PADA awal Oktober, Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan berita pencerobohan kapal China di perairan negara. Ini bukan fenomena baharu kerana sebelum ini pada 1 Jun lalu, pesawat tentera jenis llyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20 milik... Klik di sini untuk terus membaca

PADA awal Oktober, Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan berita pencerobohan kapal China di perairan negara.

Ini bukan fenomena baharu kerana sebelum ini pada 1 Jun lalu, pesawat tentera jenis llyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20 milik Tentera Udara Pembebasan Rakyat China dikesan mendekati ruang udara Zon Maritim Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah.

Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan berlakunya pencerobohan dilakukan oleh kapal Pasukan Pengawal Pantai China dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat China di perairan negara sebanyak 89 kali dari tahun 2016 hingga 2019. Kawasan perairan Malaysia khasnya di Beting Patinggi Ali juga dikenali sebagai Luconia Shoals di persisiran pantai negeri Sarawak seringkali diceroboh.

Menurut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sepanjang 2018 hingga 2019 sebanyak 29 kali pencerobohan telah berlaku.

Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob menegaskan peristiwa pencerobohan perairan negara telah dikesan sejak 2013 dan aktiviti ini semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Abdul Rahman mengulas laporan beberapa portal pertahanan antarabangsa yang mendakwa terdapat sejumlah kapal Pengawal Pantai China menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Amat penting untuk ditegaskan keberadaan kapal China dalam Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia di luar pesisir Sabah dan Sarawak bertentangan dengan prinsip perundangan antarabangsa dan tempatan misalnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982 dan Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984.

China perlu sedar jikalau masih bersikap sedemikian ia hanya akan menekan negara-negara jiran di Asia Tenggara untuk mengambil tindakan bagi mengimbangi kekuasaan China.

IMBANGI KUASA CHINA

Persoalannya, bagaimana negara-negara di Asia Tenggara harus bertindak untuk berhadapan dengan China? Pertama adalah dengan mengimbangi kekuasaan China melalui kerjasama dengan kuasa-kuasa besar yang lain, khasnya AS.

Pada 15 September 2021, AS, United Kingdom (UK) dan Australia telah mengisytiharkan penubuhan pakatan ketenteraan yang dikenali sebagai AUKUS iaitu singkatan kepada Australia, United Kingdom dan United States.

Antara perkara yang telah dipersetujui dalam AUKUS ialah perkongsian teknologi kapal selam berkuasa nuklear daripada AS kepada Australia.

Negara-negara di Asia Tenggara bersikap berbelah bagi dalam isu AUKUS. Indonesia seperti juga Malaysia telah menyampaikan kebimbangan terhadap implikasi AUKUS kepada keselamatan dan kestabilan rantau.

Indonesia turut gusar akan berlakunya perlumbaan senjata dan negara-negara ASEAN terhimpit di antara Australia dan China.

Tidak dapat dinafikan sekira negara-negara ini berpendapat mereka terlalu tertekan oleh pencerobohan dan kehadiran tentera China, mereka terpaksa untuk memilih untuk menyokong pakatan AUKUS.

Apa yang dibimbangi bukan sekadar perlumbaan senjata konvensional sebaliknya perlumbaan senjata yang melibatkan kelengkapan yang bertenaga nuklear.

Tidak kira apa jua yang dijamin oleh AS ini hanya akan membawa kesan padah kepada kestabilan rantau. Apa yang dibimbangi, dunia seolah-olah sedang kembali kepada keadaan pra-Perang Dunia Pertama di mana pakatan seperti Triple Alliance dan Triple Entente telah dibentuk untuk mengimbangi kuasa ketenteraan satu sama lain. Ia telah menyebabkan sistem antarabangsa beralih menjadi balance of threat dan seterusnya meletusnya perang dunia.

LAKSANAKAN COC

Dalam hal ini strategi yang paling rasional adalah kembali kepada rundingan iaitu dengan penekanan kepada Code of Conduct (COC) untuk memudahkan negara-negara terlibat dalam isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan mencari jalan penyelesaian.

COC telah dicadangkan lebih dua dekad yang lalu dan sehingga kini masih belum menjadi realiti.

Tujuan COC adalah untuk menyediakan kerangka kelakuan bagi negara-negara untuk bertindak selaras dengan Undang-undang dan Norma Antarabangsa.

Bagaimanapun selama ini masih tiada persetujuan antara China dengan negara-negara Asia Tenggara.

China sebagai kuasa besar walaupun tidak menentang COC tetapi menganggap COC akan mengongkong aktivitinya. Namun dengan kemunculan AUKUS, China kena sedar jika ia masih bersikap dingin terhadap COC dan meneruskan amalan hegemoni mencerobohi sempadan maka negara-negara Asia Tenggara terpaksa membuat pilihan untuk menyokong AUKUS demi mengimbangi hegemoni China dan kelangsungan mereka.

Klik di sini untuk terus membaca