SHAH ALAM - UMNO dijangka tidak menghadapi masalah untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan membentuk sebuah kerajaan tanpa gabungan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Penganalisis politik, Datuk M Periasamy berkata, tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu tidak menjejaskan UMNO dalam menghadapi PRN.
"Kita lihat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), UMNO mampu memenangi sebanyak 13 daripada 28 kerusi. Boleh dikatakan mereka menang majoriti di Melaka. Berbanding dengan Bersatu pula, mereka hanya menang dua kerusi daripada enam kerusi.
"Ini jelas menunjukkan bahawa UMNO memang mempunyai sokongan kuat dalam kalangan pengundi di Melaka khususnya orang Melayu.
"Saya rasa UMNO dengan mudah boleh mengalahkan calon Bersatu. Tiada masalah untuk UMNO bersendirian tanpa Bersatu,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Pada Rabu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRN Melaka.
Sehubungan itu, UMNO Melaka akur sekiranya pucuk kepimpinan tertinggi parti itu memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRN Melaka.
Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, meskipun UMNO negeri mengalu-alukan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), namun parti itu juga bersedia untuk bertanding bersendirian.
Periasamy bagaimanapun berkata, UMNO perlu lebih memberi perhatian kepada kemungkinan unsur sabotaj dalam parti itu sendiri.
Katanya, kemungkinan itu ada kerana ada ahli parti tersebut tidak memberi sokongan kepada kepimpinan di negeri Melaka.
"Sekarang saya lihat bukan kekuatan pembangkang menentang UMNO. Saya lihat kelemahan dalam UMNO sendiri yang berpecah. Ini mungkin menyebabkan sokongan terhadap parti itu dan BN merosot di Melaka,” ujar beliau.
Sementara itu, penganalisis politik dan media sosial dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, UMNO seharusnya mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan krisis yang berlaku.
Jelas beliau, sekiranya tiada kerjasama antara UMNO dan Bersatu, kemelut politik akan berpanjangan.
"Saya melihat UMNO perlu memikirkan keadaan politik masa ini. Mereka perlu juga memikirkan masa depan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Ia akan memberikan impak kepada imej parti tersebut kepada rakyat.
"Sebarang penyelesaian mesti dibuat cara yang baik kerana ia akan memberi persepsi rakyat kepada UMNO,” katanya.
Mengulas mengenai kemampuan UMNO, beliau berkata, parti tersebut perlu meletakkan calon yang terbaik untuk bertanding pada PRN Melaka.
"Sudah tentu saingan sengit kerana apabila peluang pilihan raya ini dibuka, sekali gus membuka ruang untuk Pakatan Harapan (PH) kembali semula berkuasa di Melaka.
"Sekiranya PH berjaya menguasai Melaka, ia adalah satu langkah UMNO yang silap kerana gagal menyelesaikan kemelut dalaman parti sehingga menggadaikan Melaka,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca