DALAM artikel lalu, saya telah menggariskan komposisi pasukan bola sepak Negeri Sembilan yang berbilang bangsa. Saya berhujah bahawa semangat kenegerian boleh membantu kesetiaan kepada Malaysia dengan lebih meluas, berbanding menjadi batu... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM artikel lalu, saya telah menggariskan komposisi pasukan bola sepak Negeri Sembilan yang berbilang bangsa.

Saya berhujah bahawa semangat kenegerian boleh membantu kesetiaan kepada Malaysia dengan lebih meluas, berbanding menjadi batu penghalang.

Jika kita mula menerima kepelbagaian dalam komuniti tempatan dan negeri, semestinya kita mampu melakukannya di peringkat nasional dan juga dunia.

Malangnya, kita kemudian diingatkan bahawa perkauman masih lagi menjalar dalam arena sukan dan parti politik Malaysia.

Pemain badminton perseorangan wanita negara, S Kisona diserang secara semberono di laman Twitter ketika mewakili negara dalam kejohanan Piala Sudirman di Finland.

Mujurlah reaksi pantas diambil di media sosial terhadap individu tersebut.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berasa amat terkejut dengan komen yang amat mengecewakan itu, manakala ahli politik lain turut mengecam tindakan tersebut.

Laporan polis telah dibuat dan individu tersebut kini telah meletakkan jawatan parti politiknya.

Pembelaan yang rapuh telah diberikan dengan alasan emosi kekecewaan akibat kekalahan Malaysia dalam perlawanan badminton dan penggunaan perkataan penghinaan tanpa niat.

Perasaan kecewa bukan satu alasan untuk bersikap perkauman, manakala penggunaan kata hinaan itu harus dinilai berdasarkan niat.

Walaupun perkataan mempunyai makna yang berlainan mengikut tempat, tetapi dalam kes berkenaan, perkataan berkenaan digunakan bersama dengan stereotaip yang menyinggung latar belakang etnik atlet.

Hal itu jelas menunjukkan bahawa ia bukan kononnya penggunaan bahasa tempatan yang tidak menghina.

Lebih memburukkan keadaan, terdapat percubaan untuk memetik nama tempat seperti Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang (sebuah bangunan indah yang pernah saya tulis mengenainya) sebagai lesen untuk menggunakan perkataan tersebut.

Tanpa sensitiviti sejarah yang betul, penggunaan perkataan seperti itu sememangnya benar-benar satu penghinaan.

Sekalipun makna perkataan berevolusi mengikut zaman dan tempat, seperti yang saya perhatikan berkenaan dengan perkataan "n” di Amerika Syarikat, seorang ahli politik berprofil nasional seharusnya mempunyai kebijaksanaan untuk mengelakkan daripada menggunakan perbendaharaan kata yang berunsur perkauman.

Beberapa hari belakangan ini, ribuan laporan polis telah dibuat terhadap seorang ustaz kerana petikan ucapannya yang membayangkan penganut agama Buddha dan Hindu di Malaysia ingin membunuh penganut Islam dengan mengaitkan konflik-konflik keganasan antara agama yang sedang berlaku di bahagian lain dunia.

Komen saya mengenai hal itu hanyalah bahawa saya mengenali ustaz lain yang bekerjasama dengan rakyat Malaysia beragama Buddha dan Hindu, malah suku kaum Dayak untuk meningkatkan kehidupan masyarakat.

Beliau seorang yang mengiktiraf ramai penganut Buddha dan Hindu yang telah menyumbang kepada negara serta memahami bahawa budaya Melayu itu sendiri mempunyai pertalian yang panjang dengan tamadun Hindu dan Buddha.

Sebagai contoh, mana-mana ustaz yang berdakwah menggunakan bahasa Melayu akan menggunakan perkataan yang berasal dari Sanskrit.

BASMI RASUAH

Apa yang melegakan adalah khutbah Jumaat di masjid-masjid seluruh Negeri Sembilan pada minggu lepas menyentuh isu membasmi rasuah serta dimulakan dengan peringatan berbuat baik dan mencegah kemungkaran (amar makruf, nahi mungkar) bukan sahaja bermanfaat untuk Muslim malah untuk seluruh masyarakat.

Kejadian perlakuan atau individu perkauman mudah untuk dikenal pasti dan selayaknya dikecam oleh majoriti.

Bahkan, mereka yang tidak selesa dengan idea perkauman struktural atau institusi tidak dapat menafikan bahawa sejarah dan dasar-dasar kerajaan telah memainkan peranan besar dalam membenarkan perkauman sebegini berlaku.

Lebih rumit lagi adalah persetujuan berkenaan cara terbaik untuk membanteras perkauman ini.

Beberapa pihak mengutamakan penyelesaian ekonomi dengan menggunakan institusi-institusi untuk membina kemampuan intelek serta kemahiran beberapa kumpulan, atau membuatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjalankan agenda berasaskan kaum atau memerlukan sekurang-kurangnya pegangan saham bumiputera sebanyak 51 peratus dalam syarikat pengangkutan barang.

Pihak lain menginginkan perwakilan yang nyata dalam perbadanan awam dengan memberi hujah bahawa golongan atasan pihak kerajaan, perkhidmatan awam, Parlimen, badan kehakiman, syarikat tersenarai, universiti, polis serta tentera perlu mempunyai kepelbagaian.

Kuota atau insentif perlu ditetapkan agar dapat mencapai perkara ini.

Pendidikan sering kali diberikan tumpuan khas − memastikan satu kurikulum yang merangkumi semua kaum (terutama dalam sejarah dan pendidikan sivik) dan kepelbagaian di setiap sekolah menormalisasikan penerimaan.

Segala teori yang ada tidak akan pernah habis.

Para aktivis yang cenderung kepada undang-undang mungkin menyeru agar dilakukan pindaan Perlembagaan Persekutuan (dengan tanggapan mereka tidak menganggap susunan persekutuan negara ini punca kepada perkauman) dan undang-undang lain supaya membuang mana-mana perkara yang menyentuh tentang pilih kasih berdasarkan bangsa.

Setiap pilihan semestinya mempunyai pihak yang tidak menyetujuinya.

Mereka akan menyatakan risiko campur tangan ekonomi adalah terlalu besar agar dapat meneruskan amalan rasuah (malah, apa-apa campur tangan perlu berdasarkan keperluan, bukan berdasarkan bangsa); atau kuota akan menyebabkan pelantikan kroni yang tidak cekap; atau tiada penulisan semula perundangan yang menghentikan jumlah kematian dalam tahanan polis yang amat mengejutkan.

Hakikatnya, sebagaimana apa-apa advokasi, memerlukan segenap aspek berfungsi serentak.

Walaupun begitu, tiada mana-mana pihak yang mempunyai segala penyelesaian. Disebabkan itulah persaingan politik amat penting.

Organisasi masyarakat sivil juga akan memainkan peranan.

Di IDEAS, kami berharap untuk menormalisasikan perbualan mengenai isu-isu yang paling sukar melalui kempen #TanpaPerkauman dan #KitaBukanKami.

Harapan kami agar kempen-kempen itu akan membawa kepada kefahaman, penyembuhan dan sebuah Keluarga Malaysia yang membanggakan.

* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah Presiden Pengasas IDEAS

Klik di sini untuk terus membaca