SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menegaskan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam perlu meneliti dan mengikuti Perlembagaan Negeri Melaka sebelum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka. Melalui kenyataan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menegaskan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam perlu meneliti dan mengikuti Perlembagaan Negeri Melaka sebelum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Melalui kenyataan media pada Rabu, Majlis Presiden PH berkata, Yang di-Pertua Negeri telah membubarkan DUN berdasarkan nasihat yang salah daripada seorang Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Apabila empat ADUN menarik sokongan terhadap beliau pada Isnin lalu, berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka, Ketua Menteri tersebut telah hilang jawatan dan kelayakan untuk menasihati Yang di-Pertua Negeri .

"Yang di-Pertua Negeri sepatutnya meneliti dan mengikuti Perlembagaan Negeri Melaka serta bertemu dengan 15 ADUN iaitu pihak yang telah memperoleh majoriti sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa Isnin.

Beliau memaklumkan perkara tersebut telah dipersetujui oleh Yang di-Pertua Negeri.

Keputusan itu dibuat selepas empat ADUN kerajaan iaitu bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengesahkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri.

Proklamasi pembubaran DUN yang ke-14 itu diwartakan pada Selasa.

Kenyataan media Majlis Presiden PH menjelaskan Yang di-Pertua Negeri telah membubarkan DUN berdasarkan nasihat yang salah daripada seorang Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang telah hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).


Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, satu pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN tersebut.

"Malangnya tindakan Yang di-Pertua Negeri bukan sahaja telah melanggari duluan (precedent) bagi Melaka itu sendiri di mana pada 2020 nasihat Ketua Menteri ketika itu (Adly Zahari) untuk membubarkan DUN tidak diterima setelah hilang majoriti, malah ia juga tidak selari dengan duluan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nizar Jamaluddin lawan Zambry Abdul Kadir di mana sokongan majoriti boleh ditentukan di luar DUN,” kata Majlis Presiden PH.

Ironinya, situasi sama berlaku di Sabah pada penghujung bulan Julai tahun lalu yang menyaksikan Ketua Menterinya ketika itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hilang sokongan majoriti apabila bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.

Atas perakukan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, Mohd Shafie membubarkan DUN pada 30 Julai bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri pada 26 September.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa pada ketika itu turut menjelaskan bahawa, Mohd Shafie tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Jelas beliau, Mohd Shafie hanya mempunyai kuasa untuk menasihatkan Yang Dipertua Negeri Sabah untuk membubarkan institusi itu.

"Mohd Shafie tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan, dia hanya boleh menasihatkan Yang Dipertua Negeri. Kalau nasihat dia diterima, maka Yang Dipertua Negeri perlu mengeluarkan penyataan secara rasmi, bukan Shafie yang keluarkan kenyataan beritahu DUN Sabah dibubarkan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Shafie mempertahankan pembubaran DUN mengikut Perlembagaan Negeri.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata keputusan membubarkan DUN dibuat Yang Dipertua Negeri selaras dengan kuasa yang ada.

"Sebagai Ketua Menteri saya tidak ada kuasa (untuk membubarkan DUN) tetapi boleh menasihati Yang di-Pertua Negeri, malah kita juga melalui proses permohonan yang lengkap,” katanya.

Biarpun begitu, PRN di Sabah tetap berlangsung sehingga membolehkan Perikatan Nasional (PN) merampas pentadbiran negeri dari Warisan.

Persoalan yang timbul, adakah PRN di Melaka akan tetap berlaku di kala negara menunjukkan tanda positif penularan Covid-19 ditambah dengan peratusan vaksinasi dewasa sudah hampir mencecah 90 peratus.

Pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, pada masa ini, tiada siapa yang boleh menghalang PRN melainkan pengisytiharan darurat di negeri tersebut.

Bagaimanapun katanya, pilihan raya negeri tidak boleh diadakan sekiranya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersetuju untuk mengisytiharkan darurat di Melaka.

"Dalam keadaan tersebut yang tiada kerajaan, Yang di-Pertua Negeri perlu melantik kerajaan sementara.

"Dalam konteks itu, beliau kena melantik seorang ketua menteri interim sehinggalah pilihan raya boleh diadakan di DUN Melaka," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca