UMNO yang merudum kalah dan kehilangan kuasa dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 yang lalu sebenarnya telah menghadapi penyakit tenat sejak pilihan raya tahun 1999. Sayangnya, tidak ada usaha sungguh-sungguh untuk mengubat penyakit yang beransur- ansur bertambah tenat itu. Memang benar, menyedari kemerosotan sokongan yang diterima dalam PRU 1999 itu, beberapa langkah telah diambil untuk memperbaiki parti.
Tetapi langkah-langkah tersebut ibarat ‘melepaskan batuk di tangga’ atau bersifat ‘token’ saja. Antara langkah-langkah itu ialah ‘meminda perlembagaan’ parti dalam perhimpunan agung tahunan sesudah PRU 1999 . Tentu ada yang bertanya kenapa perlembagaan parti yang perlu dipinda untuk menyelesaikan masalah kemerosotan yang dialami dalam pilihan raya tersebut.
Apakah sebab dan apakah yang diharap daripada pindaan perlembagaan itu. Mungkin ada yang menjawab, sebab utama yang mendorong langkah-langkah pindaan tersebut adalah andaian kononnya kelesuan dan pelbagai masalah yang dihadapi oleh UMNO itu berpunca dari perlembagaannya yang sudah ketinggalan zaman.
Sekarang ternyata andaian itu tidak tepat. Apatah lagi bila direnung kembali pindaan perlembagaan tersebut lebih banyak tertumpu kepada kaedah pemilihan barisan pimpinan dan jangka masa jawatan kepimpinan parti yang perlu diperpanjang.
Ternyata kajian yang mendalam tidak dilakukan untuk mengenal pasti dan memahami pelbagai masalah parti. Itulah sebabnya kita merasa syak dan musykil kiranya langkah-langkah penyelesaian yang selepas PRU 1999 hanyalah ibarat ‘melepaskan batuk di tangga’ atau bersifat ‘token’ saja.
Apa yang patut dilakukan ialah melihat pelbagai masalah tersebut secara lebih menyeluruh dan menganggap pindaan perlembagaan. Itu hanya sebagai salah satu langkah penyelesaian.
Dikatakan demikian kerana pindaan perlembagaan belum menjamin perubahan sikap atau set minda para pemimpin dan penyokong UMNO. Pindaan perlembagaan hanya akan merupakan pertukaran atau tambahan kata-kata di atas kertas sahaja yang tidak akan ada manfaatnya tanpa disusuli dengan tindakan praktikal dan semangat yang pukal.
Ertinya ada beberapa langkah lain yang patut diambil untuk mengatasi ‘kelesuan’ UMNO agar menjadi lebih ‘tangkas’ demi menjamin prestasinya akan pulih kembali, malah akan lebih baik dalam pilihan raya yang akan datang. Dalam bahagian kedua tulisan saya esok, saya akan mencadangkan langkah-langkah penting yang perlu dilaksanakan UMNO untuk memulihkan semula penyakit yang dihadapi.
* Datuk Dr Firdaus Abdullah ialah mantan senator dan mantan Naib Canselor Universiti Malaya
Klik di sini untuk terus membaca