[MUKADIMAH] Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal enggan menyertai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik kerana tidak mahu terikat dengan sebarang perjanjian sehingga tidak dapat berjuang untuk rakyat.... Klik di sini untuk terus membaca

[MUKADIMAH] Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal enggan menyertai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik kerana tidak mahu terikat dengan sebarang perjanjian sehingga tidak dapat berjuang untuk rakyat.

Menurut Shafie, penyertaan dalam MoU akan menyebabkan parti itu kurang berkesan dalam melakukan ‘semak dan imbang’ terhadap tindakan kerajaan.

Shafie turut mengulas mengenai masa depan parti Warisan, masalah lompat parti, hala tuju pentadbiran kerajaan Sabah dan pilihan raya negeri.

Ikuti wawancara bekas Ketua Menteri Sabah itu bersama Sinar Ahad yang dikendalikan wartawan Sinar Harian, Farah Shazwani Ali dan Mukhriz Mat Husin.

SINAR AHAD: Selepas PRN Sabah, berlaku peralihan kuasa dan Datuk Seri hilang jawatan sebagai Ketua Menteri. Apa perasaan Datuk Seri selepas tidak lagi menjadi Ketua Menteri?

SHAFIE: Kita kena sedar sebagai Ketua Menteri, tujuan kita adalah hendak berkhidmat bukannya untuk merebut kuasa, memperkayakan diri atau demi jawatan. Jadi, kena letakkan diri kita untuk berkhidmat kepada rakyat, pastinya kita dapat mencorak nilai-nilai kepimpinan dan pentadbiran di negara kita.

Jadi, sebagai seorang ahli politik yang dahulunya Ketua Menteri, hilang jawatan tidak jadi masalah. Kalau rakyat hendak perkhidmatan kita, Alhamdulillah tapi kalau tak nak, tak boleh paksa.Tapi dari segi perjalanan politik di Sabah, saya masih lagi Ketua Menteri jika berdasarkan parti dan mempunyai kerusi yang cukup besar dalam pilihan raya. Tapi, Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) terpaksa bergabung untuk membentuk kerajaan. Kalau dilihat dari segi kerangka perundangan Sabah, presiden parti merupakan ketua yang sepatutnya menjadi Ketua Menteri.

Tapi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin bukan ketua parti, begitu juga Datuk Seri Hajiji Noor (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Ketua parti adalah saya, selaku Presiden Warisan dan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Sabah (STAR). Tapi saya tak nak bawa ke mahkamah kerana ia menunjukkan kita terikut dengan nafsu sehingga mahu bawa ke mahkamah.

- Bagaimana Datuk Seri melihat keadaan politik di Sabah ketika ini dan prestasi kerajaan?

Kalau dilihat kepada hala tuju, ia tidak jelas ke arah mana mereka nak bawa Sabah ini. Sebagai wilayah yang mempunyai sumber yang cukup banyak dari segi alam semula jadi, minyak, kayu kayan dengan kesuburan tanah. Kita tidak dapat lihat rancangan kerajaan ketika ini.

Saya yakin Sabah boleh menyumbang untuk menjadikan negara kita sangat kompetitif, untuk meletakkan Malaysia dapat bersaing di pentas dunia dagangan, dengan kawasan yang dekat dengan pasaran China, Jepun dan Hong Kong.

Saya melihat ini satu kelebihan. Saya sudah maklumkan perkara ini kepada Tun Dr Mahathir (Mohamad) sebelum ini, saya bagi pandangan untuk kita bersaing. Semasa saya menjadi Ketua Menteri, itulah rancangannya, sebab itu kita nak pelabuhan itu diwujudkan.

Sabah banyak minyak, kita boleh proses dan membekalkan minyak kepada kapal-kapal yang lalu lalang di kawasan kita. Selain itu, lokasi yang dekat dengan China yang juga ekonomi besar dunia. Kapal dagangan yang keluar dari China, pastinya akan melalui Laut China Selatan.

Mereka tak singgah ke mana-mana, tapi mereka singgah di Singapura. Tapi kalau ada pelabuhan yang begitu besar dan baik, dengan kemudahan yang bukan hanya membekalkan minyak kepada kapal, bahkan dengan penyelenggaraan, saya yakin kita mampu bersaing dengan negara jiran. Mesti ada hala tuju yang jelas, di samping ia dapat membantu meletakkan Malaysia di peta dunia dan menjadikan Sabah wilayah yang membangun dan maju.

