SHAH ALAM - Selepas hampir sembilan bulan atau lebih 270 hari 'dikurung', rakyat Malaysia bakal kembali menikmati satu lagi erti kebebasan apabila kebenaran rentas negeri akan dibenarkan semula. Lebih 32 juta rakyat Malaysia pasti menanti... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Selepas hampir sembilan bulan atau lebih 270 hari 'dikurung', rakyat Malaysia bakal kembali menikmati satu lagi erti kebebasan apabila kebenaran rentas negeri akan dibenarkan semula.

Lebih 32 juta rakyat Malaysia pasti menanti dengan penuh debar di depan kaca TV atau telefon bimbit masing-masing tepat jam 3 ini untuk menyaksikan sidang media khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dengan kadar vaksinasi dewasa di Malaysia cuma berbaki 0.3 peratus untuk mencapai sasaran 90 peratus, ramai yang menjangkakan sidang media khas pada hari Ahad itu ada kaitan dengan kebenaran rentas negeri.

Berdasarkan laman sesawang Covid Now yang dikemaskini, negara mencatat 89.7 peratus dos lengkap suntikan vaksinasi Covid-19 bersamaan dengan 21 juta individu melibatkan populasi dewasa.

Ismail Sabri pada 22 September lalu mengumumkan, rakyat akan dibenarkan merentas negeri apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.

Sasaran 90 peratus itu dibuat berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan.

Perkara itu diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan beliau.

Ismail Sabri sebelum itu terlebih dahulu mengumumkan tiada lagi sekatan rentas daerah di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 10 September lalu.

Pandemik Covid-19 yang teruk melanda Malaysia menerusi gelombang ketiga hujung tahun lalu, menyaksikan kadar peningkatan mendadak di seluruh negara.

Dengan kadar kes positif harian mencecah sehingga 4,400 kes, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP2.0) pada 13 Januari lalu.

Pelaksanaan PKP2.0 menyaksikan larangan rentas negeri dan daerah dikuatkuasakan semula di seluruh negara.

Berbanding tahun lalu, kes Covid-19 lebih buruk pada tahun ini dengan bulan Ogos adalah bulan kemuncak.

Kes harian paling tinggi yang direkodkan ialah sebanyak 24,599 yang dicatatkan pada 26 Ogos.

INFO

Pelaksanaan PKP2.0

- 13 Januari 2021

- Enam negeri dikenakan perintah Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor dan Sabah.

- Larangan rentas negeri di seluruh negara

Pelaksanaan PKP 3.0 atau 'total lockdown'

- 1 Jun lalu

- Penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi

Pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara

- Bermula 15 Jun

- Negeri-negeri dibahagikan kepada empat fasa berdasarkan beberapa indikator contohnya kadar vaksinasi, jumlah kes harian dan jumlah katil di ICU.

Klik di sini untuk terus membaca