JARAK antara Puduraya (kini Pudu Sentral) dengan Pasar Seni atau Central Market bukanlah jauh. Mungkin sekitar satu kilometer. Kalau berjalan kaki mungkin ambil masa antara 12 hingga 15 minit saja. Itu pun termasuk waktu berhenti minum air... Klik di sini untuk terus membaca

JARAK antara Puduraya (kini Pudu Sentral) dengan Pasar Seni atau Central Market bukanlah jauh. Mungkin sekitar satu kilometer. Kalau berjalan kaki mungkin ambil masa antara 12 hingga 15 minit saja. Itu pun termasuk waktu berhenti minum air soya di Petaling Street.

Tetapi tahukah anda, untuk jarak sedemikian dekat, saya pernah terpaksa membayar tambang sebanyak RM25. Diulangi − RM25.

Kenderaan apakah yang saya naik? Helikopter? Jumbo jet? Saya akan beritahu nanti. Yang saya cerita sekerat tadi cuma iklan.

Apa yang saya hendak sentuh kali ini adalah tentang teksi dan prebet sapu, dua medium pengangkutan awam yang tersohor dan pernah mendominasi kehidupan ramai orang berdekad-dekad lamanya.

Kita mulakan dengan teksi. Di negara kita, ia sinonim dengan bumbung kuningnya. Warna badan mungkin hitam, merah dan sebagainya tetapi bumbung tetap berwarna kuning. Tetapi itu dulu. Sekarang keadaan berbeza. Yang berbumbung kuning masih ada, tetapi yang berbumbung putih atau yang warna bumbungnya sama dengan warna badan teksi pun ada juga.

Yang membezakan ia daripada kenderaan lain yang bukan teksi adalah topper atau ‘jambul’nya − tanda bertulis ‘teksi’ yang dipasang pada bumbung.

Di negara kita, teksi ada enam jenis iaitu teksi bandar atau teksi bajet, teksi eksekutif, teksi premier, kereta sewa, teksi LCCT dan limo KLIA. Setiap teksi ini perlu mendapat permit daripada pihak berkuasa sebelum boleh beroperasi. ‘Bidang tugas’ pula berbeza-beza. Teksi bandar misalnya, beroperasi di sekitar bandar utama dan ia menggunakan meter. Ada yang boleh ditempah menerusi telefon, ada juga yang main gawang sahaja.

Kalau teksi yang menggunakan permit Lembah Klang, ia hanya boleh beroperasi di sekitar Lembah Klang dan beberapa tempat tertentu seperti bandar Melaka, Port Dickson dan Genting Highlands (hantar dan ambil), manakala ke KLIA dan LCCT hanya boleh hantar sahaja, tak boleh ambil penumpang.

Teksi eksekutif pun menggunakan meter juga tetapi tambangnya lebih mahal daripada teksi bandar. Sesuailah dengan namanya. Ia lazimnya beroperasi di hotel-hotel. Teksi ini berwarna biru dan selalunya menggunakan kereta import atau MPV yang lebih selesa.

Ia dibolehkan beroperasi ke seluruh Semenanjung Malaysia, manakala teksi premier khabarnya telah dihentikan pengeluaran permitnya dan diganti dengan teksi eksekutif. Yang ada sekarang ini adalah yang menggunakan permit lama. Fungsi dan ‘bidang tugasnya’ sama sahaja dengan teksi eksekutif, cuma tambangnya murah sedikit.

Yang paling berpengalaman antara semua jenis teksi adalah kereta sewa. Ia wujud lama sebelum istilah teksi popular dalam kalangan pengguna. Pada topper dan badan teksi jenis ini memang ditulis ‘kereta sewa’. Ia lazimnya beroperasi di pekan kecil dan kampung-kampung. Pun begitu ia juga wujud di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, George Town dan lain-lain. Teksi ini tidak menggunakan meter.

Dua lagi jenis teksi iaitu LCCT dan limo KLIA bergantung hidup pada kapal terbang. Semakin ramai orang naik turun kapal terbang, maka semakin luaslah peluang rezeki mereka.

Teksi LCCT hanya dibenarkan beroperasi dari LCCT, manakala Limo KLIA pula beroperasi di KLIA. Kedua-duanya boleh pergi ke mana-mana destinasi di seluruh Semenanjung.

TEKSI HARAM

Prebet sapu pun sebenarnya berfungsi macam teksi juga tetapi kerana ia tidak berpermit, maka ia tidak dinamakan teksi. Dengan bahasa mudah, ia adalah ‘teksi haram’.

