TINDAKAN empat orang ADUN Melaka memendekkan riwayat kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md Ali selepas permohonan beliau untuk membubarkan DUN direstui, adalah tanda bahawa sindrom Sheraton masih berterusan dan boleh menganyang politik tanah... Klik di sini untuk terus membaca

TINDAKAN empat orang ADUN Melaka memendekkan riwayat kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md Ali selepas permohonan beliau untuk membubarkan DUN direstui, adalah tanda bahawa sindrom Sheraton masih berterusan dan boleh menganyang politik tanah air selepas PRU14.

Isunya bukan semata-mata kerana wakil rakyat keluar parti tetapi mereka keluar parti kerana persengketaan antara personaliti.

Kalau parti berpecah kerana perbezaan prinsip dan polisi sehingga wakil rakyat keluar parti untuk membentuk parti baru, malah sampai kerajaan bertukar tangan di tengah penggal, itu masih dalam lunas demokrasi pelbagai parti.

Dengan wujudnya ‘Parlimen/DUN tergantung’ (hung parliament/legislature) di mana tiada parti atau gabungan memenangi majoriti mudah, semua kerajaan yang terbentuk adalah gabungan pasca PRU dan kita tidak boleh menolak sesebuah kerajaan atas alasan ‘ini bukan kerajaan yang saya undi’.

Akan tetapi, demokrasi tidak semestinya dan tidak seharusnya kucar kacir kerana wujudnya Parlimen/DUN tergantung. Parlimen sentiasa tergantung di Jerman sejak 1949 dan di New Zealand dari 1996 ke 2020 tetapi politik mereka tidak kucar-kacir malah Jerman muncul sebagai kuasa Eropah terkuat dan terkaya manakala New Zealand mendahului dunia dalam melawan Covid-19.

DEMOKRASI

Demokrasi kita tidak perlu hina semacam sarkas katak, di mana wakil-wakil rakyat menggunakan mandat rakyat sebagai batu loncatan untuk menaikkan pangkat sendiri. Di Melaka, ada wakil rakyat yang merajuk, ada juga wakil rakyat melompat dua kali.

Episod seperti ini mesti berhenti dan bukan dengan pilihan raya negeri atau darurat tetapi dengan lima reformasi dalam perihal pembentukan kerajaan dan peranan wakil rakyat.

Reformasi pertama: Undang-undang pemecatan (recall) wakil rakyat yang melompat parti atau gabungan, yang membiarkan pengundi menentukan sama ada kerusi mereka perlu dikosongkan. Ini akan mengekalkan mereka yang keluar parti atau dipecat parti kerana membela rakyat dan menghukum mereka yang melompat tanpa restu pengundi.

Reformasi kedua: Mekanisme undi tidak percaya yang membina (Constructive Vote of No Confidence, CVNC). Dengan mekanisme ini, untuk menjatuhkan seseorang Perdana Menteri (PM) atau Ketua Menteri (KM), pembangkang mesti menyediakan seorang bakal PM/KM yang mendapat majoriti. Tanpa pengganti majoriti, maka PM/KM yang asal akan kekal berkuasa, pertukargantian kerajaan akan menjadi lebih jarang dan keperluan untuk pilihan raya awal juga menjadi kurang.

Reformasi ketiga: Undi percaya dalam sidang Parlimen/DUN pertama selepas pelantikan seorang PM/KM selepas pilihan raya. Undi percaya akan mengesahkan hemat Raja atau Yang di-Pertua Negeri bahawa calon PM/KM itu memang mendapat kepercayaan majoriti dalam Dewan.

Reformasi keempat: Dana pembangunan kawasan (Constituency Development Fund, CDF) yang sama tak kira parti mana. Kekurangan atau penafian langsung CDF untuk wakil rakyat pembangkang selalu digunakan oleh wakil rakyat yang melompat sebagai dalih watak 'kekatakan' mereka.

Reformasi kelima: Reformasi Parlimen/DUN supaya ahli pembangkang dan juga wakil rakyat barisan kedua (backbencher) kerajaan, turut dapat menonjolkan ketokohan mereka dan yakin dapat naik pangkat selepas PRU/PRN akan datang dan bukan berebut-rebut untuk melompat.

Persoalannya, UMNO dan PH sudah menjadi mangsa sarkas katak, adakah mereka sanggup mengeringkan kolam kotor yang membiakkan sarkas katak?

*Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca