SEBENARNYA saya agak keliru tentang amalan prosedur penjarakan fizikal ini, terutamanya di tempat awam.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) ada mengeluarkan arahan yang selain memakai pelitup muka, penjarakan fizikal sangat penting diamalkan untuk menghindarkan kita dijangkiti Covid-19.
Namun ada tempat yang saya rasa agak sukar dan mencabar untuk diamalkan penjarakan fizikal, contohnya ketika menggunakan kenderaan awam.
Saya ialah seorang pengguna kenderaan awam yang tegar. Setiap hari saya akan menaiki komuter untuk pergi dan balik ke tempat kerja. Biasanya waktu sesak adalah ketika pulang dari kerja.
Pada permulaan fasa, kenderaan awam contohnya komuter mengamalkan penjarakan fizikal.
Setiap kerusi ditanda pangkah berselang-seli untuk mengehadkan penumpang supaya tidak duduk berhimpit.
Ada juga penumpang yang berdiri, namun keadaan terkawal kerana ramai yang bekerja dari rumah.
Apabila masuk bulan Oktober, tanda pangkah dibuang pula.
Maka penumpang mungkin dibenarkan duduk berhimpit-himpit agaknya pada pandangan saya. Ia menimbulkan keadaan tidak selesai juga terutama mereka yang ingin amal penjarakan fizikal.
Ada sahaja penumpang yang tidak kisah pun untuk duduk berhimpit. Mereka tanpa segan silu duduk atau minta duduk dan minta dialihkan barang yang diletakkan di kerusi sebelah.
Penumpang tersebut dengan teragak-agak mengalihkan barangnya untuk memberi penumpang itu duduk di sebelahnya.
Di sinilah amalan penjarakan fizikal menimbulkan kekeliruan bagi saya dan mungkin orang lain juga.
Tanpa berlengah, saya ada mengajukan soalan itu kepada Keretapi Tanah Melayu (KTMB), Malaysia Government Call Center (MyGCC), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
KKM meminta saya bertanya dan mendapat pengesahan daripada Crisis Preparedness and Response Center (CPRC), MKN membalasnya dengan meminta saya merujuk kepada laman sesawang, aplikasi Telegram atau menghubungi sahaja bahagian khidmat pelanggan.
JAWAPAN
Cuma dua agensi yang menjawab terus kepada saya. MyGCC memberitahu penjarakan fizikal masih diamalkan dan menaiki kenderaan boleh mengikut kapasiti yang ditetapkan.
Manakala KTMB, membalasnya dengan mengatakan tanda pangkah penjarakan fizikal sudah tiada memandangkan kerajaan telah membenarkan komuter beroperasi dengan kapasiti penuh.
Namun begitu, katanya KTMB lagi, penumpang hendaklah mematuhi prosedur dan sentiasa amalkan penjagaan kendiri iaitu seperti penggunaan pelitup muka dan sanitasi tangan.
KTMB menyertakan grafik MKN yang menyatakan; "Kapasiti penuh berdasarkan tempat duduk. Tiada penandaan penjarakan fizikal, namun penumpang diminta mengurangkan interaksi dan melakukan penjarakan fizikal”.
Dalam keadaan kenderaan awam dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh berdasarkan tempat duduk, masih ada yang berdiri bersesak.
Maka dengan cara apakah kita hendak lakukan penjarakan fizikal?
Saya bukan apa, risau juga apatah lagi diberitahu aplikasi MySejahtera akan memasang butang aduan pula.
Mungkin nanti ramai yang akan menjadi penyiasat persendirian dengan merakam gambar orang yang tidak jarakkan diri.
Dan mungkinkah penguat kuasa akan menyaman pula mereka nanti?
Baru-baru ini, tular pula gambar Menteri Kanan Pendidikan yang katanya tidak mengamalkan penjarakan fizikal. Nasib baik katanya gambar itu palsu.
Sekali lagi saya bertanya KTMB sambil memberi cadangan.
Kata saya; "Kalau saya dapat duduk, kemudian saya meletak beg di sebelah supaya tiada orang duduk rapat di sebelah saya bolehkah?”
Jawapan KTMB melegakan saya, katanya; "Boleh, ia adalah penjagaan kendiri juga tuan”.
Setelah mendapat jawapan itu, saya terus meletakkan beg di sebelah.
Nampaknya tiada yang menyuruh saya alihkan beg untuk mereka duduk di sebelah saya. Cuma terjadi juga kepada penumpang lain. Masih ada penumpang yang tidak peduli.
Saya berfikir, kalau nanti ada penumpang meminta saya alihkan beg, adakah saya akan setuju untuk benarkan dia duduk?
Saya harap tidaklah akan terjadi pertengkaran atau bertumbuk muka pula dalam komuter nanti.
* Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca