SALAH satu keutamaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dibentang bulan lalu ialah untuk menggandakan pertumbuhan negeri kurang membangun terutama di Sabah dan Sarawak. Dalam pembentangan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri... Klik di sini untuk terus membaca

SALAH satu keutamaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dibentang bulan lalu ialah untuk menggandakan pertumbuhan negeri kurang membangun terutama di Sabah dan Sarawak. Dalam pembentangan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunjukkan komitmen serius untuk mengurangkan jurang ekonomi dalam negara berdasarkan geografi dengan memberi jaminan untuk memperuntukkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan kepada kepada Sabah, Sarawak, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Fokus itu dibuat kerana negeri-negeri ini dianggap masih ketinggalan dari segi menerima limpahan kemakmuran negara. Seiring dengan rancangan jangka panjang 10 tahun Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, RMK12 turut meletakkan sasaran mengurangkan jurang pendapatan wilayah lain dengan Lembah Klang (wilayah Tengah) sebagai indikator. Tujuan utama fokus itu adalah untuk memastikan kemakmuran negara ini melimpahi segenap lapisan masyarakat dan merentas geografi.

Dalam mengukur pertumbuhan dan kemakmuran rakyat, RMK12 seperti kebanyakan rancangan ekonomi akan mengambil kira indikator Kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita. Walaupun tidak sempurna, namun indikator KDNK per kapita boleh dijadikan asas mengukur kemakmuran secara umum. Dalam memastikan kemakmuran negara ini kembali pulih dan melimpahi wilayah-wilayah lain, RMK12 memberi fokus khusus kepada Sabah dan Sarawak dalam bab tujuh yang bertajuk ‘Memperkukuh Pembangunan Sosioekonomi di Sabah dan Sarawak᾿.

Bab ini menyatakan terdapat tujuh kelemahan dan cabaran yang perlu diperbaiki jika kerajaan mahu meningkatkan pertumbuhan ekonomi wilayah ini dan juga pendapatan rakyat. Tujuh isu dan cabaran utama di Sabah dan Sarawak ialah kekurangan infrastruktur dan perkhidmatan; pertumbuhan ekonomi yang perlahan; akses kepada pendidikan dan latihan yang terhad; akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terhad; cabaran dalam keselamatan dan ketenteraman awam; cabaran dalam pembangunan inklusif, kekurangan kerjasama dan ketidakcekapan penyampaian perkhidmatan.

LIMA FOKUS

Dalam mengatasi permasalahan dan memastikan Sabah dan Sarawak mampu meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negeri, RMK12 mencadangkan lima fokus atau bidang keutamaan iaitu memantapkan penyediaan infrastruktur, mengoptimumkan potensi ekonomi; menambah baik akses kepada perkhidmatan sosial; memperkukuh pembangunan inklusif dan memperkukuh kerjasama antara agensi Persekutuan dan kerajaan negeri. Sepintas lalu, pertumbuhan ekonomi wilayah ini memerlukan kecekapan infrastruktur asas air, gas dan elektrik; kesalinghubungan antara kawasan pedalaman dan bandar serta antara Sabah dan Sarawak; dan mengecilkan jurang digital antara kawasan.

Justeru, RMK12 merancang untuk menaik taraf 1,400 kilometer (km) jalan berturap luar bandar dan menyiapkan pembinaan 1,150km Lebuhraya Pan Borneo serta membina beberapa jambatan bagi mewujudkan kesalinghubungan sistem pengangkutan di kedua-dua negeri tersebut. Kesalinghubungan jalan raya merupakan faktor utama bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi luar bandar.

Dalam mengecilkan jurang digital, RMK12 memperuntukkan RM7.7 bilion iaitu RM3.61 bilion kepada Sabah dan RM4.09 bilion kepada Sarawak melalui pelaksanaan Jendela. Sehingga Ogos 2021, 2,645 infrastruktur digital siap dipasang di Sabah dan 2,117 di Sarawak.

RMK12 juga akan menambah baik bekalan elektrik yang menjadi banyak perbincangan dalam kalangan industri dengan membina loji janakuasa baharu dan menaik taraf talian penghantaran Grid Timur-Barat Sabah. Di Sarawak pula RMK12 meneruskan peruntukan RMK11 dalam pembinaan hidroelektrik Baleh yang dijangka siap pada tahun 2025.

Perkara yang sangat positif mengenai Sabah dan Sarawak dalam RMK12 ialah kesedaran kerajaan bahawa pembangunan sosioekonomi di Sabah dan Sarawak memerlukan infra asas yang berkualiti, kesalinghubungan jaringan pengangkutan dan akses digital yang meluas. Ketiga-tiga ini sangat diperlukan bagi merancakkan ekonomi kawasan luar bandar dan pedalaman.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca