ANTARA elemen utama dalam demokrasi adalah pilihan raya.
Rakyat bukan hanya diberi hak, malah bertanggungjawab memilih wakil bagi membawa hasrat dan inspirasi ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Malaysia telah ‘meraikan’ proses pemilihan wakil rakyat sebanyak 14 kali semenjak tahun 1959 dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan selewat-lewatnya dalam tahun 2023.
Perlembagaan Persekutuan menggariskan syarat bagi membolehkan rakyat didaftarkan sebagai pengundi.
Sebelum ini, pengundi harus berusia 21 tahun untuk mendaftar sebagai pengundi tetapi kini dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan, had umur diturunkan kepada 18 tahun dan pendaftaran dilalukan secara automatik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ia kemudahan yang baik kepada pengundi baharu dan memberi suara yang lebih kepada bakal pemimpin.
Baru-baru ini, seorang pemimpin parti politik mencadangkan agar setiap pengundi berdaftar diwajibkan mengundi dan denda dikenakan terhadap pemilih yang gagal untuk keluar mengundi.
Undang-undang untuk mewajibkan mengundi bukanlah perkara baharu kerana sejumlah 21 negara termasuk Singapura, Thailand dan Australia mewajibkan pengundi berdaftar di negara tersebut untuk keluar mengundi.
Mengikut prinsip demokrasi, seseorang wakil rakyat harus mendapat undi terbanyak bagi melambangkan beliau mewakili suara terbesar dalam masyarakat yang diwakili. Perwakilan adalah suatu perkara yang mustahak di dalam pilihan raya demokratik.
MISI 100 PERATUS MENGUNDI
Beberapa perkara asas mengenai pilihan raya perlu difikirkan sebelum undi wajib diperkenalkan di Malaysia.
Dalam lima pilihan raya umum sejak tahun 1999 sehingga 2018, purata keluar mengundi adalah 76.44 peratus.
Ia menunjukkan minat untuk keluar mengundi adalah tinggi walaupun tiada undang-undang yang mewajibkan pengundi untuk mengundi.
Australia dan Singapura, yang mewajibkan rakyat untuk mengundi juga gagal mendapat 100 peratus pengundian.
Denda yang dikenakan ke atas pengundi yang tidak memilih juga gagal memastikan jumlah pengundi yang penuh.
Daripada data, undang-undang tidak dapat memastikan semua pengundi akan keluar mengundi dan rakyat Malaysia menjalankan hak mereka untuk mengundi tanpa dipaksa oleh undang-undang.
Bagi membolehkan semua keluar mengundi, SPR perlu memastikan kemudahan dirasai oleh semua pengundi.
Pengundi terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman tidak boleh dibebankan dengan perjalanan jauh untuk ke pusat mengundi.
Kemudahan alternatif seperti peti undi atau pusat mengundi bergerak harus disediakan bagi kemudahan rakyat.
Senario sistem pilihan raya di Malaysia ketika ini, pemilih akan mengundi di kawasan mereka didaftarkan.
Undi awal dan undi pos hanya dibenarkan kepada sembilan kategori pengundi seperti anggota pasukan keselamatan dan perkhidmatan kritikal seperti bomba, perubatan dan pengamal media.
Namun masih ramai yang tidak dikategorikan sebagai ‘pengundi tidak hadir’ seperti kakitangan industri penerbangan, pekerja di sektor perkapalan, petugas syarikat cari gali di luar pesisir.
Pengundi-pengundi itu tidak diberi kemudahan walaupun secara logiknya amat sukar bagi mereka hadir di pusat mengundi kerana tuntutan tugas.
Pilihan raya Malaysia kini terbuka iaitu tarikhnya tidak ditetapkan, tetapi bergantung kepada pembubaran Dewan Rakyat atau DUN yang jangka hayatnya tidak lebih dari lima tahun.
Pembubaran Dewan akan dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong di atas nasihat Perdana Menteri.
Ia menunjukkan hanya Perdana Menteri yang mengetahui bilakah Dewan akan dibubarkan.
Sistem itu juga menimbulkan cabaran yang besar pihak pengurusan pilihan raya dan pengundi sendiri bagi bersedia untuk menghadapi pilihan raya.
Mengundi adalah hak dan rakyat harus diberi peluang memutuskan sama ada mereka ingin melaksanakan hak tersebut ataupun tidak tanpa paksaan.
* Amerul Muner Mohammad ialah mantan Ketua Pegawai Eksekutif ERC
Klik di sini untuk terus membaca