SHAH ALAM - UMNO memecat dua Ahli Undangan Negeri (ADUN) Melaka atas tindakan mereka mengkhianati kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang menerajui negeri itu sehingga terbubarnya Dewan Undangan Negeri pada Isnin.
Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan pemecatan itu kepada Malay Mail.
Dua ADUN dari UMNO itu adalah bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor).
Pada Isnin, empat ADUN Melaka umum tarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar.
Selain Idris dan Nor Azman, dua ADUN lain yang menarik sokongan adalah Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).
Rentetan itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa Isnin.
Beliau memaklumkan perkara tersebut telah dipersetujui oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.
Proklamasi pembubaran DUN yang ke-14 diwartakan pada Selasa dan berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, satu pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN tersebut.
Nor Azma pada sidang medianya hari ini memohon maaf kepada rakyat Melaka di atas kemelut politik yang menyaksikan terbubarnya DUN.
Beliau berkata, tindakannya itu hanya kerana rakyat di negeri itu.
Norhizam juga menjelaskan tindakannya menarik sokongan terhadap Ketua Menteri adalah demi memperjuangkan nasib rakyat.
Sepanjang tempoh 19 bulan bergelar Exco, beliau bergelut untuk mempergiat sektor pertanian termasuk usaha menangani isu permohonan tanah.
Ujarnya, permohonan yang dibuatnya telah ‘disunyikan’ oleh Sulaiman dan mendakwa, soal pembangunan negeri dipengaruhi pihak ketiga.
"Saya kecewa kerana dasar-dasar tidak dapat dilaksanakan. Dulu barua, sekarang bermaruah. Kita membakar diri untuk rakyat, berjuang untuk rakyat.
"Tengok apa komen rakyat. Ini suara rakyat, tengok satu persatu. Saya menjadi wakil rakyat, mendengar keluhan hati dan bukan perjuangkan diri saya sendiri,” tegas pada Selasa.
Klik di sini untuk terus membaca