LAIN yang dipinta, lain pula yang mendapat! Barangkali, itulah dilema dihadapi hampir 1 juta rakyat Melaka dengan negeri Hang Tuah itu disahkan sudah terbubar Dewan Undangan Negeri (DUN) dan berkemungkinan besar berhadapan pelaksanaan... Klik di sini untuk terus membaca

LAIN yang dipinta, lain pula yang mendapat!

Barangkali, itulah dilema dihadapi hampir 1 juta rakyat Melaka dengan negeri Hang Tuah itu disahkan sudah terbubar Dewan Undangan Negeri (DUN) dan berkemungkinan besar berhadapan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh 60 hari akan datang.

Pada saat kadar vaksinasi negara kini sudah mencapai 88 peratus dengan hanya dua peratus diperlukan untuk rakyat Malaysia dibenarkan merentas negeri bagi pulang ke kampung halaman masing-masing, penduduk Melaka sebaliknya terpaksa berdepan drama politik gila kuasa yang tidak berkesudahan.

Ia susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) blok kerajaan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Isnin.

Empat ADUN berkenaan ialah bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Perkara itu disahkan oleh Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang memaklumkan pembubaran DUN mendapat kelulusan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan diwartakan pada 4 Oktober lalu.

BONEKA?

Lucunya, episod ketua menteri daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dijatuhkan oleh ADUN-ADUN daripada parti sama itu mengulangi Langkah Kajang pada tahun 2013 di mana bekas Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Ibrahim dijatuhkan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor untuk digantikan dengan bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kini sudah meninggalkan parti itu).

Kumpulan empat ADUN yang diketuai Idris menegaskan tindakan itu terpaksa dibuat 'demi kepentingan rakyat'.

Empat ADUN itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). - Foto Awani

Hal ini susulan mereka kecewa dengan sikap Sulaiman yang didakwa menjadi boneka Ab Rauf, bertindak mengagihkan tender konsesi pasir untuk kerja tambakan laut di Pantai Kundor kepada kroni tertentu serta meluluskan pemberian tanah seluas 1,103 hektar kepada sebuah syarikat daripada Singapura untuk menjalankan projek komersil.

Sebagai respons balas, Ab Rauf pula mendakwa tindakan keempat-empat ADUN itu sudah lama dirancang bagi memenuhi rancangan Idris untuk kembali dilantik sebagai Ketua Menteri baharu.

Apa jua alasan diberikan, tindakan politiking mereka memberi kesan besar kepada kesejahteraan penduduk Melaka.

Masakan tidak, mereka kini bimbang pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) Melaka kelak bakal mengulangi musibah lonjakan gelombang ketiga Covid-19 yang tercetus selepas pelaksanaan PRN Sabah, Oktober tahun lalu.

Ironinya, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini mencadangkan PRN Melaka diadakan bagi menyelesaikan kemelut politik negeri itu, kemudiannya bertukar fikiran dengan mencadangkan keperluan perisytiharan darurat di negeri berkenaan susulan krisis Covid-19 di sana masih belum reda.

Dari pihak pembangkang pula, mereka tidak bersetuju dengan prosedur pembubaran DUN dibuat serta cadangan proklamasi darurat terhadap negeri Melaka yang ingin dilakukan oleh kerajaan Pusat.

BUDI BICARA AGONG

Mengupas persoalan sama ada langkah proklamasi darurat terhadap negeri Melaka boleh dilakukan atau tidak, seorang pakar perlembagaan berpandangan perkara itu sebenarnya bergantung kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya.

Menurut Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, proklamasi darurat tidak wajar dilaksanakan semata-mata untuk menangguhkan sesebuah pilihan raya, sebaliknya perlu disertakan dengan alasan mendesak yang menyentuh permaslahatan besar rakyat.

"Namun dalam konteks DUN Melaka, sekiranya darurat mahu diisytiharkan berdasarkan ukuran krisis Covid-19, kadar vaksinasi di Malaysia dan negeri itu sendiri difahamkan sudah melewati 80 peratus.

"Berdasarkan capaian angka itu, kadar imuniti berkelompok sebenarnya sudah tercapai dengan Melaka tidak lagi mencatatkan kes jangkitan harian Covid-19 tinggi.

"Lagipun, PRN Melaka yang dijangka dilaksanakan pada penghujung bulan November ini dalam keadaan negara berkemungkinan mencapai kadar vaksinasi 100 peratus menjadikan usaha mendapatkan perkenan proklamasi darurat daripada Seri Paduka Baginda lebih sukar kerana tiada alasan kukuh untuk kerajaan menangguhkannya," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Bagaimanapun pandangan berbeza dikemukakan seorang penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib yang berpendapat proklamasi darurat masih boleh dilaksanakan atas faktor negara masih dalam proses pembasmian krisis Covid-19.

Jelas beliau, dalam konteks negeri Melaka, sekiranya PRN diadakan pada saat krisis kesihatan belum berakhir, kerajaan perlu mengambil kira potensi tercetusnya kebimbangan awam dalam kalangan rakyat terutamanya soal ancaman Covid-19 kembali meningkat sebagaimana berlaku pada PRN Sabah serta aktiviti rusuhan politik bersifat anarki.

"Atas aspek ini, saya fikir darurat perlu dilaksanakan di Melaka dengan syarat, kerajaan Pusat campur tangan dan menasihati Yang di-Pertuan Agong serta Yang Dipertua Negeri Melaka untuk mewujudkan sebuah kerajaan negeri sementara seakan-akan Majlis Gerakan Negara (Mageran).

"Tadbir urus kerajaan sementara itu pula perlu diketuai oleh seorang pegawai tadbir berpengalaman di peringkat persekutuan atau pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri sendiri atau seorang tokoh yang bukan bersifat kepartian bagi menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Menteri sementara.

"Bagi jawatan Exco kerajaan negeri pula, pelantikan boleh dibuat dalam kalangan penjawat awam, tokoh akademik dan teknokrat dengan penglibatan orang politik perlu dihadkan sepenuhnya," katanya.

Tambah Md Shukri lagi, sekiranya Sulaiman dilantik sebagai Ketua Menteri sementara, kerajaan akan berdepan risiko disaman ADUN-ADUN PH yang mempertikaikan tatacara pembubaran DUN dilakukan.

"Justeru, dalam konteks politik Melaka, saya meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu berani membuat keputusan penting dengan melaksanakan pentadbiran proksi ala Mageran di Melaka bagi mengendurkan desakan PRN.

"Walaupun beliau bukan Presiden UMNO, tetapi beliau adalah seorang Perdana Menteri yang bukan proksi kepada parti. Beliau kena rujuk kes darurat negeri Kelantan pada tahun 1970-an sebagai panduan dan tumpuan untuk melestarikan kembali pentadbiran kerajaan Melaka," katanya.

TEKANAN UNTUK UMNO

Dalam pada itu, seorang penganalisis politik menjangkakan UMNO merupakan parti yang bakal mendapat implikasi negatif paling besar sekiranya PRN Melaka terpaksa diadakan dalam tempoh 60 hari lagi.

Jelas Ketua Eksekutif, Sekretariat Kongres Maruah Melayu, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, UMNO perlu lebih berhati-hati dalam menuntut pelaksanaan PRN Melaka kerana parti itu berkemungkinan besar berdepan penolakan daripada pengundi yang sudah bosan dan jemu dengan permainan politik mereka.

"Lebih-lebih lagi selepas Presiden parti itu berkata 'no way' untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), UMNO sebenarnya kena memikirkan kesan tindak-tanduk politiking mereka di Melaka, adakah objektifnya difahami pengundi Melayu atau tidak?

"Mungkin pengundi di kawasan terkesan konflik politik seperti DUN Teluk Kundor, DUN Tangga Batu dan sebagainya memahami tujuan penarikan sokongan dibuat ADUN tempat masing-masing dan bersedia kembali menyokong calon UMNO yang bersih kelak.

"Tetapi pengundi di luar kawasan konflik, mereka tidak faham punca krisis politik, sebaliknya berasa jemu dan bosan dengan sikap politiking orang UMNO yang kerjanya asyik menjatuhkan kerajaan, sama ada di peringkat negeri hingga ke Pusat," katanya.

Zainal turut menyuarakan kebimbangan parti-parti pembangkang mampu menambah lebih banyak kerusi DUN pada PRN Melaka sekiranya krisis perpecahan antara parti-parti Melayu tidak menemui titik noktah.

"PN juga berdepan kesukaran untuk menang dengan Pas adalah contoh terbaik sebuah parti yang lama berakar umbi di Melaka, namun memiliki kadar kemenangan sangat rendah di Melaka.

"Jika keputusan PRN Melaka mengulangi atau lebih buruk daripada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), maka kedudukan politik negeri Melaka akan kembali kepada situasi asal iaitu yang menang hanya perolehi majoriti tipis dan yang kalah bila-bila masa boleh jatuhkan kerajaan baharu," katanya.

Istana Melaka yang merupakan kediaman rasmi Yang di-Pertua Negeri Melaka. PH mahu mencabar keputusan pembubaran DUN di mahkamah.

Selain membincangkan peluang kemenangan UMNO pada PRN Melaka, Zainal turut berpandangan 'Langkah Melaka' ini juga sebagai isyarat kepimpinan UMNO kepada kerajaan Pusat bahawa mereka juga boleh berdepan nasib sama sekiranya membuat keputusan tidak selari dengan parti.

"Justeru, pemimpin UMNO menguasai kerajaan terutama Ismail Sabri sendiri perlu mengambil berat perkembangan politik berlaku di Melaka dan bersiap sedia berdepan dengan segala kemungkinan sekalipun sudah menandatangani gencatan politik dengan PH.

"Tidak mustahil PRN Melaka dijadikan projek rintis oleh UMNO untuk mengukur sejauh mana kekuatan mereka bagi menghadapi PRU15 selain mendesak PRU15 dilaksanakan segera.

"Soal sama ada PRU15 boleh dilaksanakan lebih awal atau tidak, itu bergantung kepada keputusan pertembungan antara fraksi menyokong Presiden UMNO serta fraksi UMNO menyokong Perdana Menteri," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca