknologi itu dalam bidang pertahanan.
Lebih merisaukan, bukan setakat Korea Utara, Rusia turut melakukan ujian yang sama buat pertama kalinya pada Isnin lalu.
China telah melancarkan banyak ujian tentang pesawat hipersonik sejak beberapa tahun lalu.
Amerika Syarikat (AS) pula melancarkan ujian pertama sistem peluru berpandu menggunakan teknologi skramjet hipersonik pada bulan September lalu.
Jabatan Pertahanan AS atau Pentagon pada hujung September lalu menganggap ujian yang menggunakan teknologi itu berjaya dilakukan dan AS tidak akan ketinggalan untuk membuat peluru berpandu hipersonik.
Perancis, Jerman, Australia, India dan Jepun juga dilaporkan sedang melakukan kerja-kerja penyelidikan tentang teknologi tersebut.
Iran, Israel dan Korea Selatan turut melakukan penyelidikan terhadap teknolologi hipersonik itu, menurut laporan oleh Perkhidmatan Penyelidikan Kongres AS baru-baru ini.
Peluru berpandu hipersonik seperti peluru berpandu balistik boleh membawa senjata nuklear tetapi ia mampu terbang lima kali ganda daripada kelajuan bunyi.
Ia juga boleh terbang amat rendah dan berpotensi untuk menuju ke sasaran dengan lebih laju berbanding dengan peluru berpandu balistik.
Peluru berpandu balistik pula terbang tinggi ke angkasa sebelum tiba untuk memusnahkan sasarannya.
Apa yang lebih penting ialah sebuah peluru berpandu hipersonik menggunakan banyak muslihat ketika berada di tengah-tengah penerbangan dan sukar untuk dikesan oleh pihak musuh.
Namun, kemampuan peluru berpandu hipersonik membawa senjata nuklear menyebabkan ia mencetuskan lagi ancaman terhadap negara musuh sekali gus boleh mencetuskan konflik nuklear.
Perlumbaan peluru berpandu hipersonik
Rusia lebih ke hadapan dalam teknologi itu apabila pada Isnin lalu ia menyatakan telah melancarkan dua ujian peluru berpandu hipersonik Zircon dari kapal selam nuklear Severodvinsk.
Sebuah peluru berpandu itu berjaya dilancarkan ketika kapal selama itu berada di permukaan Laut Barents manakala sebuah lagi dilancarkan semasa kepal selam tersebut berada di dalam laut.
Ia adalah kali pertama Rusia melancarkan peluru berpandu hipersonik dari sebuah kapal selam di dalam laut.
Pada Julai lalu, Rusia berjaya melancarkan sebuah peluru berpandu hipersonik yang mampu bergerak selaju 8,659 kilometer sejam dari sebuah kapal frigat di Laut Putih.
Korea Utara pula berjaya melancarkan sebuah peluru berpandu hipersonik yang dikenali sebagai Hwasong-8 pada Selasa minggu lalu dan dilancarkan dari kawasan Toyang, mukim Ryongrim.
Seorang pakar senjata di Universiti Stanford, Cameron Tracy menganggap penggunaan senjata hipersonik sebagai satu perubatan evolusi.
Katanya, perlumbaan senjata hipersonik itu menunjukkan ia bukanlah menjadi satu keadaan yang paling stabil buat dunia.
Namun, kini pakar-pakar mengakui bahawa setakat ini, Rusia meninggalkan negara lain dalam pembangunan senjata hipersonik. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca