PENGALAMAN melihat rakan seperjuangan putus kaki akibat terkena jerangkap samar ketika operasi memburu pengganas komunis lebih 30 tahun lalu di hutan Perak masih segar dalam ingatan bekas tentera, Staf Sarjan Hussain Latiff. Bekas anggota... Klik di sini untuk terus membaca

PENGALAMAN melihat rakan seperjuangan putus kaki akibat terkena jerangkap samar ketika operasi memburu pengganas komunis lebih 30 tahun lalu di hutan Perak masih segar dalam ingatan bekas tentera, Staf Sarjan Hussain Latiff.

Bekas anggota platun Risik Gempur (UCIS) itu berkata, peristiwa yang tidak dapat dilupakan adalah insiden tiga rakan sepasukan terkena jerangkap samar sehingga melambung ke udara di depan matanya dalam operasi di Sungai Siput, Perak pada tahun 1984.

"Ada antara mereka putus kaki. Pada ketika itu ubat tahan sakit pula hanya tinggal lima tiub, namun ia tidak memberi sebarang kesan terhadap sahabat saya yang terpaksa menahan kesakitan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.

Hussain, 64, berkata, pasukannya terpaksa menunggu helikopter bantuan untuk membawa rakan yang cedera parah ke hospital.

"Saya sebak melihat rakan yang parah namun saya perlu menenangkan keadaannya yang menanggung derita sementara menunggu bantuan helikopter yang tiba pada keesokan hari,” katanya.

Hussain berkata, itulah pengorbanan wira negara walaupun hanya bergaji kecil namun beliau bersama rakan sepasukan rela berkorban demi negara.

"Insiden letupan jerangkap samar itu tidak melemahkan semangat, saya nekad memberanikan diri meneruskan operasi demi mempertahankan negara,” katanya.

Hussain akui adakalanya baju tentera dipakainya tidak sempat kering kerana terpaksa masuk semula ke hutan untuk memburu komunis.

"Pengganas komunis pernah melakukan serangan hendap terhadap pasukan saya di dalam hutan.

"Musuh akan melakukan serangan pada waktu Maghrib atau keadaan gelap, mujur pada ketika itu kami berselindung di dalam bunker seperti kubu untuk mengelak serangan musuh,” katanya.

Gambar kenangan Hussain ketika bertugas di Kota Belut, Sabah. - Foto koleksi Hussain Latiff

Hussain berkata, beliau pernah terserempak dengan beberapa penduduk di sebuah kampung di kawasan pedalaman di utara Semenanjung Malaysia yang terpaksa menjadi tali barut komunis kerana takut terhadap ancaman pengganas itu.

"Saya kecewa kerana musuh terlebih dahulu melarikan diri sebelum kami melakukan serangan. Ia mungkin disebabkan tali barut yang bersekongkol menyebabkan pergerakan kami dapat dihidu.

"Penduduk kampung yang bekerja sebagai penoreh getah akan memberi signal kepada pengganas komunis dengan mengetuk bekas susu getah apabila menyedari kehadiran pasukan keselamatan,” katanya.

Hussain mendakwa pengganas komunis juga bersembunyi di dalam rumah penduduk kampung.

"Terdapat lubang pada lantai ruang tamu rumah tersebut, mereka (komunis) akan bersembunyi di dalam lubang tersebut apabila pasukan keselamatan melakukan pemeriksaan,” katanya.

PENGLIBATAN DALAM UCIS

Hussain memaklumkan, beliau menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 1976 kerana minat dan semangat mempertahankan negara daripada ancaman musuh.

"Pada ketika itu untuk mendapatkan pekerjaan lain sukar, oleh itu saya memohon untuk berkhidmat dalam ATM,” katanya.

Hussain berkata, beliau ditempatkan di Sandakan, Sabah selepas menjalani latihan di Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Saya banyak terlibat dalam operasi di sekitar pulau di Sabah bagi mengekang pencerobohan lanun di perairan negara,” katanya.

