SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan mengalirkan air mata ketika memohon maaf kepada rakyat Melaka di atas kemelut politik yang menyaksikan terbubarnya Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau pada sidang medianya menjelaskan tangisannya itu ikhlas dan bukan dibuat-buat.
"Banyak lagi yang saya nak sampaikan, jadi saya minta maaf, yang mana saya agak tertinggi bahasa, terkasar bahasa, saya minta ampun dan maaf kepada rakyat negeri Melaka.
"Kerajaan negeri, rakyat negeri Melaka, maafkan kami. Saya cakap ikhlas. Nangis saya bukan main-main. Saya sayang tanah tumpah darah saya. Saya lahir di Tanah Merah. Kami buat semua ini untuk kamu semua,” katanya pada Rabu.
Pada Isnin, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka umum tarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar.
Selain Nor Azman, tiga ADUN lain yang menarik sokongan adalah bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
Rentetan itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa Isnin.
Beliau memaklumkan perkara tersebut telah dipersetujui oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.
Proklamasi pembubaran DUN yang ke-14 diwartakan pada Selasa dan berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, satu pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN tersebut.
Klik di sini untuk terus membaca