SHAH ALAM - Seramai 350,000 pembantu tadbir merasa terpinggir dan tertekan apabila gred maksimum bagi skim perkhidmatan pembantu tadbir untuk Gred Lantikan 19 kekal hampir 40 tahun lalu. Skim tersebut terdiri daripada Pembantu Tadbir... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seramai 350,000 pembantu tadbir merasa terpinggir dan tertekan apabila gred maksimum bagi skim perkhidmatan pembantu tadbir untuk Gred Lantikan 19 kekal hampir 40 tahun lalu.

Skim tersebut terdiri daripada Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi), Pembantu Tadbir (Kewangan), Pegawai Khidmat Pelanggan, Pembantu Akauntan, Pembantu Setiausaha Pejabat dan Pembantu Pengurusan Murid.

Sehubungan itu, Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani Dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) mahu kerajaan mempertimbangkan semula gred maksimum bagi skim perkhidmatan pembantu tadbir untuk Gred Lantikan 19 daripada Gred 28 ke Gred 29.

Setiausaha Agungnya, Amir Hamzah Yakat Ali berkata, tiada tindakan lanjut diambil oleh Jabatan Perkhidmatan awam (JPA) walaupun kertas kerja berkenaan perkara itu sudah dihantar lebih beberapa kali.

"Kami bawa perkara ini bersama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS ) yang membantu kami buat kertas kerja.

"Tetapi JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) tetap tidak pandang atau tak nampak, jadi mengapa kami perlu bersabar.

"Kami bukan apa, hanya nak minta agar gred kami yang bermula Gred 19 hingga Gred 28 ini dapat diubah kepada lantikan Gred 29,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Amir Hamzah berkata, Gred 29 memberikan gaji maksimum yang lebih tinggi iaitu RM5,672 berbanding hanya RM4,008 bagi gred 19 dan ia tentunya dapat memberikan faedah yang lebih kepada pembantu tadbir.

Katanya, lambakan pegawai dengan skop kerja yang sama juga menyekat ruang untuk pembantu tadbir mendapat insentif sesuai dengan kelayakan mereka.

Beliau turut mempersoalkan keperluan kerajaan mengekalkan skim perkhidmatan tersebut disebabkan wujudnya jawatan berbeza tetapi dengan skop kerja yang sama.

"Salah satu faktornya, kami dah ada pegawai eksekutif (EO) iaitu penolong pegawai tadbir diletakkan dalam pentadbiran sama dengan pembantu tadbir.

"Pada awal dahulu, EO ini sebagai Ketua Unit, Bahagian dan Seksyen pada masa yang sama kumpulan profesional seperti Pegawai Tadbir Awam (PTA) dan Pegawai Tadbir Dan Diplomatik (PTD) juga telah ramai ada di waktu sekarang.

"Jadi bila banyak, peluang kami untuk kenaikan pangkat amat kurang sedangkan skim perkhidmatan dan skop kerja kami kadang-kadang bertindih,” ujarnya.

Jelas Amir Hamzah, tugas mereka sebagai pembantu tadbir juga terkesan dalam musim pandemik Covid-19.

"Walaupun kami tidak didendangkan sebagai ‘frontliner’ (barisan hadapan), tapi kami ‘backliner’ (barisan belakang) yang sentiasa terkesan sewaktu pandemik berlaku untuk menyelesaikan urusan gaji kepada semua penjawat awam dan tuntutan elaun semasa yang perlu dibayar .

"Saya lihat perkara ini tiada kesudahan kalau ikutkan legasi kepimpinan terdahulu dah hampir 40 tahun skim masih macam ini.

"Sedangkan, skim perkhidmatan pembantu tadbir merupakan tunjang kepada perkhidmatan awam yang perlu diberi satu nafas baharu oleh kerajaan,” katanya.

Amir Hamzah berkata, pihaknya turut menuntut perubahan nama daripada pembantu tadbir kepada pegawai khidmat tadbir atau pegawai urus tadbir.

Beliau turut mahu kerajaan untuk mempertimbangkan kelayakan permohonan masuk bermula Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma atau setaraf.

Gaji lantikan Gred 19 tidak berbaloi dengan beban kerja

SHAH ALAM - Gaji lantikan skim perkhidmatan pembantu tadbir, Gred 19 hingga Gred 28 tidak berbaloi dengan bebanan kerja yang dihadapi oleh mereka lebih-lebih lagi ia kekal sejak hampir 40 tahun dilaksanakan.

Pelbagai keluhan dan tekanan yang dihadapi oleh mereka malah ada dakwaan dalam kalangan mereka menerima ugutan sehingga menjejaskan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) daripada pihak atasan.

Tugas mereka bukan sahaja sebagai pembantu tadbir tetapi melibatkan perkhidmatan protokol, kerja rahsia yang tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi, kewangan, penstoran, jawatankuasa sebut harga serta mengendalikan sistem elektronik kerajaan dan operasi.

Salah seorang pembantu tadbir yang hanya ingin dikenali sebagai Zurina dan sudah berkhidmat lebih 28 tahun berkata, beliau mengalami kecederaan pada saraf mata sehingga menjejaskan penglihatan dan perlu melakukan pembedahan dua kali.

Tambahnya, ada kakitangan yang diserang angin ahmar akibat tekanan kerja melampau sehingga terpaksa memilih untuk bersara awal

"Meskipun pembantu tadbir adalah tulang belakang setiap jabatan kerajaan, kami memohon agar skim ini disemak dan dinaiktarafkan gred serta gaji.

"Malah kami menuntut agar diberi kemudahan kesihatan yg lebih baik dan elaun seperti kemudahan cermin mata, penggunaan data dan keselesaan tempat kerja diambil kira untuk memudahkan sistem penyampaian kerajaan,” katanya.

Seorang pegawai khidmat pelanggan yang hanya ingin dikenali sebagai Hazarul berkata, skop tugas mereka hanya sekadar menjawab telefon dan tiada hala tuju untuk laluan kerjaya.

Tambahnya, pegawai khidmat pelanggan di bawah kementerian kesihatan hanya mempunyai dua kekosongan kenaikan pangkat menerusi skim tertutup bagi seluruh negara iaitu di Hospital Kuala Lumpur dan Kementerian Kesihatan Malaysia di Putrajaya

"Habis 1,298 lagi nak ke mana? Sedangkan kalau kita tengok kemudahan pegawai khidmat pelanggan ini pun dah macam ada atau tiada.

"Contoh macam pembantu tadbir, ada elaun tanggung kerja dan dia boleh buat banyak perkhidmatan tetapi skop tugas hanya angkat telefon dan melayan pelanggan. Itu yang kita cuba bawa ke peringkat kesatuan,” jelasnya.


INFO


Gaji Skim Perkhidmatan Pembantu Tadbir

Gred 19 :

Minimum (RM 1,352)

Maksimum (RM 4,003)

Gred 22 :

Minimum (RM2,252)

Maksimum (RM4,693)

Gred 26 :

Minimum (RM2,577)

Maksimum (RM5,251)

Gred 28 :

Minimum (RM2,706)

Maksimum (RM 5,526)

Gred 29 :

Minimum (RM1,493)

Maksimum (RM5,672)

Klik di sini untuk terus membaca