Beliau berkata, pasukannya pernah terserempak dengan sekumpulan lanun dari negara jiran yang menaiki sebuah bot laju menceroboh perairan negara.

Tiga rakan Hussain cedera dalam operasi di Sungai Siput, Perak. - Foto koleksi Hussain Latiff

"Apabila menyedari kehadiran pasukan keselamatan, bot musuh itu akan melarikan diri kerana mereka takut dengan kehebatan aset dan senjata kita,” katanya.

Hussain berkata, beliau perlu melilit tali senjata api di tangannya apabila membuat rondaan di pasar sekitar Semporna sebagai langkah berwaspada.

"Ia sebagai langkah berwaspada kerana kita tidak mahu senjata itu hilang apabila disambar musuh. Mereka akan terjun ke dalam laut dan menyelam kira-kira 200 meter untuk melarikan diri,” katanya.

Hussain berkata, beliau menyertai UCIS selepas kursus di kem Sungai Udang Melaka pada 1981, kemudian terlibat dalam beberapa operasi dalam hutan.

"Dalam Tentera Darat Malaysia, elemen tinjau pada satu ketika dahulu dipelopori oleh platun UCIS, kumpulan ini menjadi mata serta telinga kepada setiap batalion infantri iaitu Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Rejimen Renjer Diraja (RRD),” katanya.

UCIS mula ditubuhkan pada sekitar 1970-an bagi membendung pengganas komunis daripada terus bermaharajalela dengan taktik serang dan lari.

Taktik sebegini digunakan oleh pengganas komunis bagi menggelakkan tindak balas secara konvensional oleh pasukan keselamatan.

Penubuhan UCIS adalah berpadanan dengan senario ancaman dengan memberi tindak balas yang lebih pantas sehingga digeruni oleh pengganas komunis.

Hussain (kiri) menyertai UCIS selepas kursus di kem Sungai Udang Melaka pada 1981. - Foto koleksi Hussain Latiff

Kumpulan itu bertanggungjawab untuk melaksanakan operasi tinjau atau secara amnya disebut sebagai recce.

Perkataan recce yang diterbitkan daripada istilah reconnaissance atau recon adalah merujuk kepada aktiviti peninjauan terhadap sesuatu kawasan atau musuh.

Elemen tinjau merupakan elemen penting kepada sesebuah pasukan untuk mengetahui keadaan semasa sesuatu kawasan.

Pelbagai kejayaan telah dicatatkan oleh elemen UCIS sepanjang sejarah perjuangan ATM dalam mengempur ancaman komunis.

Hussain berkata, beliau sentiasa berpegang kepada kata-kata semangat setiap pertempuran iaitu ‘satu peluru, satu musuh’.

"Setiap anggota hanya membawa 200 butir peluru 5.56 mm sahaja. Kita tidak boleh bawa banyak peluru kerana harus berjalan di dalam hutan sejauh berpuluh kilometer.

"Kita juga tidak boleh membazir peluru, kita perlu menembak tepat ke arah musuh,” katanya.

HARAPAN

Hussain turut memuji semangat juang askar pada masa kini yang sentiasa bersiap siaga untuk mempertahankan keamanan negara.

"Mereka sentiasa membuat latihan walaupun tidak terlibat dalam operasi, jangan sindir anggota ATM hanya ‘makan dan tidur’.

"Mereka juga sentiasa terlibat dalam operasi di sempadan negara bagi mencegah aktiviti penyeludupan serta pencerobohan haram yang menjalankan aktiviti menyamun khazanah negara,” katanya.

Hussain turut berpesan kepada generasi kini supaya terus menjaga kedaulatan negara ibarat anggota tentera terdahulu berjuang hingga terkorban ataupun tercedera.

Hussain - Foto koleksi Hussain Latiff

"Saya juga berharap kerajaan perlu kaji semula imbuhan dan bantuan khas kepada bekas perajurit bagi mereka meneruskan kehidupan selepas bersara,” katanya yang kini menjadi penjual barangan antik.

Klik di sini untuk terus membaca