HAKIKATNYA, usaha bersungguh-sungguh untuk memiliki sesuatu perkara yang tidak kekal adalah amat merugikan.
Begitulah juga dunia ini yang tidak kekal untuk selamanya. Pun begitu, tipu daya dunia adalah sangat benar.
Walaupun ramai yang tahu bahawa kehidupan itu tidak kekal, namun kerana berprinsipkan ‘hidup ini hanya sekali’, ramai yang berusaha semaksimum mungkin untuk peroleh nikmat dunia.
Seperti mana biasa, spesies manusia ini tidak akan berpuas hati dengan apa yang dimiliki, justeru mereka akan terus berusaha memiliki dunia sehinggakan ‘dirasuk’ untuk memusnahkan sesiapa sahaja yang menghalang tujuan tersebut.
Sebetulnya, sewaktu kecil, sikap ingin memiliki sudah terbina dalam diri. Namun, ada yang kita dapat dan ada yang kita tidak dapat miliki.
Jika kita dapat miliki, hendak berkongsi dengan orang lain amat payah sekali. Sikap ingin memiliki terus berkembang di peringkat remaja dan awal dewasa.
Ada yang cari duit sendiri kerana ingin memiliki apa yang dihajati. Kebanyakannya, ingin memiliki apa yang orang lain miliki dan berasa malu dan tercabar jika tidak memilikinya.
Apabila sudah bekerja dan berkahwin, nafsu ingin memiliki semakin besar. Memiliki wang yang banyak, pangkat yang besar, kedudukan yang tinggi dan terkenal, menjadi idaman kebanyakan individu.
Nafsu untuk memiliki kadang-kala tidak terbendung, seumpama menjarah bukit sehingga rata.
Lama kelamaan, mereka berusaha pula untuk memiliki dunia. Kali ini, bukan setakat material dan kedudukan yang diimpikan, sebaliknya ingin menguasai manusia.
Justeru, mula berasa orang lain tidak layak dalam segala hal. Malah, usaha orang lain untuk berjaya, dicantas begitu sahaja kerana tidak mahu dianggap bersaing dengan mereka.
Namun, kumpulan yang 'mencandu’ dirinya dijaga penuh rapi dan memilih sesiapa sahaja untuk 'dicandukannya’.
Pernyataan "Dunia ini ana yang punya” menjadi slogan hidup dan diiringi hilaian ketawa para pencandunya.
Semakin lama, pengaruh dan kuasa semakin kuat. Bagi yang disisihkan, mula menjauhkan diri dan terus beralih kepada pintu-pintu yang lain yang masih terbuka. Namun, semua itu tidak penting kerana sudah memiliki dunia.
Berkaitan hal tersebut ALLAH SWT berfirman: "Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah ALLAH), kerana bagi ALLAH jualah segala kemuliaan. Kepada ALLAH lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula diangkatnya naik (sebagai amal yang makbul, yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya) Dan sebaliknya, orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat, dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan akan rosak binasa” (Surah Fatir, 35:10)
Selain itu, menurut Amru Khalid menerusi bukunya Ghayyir Nafsaka atau Perubahan Diri, "tiga penyakit dihadapi masyarakat Islam hari ini adalah pemikiran yang mati, jiwa yang lemah dan iman yang telah padam sinarnya”.
Bagi individu yang mampu mengambil iktibar dan pengajaran yang berlaku di sekelilingnya sudah tentu dia akan dapat menguasai dirinya serta orang lain dan bukan dikuasai atau dipergunakan oleh orang lain”.
Namun begitu, jarang sangat yang ingin mengambil iktibar apa yang berlaku kepada individu yang terlampau kasihkan dunia.
Pada hemat saya, individu yang teruja memiliki dunia telah lupa bahawa memiliki dunia adalah termasuk pakej kesengsaraan dan kematian.
Apabila berada di liang lahad, barulah sedar bahawa lubang kubur juga milik dunia.
Insaflah, bahawa dunia bukan untuk diimiliki tetapi untuk diberkati.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca