KEPENTINGAN untuk melindungi alam sekitar adalah perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.
Ia bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah dan dipandang enteng atau hanya dijadikan gimik oleh sesetengah pihak bertujuan untuk mendapat publisiti murahan ataupun untuk meraih sumbangan daripada pihak swasta sahaja.
Ini adalah perkara serius yang boleh mengakibatkan kehilangan nyawa manusia. Alam sekitar adalah tanggungjawab kita bersama untuk menjaganya. Kegagalan kita untuk menjaganya boleh memberi kesan jangka panjang yang boleh mengakibatkan bencana alam dan malapetaka yang lebih besar.
Lihat sahaja apa yang berlaku di Kedah baru-baru ini. Kesan daripada fenomena kepala air di kawasan air terjun berhampiran Gunung Jerai telah mengakibatkan pokok serta jambatan runtuh dengan sekelip mata. Apa yang berlaku ini harus membuka mata semua pihak untuk diambil iktibar dan menjadi pengajaran apa yang boleh berlaku sekiranya kita tidak menguruskan dan menjaga alam sekitar dengan baik.
Bagi negara seperti Malaysia, kita amat memerlukan penjagaan alam sekitar dilakukan secara lestari dan berkesan. Matlamat ke arah pembangunan mapan juga bergantung kepada penglibatan pelbagai pihak termasuk kefahaman yang mendalam dalam kalangan mereka yang diberi tanggungjawab untuk memimpin negeri atau negara. Kita tidak boleh hanya mengharapkan Jabatan Alam Sekitar sahaja untuk memikirkan masalah yang mendepani kita ini.
Dunia hari ini berada dalam suasana ketidaktentuan fenomena yang belum pernah dialami sebelumnya - daripada banjir besar, hujan lebat luar biasa, suhu panas dan sejuk melampau, puting beliung, ribut taufan hinggalah kepada kesan pembalakan dan kerosakan alam sekitar yang dilakukan oleh manusia sendiri atas nama tamak haloba.
Pada hari ini terdapat seramai 7.7 bilion lebih penduduk dunia menghuni satu-satunya planet bumi yang memberikan penghidupan bukan hanya kepada manusia tetapi juga kepada flora, fauna dan yang lainnya.
Atas sebab itu kita harus berhemah dalam menggunakan segala isi bumi dan menggunakan segala sumber dengan beretika, berintegriti, cekap dan tanpa melakukan pembaziran yang berterusan.
Kita tidak boleh bertoleransi dengan mana-mana pihak, sebagai contoh mereka yang memberi alasan bahawa ‘pembalakan perlu diteruskan kerana telah ada perjanjian’ tanpa memikirkan kesan kepada alam sekitar jika diteruskan. Mungkin negara ini perlu mempunyai akta yang boleh mengatasi apa juga perjanjian dibuat oleh dua pihak sekiranya ada bukti bahawa perjanjian itu boleh merosakkan alam sekitar kita.
Pada waktu ini, kita boleh melihat di Malaysia, hampir saban hari alam sekitar kita mengalami pencemaran pelbagai bentuk dan dimensi - daripada pencemaran udara, air, bunyi bising sehinggalah pencemaran sampah sarap yang seolah-olah tiada penghujungnya. Saban hari juga kita boleh melihat pelbagai kempen pendidikan dan kesedaran alam sekitar diusahakan pelbagai pihak bertanggungjawab.
Namun, semua usaha baik ini seolah-olah seperti mencurahkan air ke daun keladi. Tahap kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar sekiranya diberi markah, mungkin masyarakat kita akan mendapat markah yang rendah kerana banyak petunjuk boleh kita lihat di mana ramai dalam kalangan masyarakat kita tidak mengendahkan peraturan ditetapkan Jabatan Alam Sekitar.
Yang paling kita tidak faham ialah bagaimana ada pihak yang tidak dapat memahami perkara asas tentang bagaimana pencemaran boleh dilakukan melalui penebangan hutan secara tidak terkawal terutama di pergunungan dan kawasan tadahan air. Mereka langsung tidak mahu faham implikasinya kepada ekosistem alam kita. Semuanya dikelabui dengan sikap tamak pada wang ringgit dan keuntungan yang boleh dirompak daripada hasil bumi, tanpa memikirkan kerosakan dilakukan pada bumi.
Pada ketika ini, saya rasa elok untuk kita bertanya, di mana integriti diri dalam menangani masalah alam sekitar dalam negara kita? Adakah ia hanya bila berhadapan dengan rasuah sahaja? Bagaimana pula dengan pembaziran dan kerosakan yang dibuat manusia ke atas alam sekitar atas nama mengaut keuntungan?
Bukankah kita diajar dahulu dalam mata pelajaran sivik bahawa adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga alam sekitar kita? Persoalan-persoalan ini penting untuk kita bertanya sambil mencari jawapan yang diharapkan akan memberi kefahaman mendalam agar kita lebih menghormati alam sekeliling dan bertindak dengan integriti dalam setiap tindak tanduk kita. Semoga Malaysia terus dipelihara Tuhan.
* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM
Klik di sini untuk terus membaca