Di Mexico, Norway, Denmark dan beberapa negara lain ia dipanggil ‘teksi lanun’, manakala di Argentina ia dinamakan ‘truchos’ yang bermaksud ‘teksi palsu’.

Tidak kira apa pun namanya, prebet sapu yang sekarang ini kian pupus, pernah berjasa besar terutama kepada penduduk di luar bandar. Lebih-lebih lagi di kawasan yang tiada perkhidmatan bas atau kalau ada pun, perkhidmatannya tidak tentu hala.

Tiga empat dekad yang lepas, kereta masih dianggap kenderaan mewah. Tidak ramai yang mampu memilikinya. Kebanyakan orang hanya memiliki basikal dan motosikal.

Jadi sekali-sekala, jika hendak ke pekan atau bandar berdekatan, prebet sapulah yang jadi tempat bergantung. Selain tambangnya lebih murah, ia juga mudah didapati berbanding dengan teksi yang jarang masuk ke kawasan kampung.

Saya masih ingat, kira-kira tiga dekad nan silam, ketika tinggal menumpang di rumah bapa saudara di Kampung Batu Muda, saya akan naik prebet sapu hampir setiap hari untuk ke Jalan Ipoh. Tambangnya 50 sen. Kalau naik teksi, buka pintu sahaja meter sudah tunjukkan RM1 (kadar pada waktu itu).

Dan saya masih ingat juga, setiap pagi bau prebet sapu itu harum semerbak tetapi pada sebelah petang, bau harum itu bertukar kepada bau kari, bau asam pedas, bau sarung kaki dan serba-serbi bau yang lain.

Keistimewaan prebet sapu adalah ia boleh dinaiki oleh seramai mungkin penumpang. Sumbat selagi boleh. Saya pernah juga menaiki sebuah teksi sapu jenis Mercedes lama di Perak. Penumpangnya, tiga di depan dan sembilan di belakang. Nasiblah saya duduk berhimpit dengan seorang gadis, jadi tidak terasa sangat sesaknya.

Kelemahan prebet sapu pula bila ternampak sekatan jalan raya atau ketika berselisih dengan polis trafik. Bukan sahaja enjinnya bergegar, kadangkala tangan pemandu pun bergegar juga. Silap-silap penumpang kena turun beramai-ramai di tepi jalan. Tetapi kes begitu jarang berlaku. Jarang pemandu prebet sapu tidak tahu selok-belok jalan tikus.

BAWAH POKOK

Sama macam teksi sewa, kebanyakan prebet sapu beroperasi di bandar-bandar dan pekan kecil. Ia tidak mempunyai stesen rasmi. Pangkalannya mungkin sekadar di bawah pokok, di depan kedai kopi atau di belakang kedai nombor ekor.

Penumpang yang biasa akan tahu di mana hendak mencarinya. Kadangkala pemandunya sendiri akan merayau mencari penumpang di kawasan sekitar.

Meter prebet sapu terletak di mulut pemandunya. Dan kes meter di mulut pemandu inilah yang menyebabkan saya kena bayar RM25 dari Puduraya ke Pasar Seni. Yang buat hal bukan prebet sapu tetapi teksi bermeter. Ketika itu sudah lewat malam. Saya masih muda ketika itu, terlalu jahil dengan teksi di Kuala Lumpur. Badan pula terlalu penat, jadi kerana malas hendak menunggu lebih lama saya terus masuk ke sebuah teksi yang sedia menunggu. Saya sangka dia gunakan meter tetapi apabila tiba di Pasar Seni baru ‘meter’ di mulutnya berbunyi ‘RM25!’. Adus, macam hendak melompat keluar ikut bumbung dibuatnya!

Semua itu tinggal nostalgia. Malah fungsi teksi dan prebet sapu pun sudah mulai memasuki kotak nostalgia juga sedikit demi sedikit. Peranan mereka diambil alih oleh Grab dan pelbagai perkhidmatan e-hailing lainnya, yang lebih mudah dan lebih mesra pengguna.

Kasihan juga apabila mengenangkan nasib pemandu-pemandu teksi dan prebet sapu. Tetapi itulah hidup. Kita tertakluk pada dua keadaan; berubah, atau diubah. Beringat-ingatlah.#dush!

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah setiausaha politik yang gemar menulis nostalgia

Klik di sini untuk terus membaca