AKHIRNYA jangka hayat kerajaan negeri Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) hanya bertahan selama sekitar 18 bulan.
Ia setelah sekali lagi insiden menarik sokongan seperti yang berlaku sebelumnya menyingkirkan kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) setelah menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Apa pun kesudahannya, yang berlaku di negeri itu memperlihatkan bahawa keperluan mewujudkan satu mekanisme substantif bagi mengekang aktiviti lompat parti atau hilang kepercayaan yang boleh mengucar-ngacirkan politik negara.
Justeru sudah tiba masanya untuk kita mendesak supaya Akta Lompat Parti atau Akta Pemecatan Wakil Rakyat (Recall Election) segera dilaksanakan.
Mengapa akta-akta tersebut perlu? Diperhatikan pasca PRU14 jelas memperlihatkan politik kita sudah bergerak meninggalkan kerangka parti dominan yang sebelumnya memberikan kestabilan politik yang relatifnya baik, walaupun dari perspektif demokrasi adalah sebaliknya.
Dengan perkembangan semasa serta jangkaan bahawa landskap dan pola pengundian berubah wajah, terutamanya pembesaran jumlah pengundi muda dan baharu pada masa hadapan, kebarangkalian keputusan undian terpecah akan membawa kepada kesukaran untuk membentuk majoriti dan kerajaan.
Maka atas pertimbangan itu, timbul kegusaran ia akan membuka ruang untuk melompat atau merajuk yang berpotensi menggugat kestabilan kerajaan.
Keperluan bagi mewujudkan suatu mekanisme kawalan kukuh ketika ini adalah sangat kritikal bagi memastikan kestabilan politik jangka masa panjang.
Ketiadaan mekanisme tersebut sudah memperlihatkan bagaimana tindakan lompat parti berkemungkinan akan berulang sekali gus mengganggu kehidupan segenap masyarakat.
Walaupun begitu, adakah mekanisme kawalan substantif sahaja mampu selesaikan masalah lompat parti?
Dalam kes di Melaka, ia sebenarnya masih boleh diselesaikan dengan baik dan berkesan. Sebelumnya, kita sudah menyaksikan dua kes duluan (precedent cases) di peringkat Persekutuan.
Lihat bagaimana Yang di-Pertuan Agong dua kali menggunakan budi bicara dengan memanggil kesemua ahli Parlimen bagi mendengar sendiri pandangan dan keputusan mereka untuk memastikan ketelusan serta kesahihan sokongan memilih Perdana Menteri.
Sepatutnya kaedah yang sama boleh digunakan dalam kemelut politik di Melaka. Kita tidak mahu apa yang berlaku seolah-olah memperlihatkan bahawa rakyat hanya diperlukan ketika mengundi, tetapi ditinggalkan setelah selesai.
Apabila berlaku lagi masalah yang disebabkan oleh orang politik sendiri, rakyat kena mengundi pula bagi menyelesaikannya.
Bila selesai sekali lagi rakyat ditinggalkan, terkontang-kanting melihat gelagat mual mereka mencatur kuasa berbahagi ghanimah sehinggalah pilihan raya tiba.
Apakah amalan sebegini mahu kita jadikan sebagai budaya politik negara?
Sampai bila demokrasi sekadar menjadi alat mengesahkan sebuah kerajaan yang akhirnya dirosakkan orang politik tidak berprinsip dan harga diri?
Adakah kita mahu berterusan hidup dalam kitaran politik bersifat ‘senang pemimpin sapu, sengsara rakyat tanggung’?
Ucapan Socrates ketika mengkritik penguasa Greece yang korup barangkali patut dijadikan pedoman.
Socrates berpendapat bahawa tujuan politik bukanlah untuk merebut kuasa ataupun mengekalkan kuasa.
Keutamaan tertinggi dalam politik adalah membentuk tata urus negara telus dan adil serta melahirkan ahli politik dan pegawai awam jujur, beretika serta bertanggungjawab.
Socrates melihat ia hanya berhasil kalau nilai moraliti dan mementingkan pengembangan jiwa, tidak berlebih-lebih dalam hal material serta kesetiaan kepada undang-undang dan negara diangkat menjadi amalan dan budaya kehidupan si pemegang amanah.
Yang di-Pertuan Agong dua kali menggunakan budi bicara dengan memanggil kesemua ahli Parlimen bagi mendengar sendiri pandangan dan keputusan mereka bagi memastikan ketelusan serta kesahihan sokongan dalam memilih Perdana Menteri.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca