APABILA Thailand mengambil keputusan menghalalkan penggunaan, penjualan dan menarik keluar ketum daripada senarai narkotik Kategori V, ia umpama mimpi ngeri kepada Malaysia. Mereka di perbatasan Malaysia-Thailand khususnya yang menetap... Klik di sini untuk terus membaca

APABILA Thailand mengambil keputusan menghalalkan penggunaan, penjualan dan menarik keluar ketum daripada senarai narkotik Kategori V, ia umpama mimpi ngeri kepada Malaysia. Mereka di perbatasan Malaysia-Thailand khususnya yang menetap berdekatan Bukit Kayu Hitam, pasti tahu betapa rapuhnya sempadan kita kepada penyeludup daun ketum.

Penulis sendiri agak terpempan dengan pengumuman tersebut. Sebagai seorang yang pernah bermastautin lama di Perlis, penulis mengerti permasalahan ketum kepada sempadan Malaysia-Thailand. Apabila Thailand muncul negara Asia Tenggara pertama membenar penggunaan ketum bagi tujuan perubatan pada 2018, tentera penyeludup bergerak bebas di sempadan Malaysia-Thailand.

Malah, apabila penulis mendedahkan penggunaan air ketum dalam kalangan sebuah pasukan ternama profesional dunia pada jelajah terkemuka dunia, Tour de France 2020, ia menerima sambutan hangat ahli akademik negara ini. Tidak dapat dinafikan ketum atau Kratom atau nama saintifiknya Mitragyna Speciosa, disenaraikan ramuan herba sah, sering mendapat pelbagai reaksi di negara ini.

Malaysia menolak ketum sepenuhnya. Ketum mempunyai kesan seperti opioid dan perangsang yang telah lama digunakan di hampir semua wilayah di Thailand. Malah, ada petani di utara Malaysia, mengunyah daun ketum untuk mengekalkan tenaga ketika mengerjakan bendang.

Laporan Bangkok Post 23 Ogos lalu, menyebut daun ketum telah lama digunakan penduduk setempat bagi menghilangkan sakit perut, batuk dan kencing manis dan dijual antara 5 hingga 10 baht (60 sen - RM1.25) mengikut gred dan saiznya.

Penulis melihat permasalahan terbaru ini sebagai satu trend positif kepada perkembangan kejuruteraan dron, artificial intelligent atau kecerdasan buatan (AI) di negara ini. Dron boleh digunakan untuk memetakan kawasan penanaman pokok ketum. AI pula boleh mengenal pasti pola perjalanan tentera penyeludup dari Thailand yang membawa bekalan daun ketum keluar daripada negara ini.

Di Thailand, pokok ketum ditanam di wilayah tengah dan selatan negara itu, dengan beberapa spesies mencapai ketinggian sehingga 100 kaki. Pokok ketum kebiasaannya mudah hidup di tanah basah, humus atau tanah berpaya.

Ketika ini, Prince of Songkla University sedang mengkaji pokok ketum untuk mengetahui apakah ia dapat digunakan sebagai ganti metadon, ubat yang diimport untuk merawat gejala penagihan dadah.

Dipercayai, universiti tersebut bekerjasama dengan sebuah kilang ekstrak produk vitamin, minuman tenaga dan makanan tambahan berasaskan ketum.

PENYELIDIK

Persoalannya kenapa ketum tidak mendapat perhatian dalam kalangan penyelidik di negara ini? Sedangkan ALLAH SWT telah berfirman dalam Surah Al-An’aam ayat [6:99] yang maksudnya, "Dan Dialah yang menurunkan air hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air itu segala macam tumbuh-tumbuhan, maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman yang menghijau,

Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu butir yang banyak; dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah, dan (perhatikan pulalah) kematangannya.

Sesungguhnya pada yang demikian itu ada tanda-tanda (kekuasaan ALLAH) bagi orang-orang yang beriman.”

Penulis pernah dimaklumkan daun ketum digunakan untuk mengeluarkan angin dalam badan dan meningkatkan tenaga untuk melakukan kerja berat. Air daun ketum juga boleh merawat penyakit tertentu seperti sakit belakang, demam, batuk, penyakit cacing, penawar diabetes, dan darah tinggi.

Penulis percaya Thailand menghalalkan ketum kerana ia bermanfaat jika diproses secara saintifik. Penulis syorkan Malaysia bekerjasama dengan Thailand menjalankan penyelidikan serampang dua mata untuk mencari manfaat penggunaan ketum ke arah kelestarian industri kesihatan dan pertanian.

Kesimpulan, penulis percaya ketum boleh menjadi komoditi perladangan dan industri hiliran seperti pokok tembakau atau lada hitam. Cuma buat masa ini, penulis mencadangkan pihak berkuasa perlu meningkatkan pengawasan di sempadan Malaysia-Thailand dengan penggunaan dron dan pemerkasaan AI.

* Profesor Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Klik di sini untuk terus membaca