- Datuk Seri hasrat Warisan untuk melebarkan sayap ke Semenanjung?

Semasa peringkat awal, Warisan ini adalah parti pelbagai bangsa dan ia memperjuangkan hak Sabah. Selepas itu, kita melihat perubahan dalam negara dan di peringkat dunia. Saya merasakan kita harus membuat perubahan landskap politik di negara ini kerana kita tidak boleh berlandaskan dengan kaedah dan cara yang lama.

UMNO untuk orang Melayu, DAP untuk orang Cina, Pas untuk orang Islam. Tak ada dalam bayangan mereka, seorang Menteri Kewangan di United Kingdom, seorang Menteri Kesihatan di United Kingdom, seorang Datuk Bandar di London datangnya dari orang India dan Pakistan. Di Amerika Syarikat ada Barack Obama dan Kamala Harris. Maknanya, pemikiran manusia sudah berubah.

Begitu juga di negara kita, ada anak muda negara ini yang berfikiran orang Melayu tak akan mati kalau tak ada UMNO. Islam tak akan mati kalau tak ada Pas. Cina tak akan mati kalau tiada DAP.

Mereka berfikiran, tiada yang mustahil jika tidak berlandaskan bangsa dan agama. Kita melihat bagaimana penyatuan umat di negara ini dan rakyat pelbagai kaum, agama dan bangsa.

Maka, dengan itu perlu untuk kita menyediakan pilihan kepada rakyat di negara ini untuk membuat satu perubahan. Kita tak boleh berada di takuk lama. Kita kena berubah dari segi minda, bukan hanya dalam kita berpolitik tapi dalam kita mentadbir negara untuk mengikat pemikiran generasi anak muda yang berlainan.

Saya sudah berkhidmat di Semenanjung selama 32 tahun dan pernah bertugas di tujuh kementerian. Saya juga bermula dalam Pemuda UMNO, Majlis Tertinggi dan sampai dua penggal menjadi Naib Presiden UMNO.

Wawancara bersama Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang berlangsung di Sinar Harian. -Foto - Sinar Harian/Asril Aswandi Shukor

- Mengenai ADUN Warisan yang nak melompat parti. Komen Datuk Seri?

Sebenarnya, dalam dunia politik sudah lumrah. Saya dahulu pun semasa menjadi Ketua Menteri, sepatutnya saya tak hilang jawatan, tak bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) tapi berlaku tawar-menawar.

Saya melihat konflik ini. Kalaupun kita tak setuju dengan apa sekalipun, kita ada landasan, boleh bantah. Tapi lompat dari satu parti ke parti lain, melahirkan satu keadaan politik yang tidak sihat.

Di United Kingdom, saya tak pernah dengar orang (parti) Konservatif melompat ke parti Buruh. Di Amerika Syarikat pula, saya tak pernah dengar orang Republikan dan Demokrat melompat. Walaupun mereka bukan Islam, tapi nilai-nilai yang ada bukan mengejar pangkat, kekayaan dan bukan mengejar glamor.

Ini kita tak boleh nak halang kerana mereka ada pelbagai godaan. Sebab itu saya kata, pinda perlembagaan lompat parti. Jangan cakap, tapi buat. Tapi yang buat undang-undang ini, orang itu juga yang membuat amalan itu. Ini yang orang kata cakap tak serupa bikin. Mereka kata untuk kepentingan rakyat dan negara, tapi betul ke untuk kepentingan rakyat dan negara? Sekarang ini, berlaku di Melaka. Itu orang UMNO dengan orang UMNO. Sebab itu saya keluar dari UMNO.

Saya setuju dengan akta halang lompat parti. Cuma kita kena tekankan, perincikan apa kandungannya, contohnya kalau seseorang itu pernah melompat. Bagaimana kita nak putuskan sama ada dia dihukum. Pilihan raya di kawasan itu, tidak boleh bertanding untuk dua penggal ataupun tidak boleh bertanding seumur hidup supaya beri peringatan kepada mereka.

Ia seumpama orang mengedar dadah dan menghisap dadah tetapi orang mengedar dadah ini dikenakan hukuman gantung. Untuk mengelakkan orang tegah dia supaya jangan melakukannya. Bukan hanya setakat itu.

- Bagaimana dengan pelaksanaan Undi18?

Kita sudah luluskan di Sabah. Di peringkat negeri Sabah, kita boleh guna Rang Undang-undang ini, cuma menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan juga Parlimen untuk luluskan. Maknanya kita dah sepakat kerana bagi saya, 18 tahun ini satu usia yang saya yakin ada kematangan.

Jangan anggap usia 18 tahun ini tidak ada kematangan. Macam mana kita hendak supaya generasi anak-anak muda untuk menentukan siapa pilihan mereka dan siapa menjadi kerajaan kalau kita tidak membimbing mereka, tidak mendedahkan mereka di peringkat 18 tahun.

- Bagaimana kecenderungan politik generasi muda Sabah?

Saya yakin golongan muda ini banyak menggunakan media sosial. Terkadang itu kita ada demografik yang berbeza. Kalau di bandar ini, berbeza pemikiran pengundi dengan luar bandar.

Di luar bandar ini banyak orang miskin dan susah. Kalau bawa bakul makanan, mereka bersyukur. Kadang-kadang itu menggunakan duit untuk mendapat undi. Itu memang amalan Barisan Nasional (BN) yang dulu. Memang biasalah bagi duit, bagi duit, lepas itu (minta) undi. Itu adalah sistem politik yang ada. Tetapi generasi muda ini kita kena bimbing kerana saya yakin media sosial banyak akan bentuk pemikiran mereka sebagai seorang pengundi yang menentukan siapa wakil rakyat atau mana parti yang mereka akan pilih jadi kerajaan.

Tetapi dalam pada itu, walaupun ia agak dinamik, bukan mudah tetapi kita tidak boleh putus asa untuk katakan mereka tidak boleh lagi (untuk mengundi). Kita tidak boleh beranggapan kita dah berumur 60 tahun lebih baik daripada golongan berumur 18 tahun.

Banyak sangat pimpinan negara muda contohnya Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau. Warisan juga mempunyai pimpinan dengan 70 peratus terdiri daripada anak- anak muda yang tidak sampai usia 40 tahun. Ada yang 29 tahun, 30 tahun, 32 tahun.

- Kenapa Warisan tidak menyertai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik?

Pertama, saya tak nak terikat dengan apa yang terkandung (dalam persefahaman MoU). MoU itu persefahaman untuk reformasi sistem tetapi ada ikatan dia. Jadi, macam mana kita nak berjuang.

Kita sebagai pembangkang, proses semak dan imbang kena ada, perlu ada tegur-menegur dan seumpamanya. Sebab itu kita ada Parlimen untuk kita bahaskan dasar dan hala tuju.

Tapi, siapa yang akan semak dan imbang? Dasar dan landasan? Bayangkan kali ini Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) sejumlah RM400 bilion kita belanja. Biasa RMK11, RMK10 dan RMK9, RM200 bilion atau RM100 bilion lebih sahaja.

Ini dah dua kali ganda lebih. Ke mana duit ini, kita kena periksa. Duit ini bukan kita punya, ini duit rakyat. Takkan kita nak berdiam diri sahaja? Tidak boleh.

Saya ingat kalau sebenarnya kerajaan pada hari ini di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beranggapan untuk penyatuan Keluarga Malaysia dan kepentingan negara, tak payah letak syarat.

Bagi saya, kalau untuk kepentingan rakyat, bantu rakyat, jangan tanda tangan memorandum. Oleh kerana kita mahu keuntungan politik, kita tanda tangan, lepas itu baru rakyat dapat bantuan.

Kalau kita fikirkan rakyat, tiada batasan, tiada halangan. Rakyat di luar bandar ini perlukan bantuan air, makanan, sekolah, perubatan dan sebagainya. Masa saya menteri jaga Majlis Amanah Rakyat (Mara). Masa itu ada biasiswa. Anak kepada Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mohon biasiswa dan dia memang layak.

Saya beritahu kepada ketua pengarah, bagi dia biasiswa. Di Kedah, ada ahli Pas minta buat jalan. Ada yang bising kenapa bagi (kebenaran) pada dia, dia Pas. Saya beritahu yang jalan ini bukan (milik) Pas. Jalan ini milik orang Kedah dan rakyat yang berjalan di jalan raya, kita nak beramal jangan ada alasan.

Begitulah caranya dan kaedahnya kita nak bangunkan negara kita. Sebab itu, kadang-kadang tak selaras pembangunan, tidak seimbang. Kelantan miskin, Sabah miskin pasal Selangor membantah. Kita tidak ada keikhlasan untuk membantu rakyat kita, kita terikat dengan ideologi politik.

- Bagaimana Datuk Seri melihat MoU itu? Adakah ia akan berjaya?

Apa jua kandungan dalam MoU saya akan bagi sokongan untuk anti lompat parti, reformasi rasuah dan sebagainya.

Maknanya, tidak menjadi masalah memorandum apa kandungannya untuk kita katakan tetapi saya tidak mahu terikat. Bagi saya, saya bagi sokongan kalau untuk kebaikan negara, belanjawan, dan sebagainya.

Untuk rakyat, kita akan sokong. Jadi itu yang saya katakan, jangan kita terikat. Saya ada banyak persoalan-persoalan belanjawan. Sedangkan RMK12, banyak yang kita persoalkan tentang ketirisan, bagaimana pemantauan, dan sebagainya.

Rakyat di negara kita banyak yang pakar. Seorang masyarakat bangsa Cina di Sekinchan, Selangor yang sekarang berada di Taiwan, buat ‘pendrive’. Itu rakyat Malaysia. Tapi kita tidak bagi biasiswa, tidak bagi masuk universiti, ini rakyat kita. Walaupun dia Cina, ini rakyat Malaysia. Sebab apa dia tak nak, sebab persekitaran tidak berubah.

Memorandum yang ada ini kita kena ada reformasi yang tidak perlu terikat. Tetapi saya berharap perkara ini akan dapat dijayakan. Tetapi saya ada dengar suara-suara di Parlimen yang mengatakan, kenapa lembab sangat sampai delay. Yang penting, apa yang kita nak buat dengan rancangan membangunkan negara ini.

MoU itu perjanjian antara lima wakil dari kerajaan dan lima wakil dari pembangkang, kemudian bincang. Kalau bincang di Parlimen, ia lebih telus sebab rakyat nampak dan rakyat dengar. Bipartisan kita akan suarakan. Kenapa kita nak bimbang sangat supaya rakyat tahu apa yang kita perhalusi tentang memorandum ini, tentang perjanjian untuk 18 tahun. Tak payah nak high thinks, be open, accountable and transparent.

- Rakyat melahirkan kebimbangan penularan Covid-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan, sebagaimana yang berlaku di Sabah sebelum ini. Apa pandangan Datuk Seri mengenai perkara ini?

Apa yang berlaku ini (di Sabah) amalan mereka juga. Pujuk sana, beli sana, beli sini. Kalau tidak, kita masih lagi kerajaan. Selepas itu, salahkan kita pasal Covid-19. Siapa yang melakukannya itu, yang kita kena belajar daripada itu.

Kebenaran di situ dan bukan daripada mulut manis, sedap telinga mendengar suara untuk rakyat dan negara tetapi amalan itu diukur. Jadi, saya bimbang keadaan ini berlaku.

Ini pun ALLAH SWT tunjukkan kepada umat, siapa yang melakukannya? Pasal apa berlakunya ini? Apa penyebabnya? Jadi, kita mengukur keadaan itu. Ini perundangan yang ada, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan minta supaya bubar. Tetapi dalam keadaan Covid-19 yang berlaku, ada landasan yang lain.

Contohnya, dalam pilihan raya dia ada 60 hari untuk melengahkan pilihan raya. Ia tidak perlu dilakukan sekarang, mungkin tahun depan ataupun seperti apa yang berlaku, adakan darurat.

Saya bimbang kalau tidak ada darurat di Melaka untuk menghalang pilihan raya diadakan awal. Sarawak dah lama dah (perlu PRN), ikut dalam Perlembagaan, sepatutnya diadakan pilihan raya.

Kalau Melaka boleh adakan, Sarawak tidak boleh adakan, rakyat akan mempersoalkan. Kenapa ada perbezaan undang-undang antara Semenanjung dan Sarawak pula? Saya harap ada kewarasan dan kebijaksanaan pimpinan untuk meletakkan pilihan apa yang ada. SPR perlu nyatakan.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

INFO PROFIL


Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

Tarikh Lahir: 20 Oktober 1956 di Semporna, Sabah

Pendidikan: Victoria Institution, Kuala Lumpur

Diploma Pengurusan dan Perkapalan, Kolej Perniagaan London

Ijazah Sarjana Muda dalam Ekonomi dengan Kepujian daripada Politeknik Staffordshire Utara (sejak 1992, Universiti Staffordshire), England.

Jawatan:

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan)

Ahli Parlimen Semporna

ADUN Senallang

Klik di sini untuk terus membaca