AHLI politik di negara ini, walau apa pun kerenah mereka, akan sering dimaafkan rakyat. Atau barangkali penjelasan yang lebih tepat adalah sentiasa ada para pengikut yang akan sentiasa membenarkan apa sahaja yang mereka lakukan dan... Klik di sini untuk terus membaca

AHLI politik di negara ini, walau apa pun kerenah mereka, akan sering dimaafkan rakyat.

Atau barangkali penjelasan yang lebih tepat adalah sentiasa ada para pengikut yang akan sentiasa membenarkan apa sahaja yang mereka lakukan dan mempertahankan apa jua perbuatan pemimpin mereka walau betapa ia mencolok mata.

Sistem feudal yang berakar umbi lama di rantau ini barangkali antara faktornya yang menyebabkan sikap ini wujud dalam kalangan orang ramai, begitu bersangka baik dan memaafkan pemimpin juga orang atasan yang dianggap mempunyai kedudukan beberapa tingkat lebih tinggi daripada kita.

‘Kesalahan’ demi ‘kesalahan’ dilakukan ahli politik ditanggapi dengan sikap ‘tidak mengapa’ atau diwajarkan dengan jawapan, 'pasti ada sebab dia berbuat demikian', 'kita tidak berada di tempatnya' atau 'dia juga orang biasa'.

Kita telah ‘berdamai’ dengan ahli politik. Sepenuhnya.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ada satu gerakan berskala sederhana di laman sosial bernama #UndiRosak yang mengajak orang ramai berbuat seperti namanya – undi rosak, dalam PRU yang dijadualkan tidak berapa lama selepas itu atas sikap dan pendirian bahawa ‘semua parti politik tak kira kerajaan atau pembangkang sama sahaja’.

Maka kesemua mereka perlu dihukum di peti undi dalam bentuk tidak memberi sokongan kepada sesiapa.

Namun, selepas beberapa ketika, gerakan ini larut dalam agenda apolitikal mereka.

Beberapa penggeraknya perlahan-lahan menukar kecenderungan daripada non-partisan kepada pemihakan terhadap parti tertentu.

Gelombang politik begitu besar untuk diempang dan begitu kuat untuk ditahan. Mereka hanyut dibadai.

Sebelum merosakkan kertas undi, pendirian mereka telah rosak terlebih dahulu. Mereka telah, ya, memaafkan ahli politik.

Selepas PRU14, nama #UndiRosak tidak lagi kedengaran. Ahli-ahli politik tidak kira sama ada yang menang atau kalah, disucikan seperti bayi baru lahir, diazankan perlahan di telinga bagi menghalau kejahatan yang mungkin pernah mereka lakukan sebelumnya.

Sehinggalah berlalu beberapa ketika, negara dilanda siri pilihan raya kecil akibat kematian wakil rakyat dan pengosongan kerusi.

Ahli politik berpencak lagi di pentas. Rakyat tidak keberatan menyokong dan memberi undi.

TAK PERLUKAN RAKYAT

Peralihan masa menyaksikan gelombang juga boleh beralih arah. Ahli politik juga begitu.

Cuma bezanya, rupa-rupanya didapati mereka tidak memerlukan rakyat atau pengundi untuk mengalih arah gelombang sebaliknya cukup dengan permuafakatan dan perikatan sesama mereka sahaja.

Pada Februari 2020, Langkah Sheraton terhasil. Walau dunia dan negara dilanda pandemik, ahli politik seperti tidak peduli.

Tampuk pemerintahan negara bertukar tangan sebelum terjangkit kepada negeri-negeri.

Walau barangkali tidak selesa pada awalnya, namun seperti kata orang, penyembuh luka terbaik adalah masa, maka rakyat berdamai lagi dengan keadaan dan memaafkan ahli politik buat kesekian kalinya.

Datang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu yang tercetus akibat lompatan wakil-wakil rakyat, kemaafan rakyat terhadap ahli politik barangkali mula terhakis.

Kempen pilihan raya yang sibuk bukan sahaja menyebarkan agenda parti masing-masing kepada rakyat malah turut merebakkan virus Covid-19 sehingga mencetuskan gelombang ketiga penularan yang memberi kesan bukan sahaja kepada negeri itu malah seluruh negara.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan yang kesannya bukan sedikit kepada ekonomi, kesejahteraan mental, perkembangan anak-anak, keharmonian keluarga, dan lain-lain.

Ahli politik semakin tidak dipercayai, kalau pun tidak dibenci. Slogan 'Kita Jaga Kita' diangkat bagi menunjukkan hanya rakyat boleh menjaga rakyat tanpa mengharap bantuan ahli politik.

Bantuan-bantuan kewangan, bakul makanan, keperluan harian termasuk tuala wanita digerakkan komuniti secara mandiri tanpa bergantung kepada YB. Kemuncaknya barangkali Kempen Bendera Putih yang sepenuhnya digerakkan rakyat dan mendapat liputan meluas di seluruh negara.

Siri-siri PKP yang panjang, pelanggaran SOP oleh VIP dan ‘golongan kayangan’ yang tidak dihukum berbanding kesalahan sama dilakukan orang biasa, peningkatan mendadak kes bunuh diri dan lain-lain meletakkan rakyat dalam situasi paling sukar dan pada ketika ini, ahli politik bukanlah orang yang boleh mereka harapkan apatah lagi untuk dijadikan kawan.

Kemaafan yang mereka berikan dulu barang kali sudah bertukar menjadi dendam.

Selepas melepasi tempoh paling sukar sekurang-kurangnya buat masa ini, keadaan jadi sedikit lebih baik berbanding sebelumnya.

Vaksinasi dilihat jadi penawar buat meredakan penularan wabak yang pernah melepasi angka 20 ribu kes positif sehari.

SD TUMBANGKAN KERAJAAN

Kegiatan ekonomi mula dibuka semula. Anak-anak mula ke sekolah. Pintu sempadan negeri mula dikuak perlahan-lahan.

Di peringkat nasional, ketegangan politik mula mengendur apabila dua pihak bertentangan bersetuju mengadakan ‘gencatan senjata’.

Siapa pula yang menyangka pada ketika ini ahli politik masih melakar rencana merebut takhta kekuasaan negeri.

Melaka, negeri ‘di mana segalanya bermula’ kehilangan kerajaan akibat langkah empat ADUN kerajaannya meninggalkan pasukan Ketua Menteri sebelum berpakat dengan pembangkang dengan hasrat mengambil alih tampuk pentadbiran negeri.

Namun, mengambil alih kerajaan negeri tidak semudah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) walaupun barangkali demikianlah kesnya apabila bertukarnya kerajaan-kerajaan negeri Kedah, Perak, Johor malah Melaka sendiri dalam peristiwa Langkah Sheraton pada tahun sebelumnya.

Kerajaan negeri jatuh, DUN Melaka dibubar, PRN menjengah. Melainkan persediaan luar biasa dan pendekatan ekstrem diambil, rakyat Melaka berdepan risiko mengulangi pengalaman buruk Sabah selepas PRN tahun lalu.

Graf peningkatan kes setiap hari, hospital yang sesak, petugas barisan hadapan kepenatan, penggali kubur bersut lengkap PPE adalah imej-imej yang tidak mahu kita lihat sekali lagi di layar televisyen dan skrin telefon bimbit pada ketika ia hampir digantikan dengan imej-imej anak-anak kecil mandi-manda di pantai, keluarga berkelah di hutan lipur, dan anak-anak muda beriadah di pusat rekreasi.

Namun jika iktibar tidak diambil dan kita kembali menguak pintu bencana, bersediakah rakyat memaafkan ahli politik sekali lagi?

Klik di sini untuk terus membaca