SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mempertimbangkan penambahbaikan skim perkhidmatan pembantu tadbir melalui sistem saraan baharu menjelang tahun... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mempertimbangkan penambahbaikan skim perkhidmatan pembantu tadbir melalui sistem saraan baharu menjelang tahun 2022.

Presidennya, Adnan Mat berkata, sistem itu bagi melaraskan semula skim perkhidmatan tersebut dengan skim penolong pegawai tadbir.

Tambah beliau, kedua-dua skim tersebut berbeza namun fungsi dan tugas adalah sama berikutan perubahan semasa.

Menurut Adnan, sistem tersebut ditambah baik setiap 10 tahun bermula pada 1992 dan diimplementasikan lebih 19 tahun.

"Jadi amat wajar untuk kerajaan mempertimbangkan dan menaik taraf skim ini dalam sistem saraan Malaysia yang baharu.

"Dengan situasi sekarang, Cuepacs memohon sistem saraan ini yang bermula dengan kelayakan lantikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diubah mengikut peredaran zaman,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sinar Ahad melaporkan seramai 350,000 pembantu tadbir merasa terpinggir dan tertekan apabila gred bagi skim perkhidmatan pembantu tadbir kekal pada Gred Lantikan 19 sejak hampir 40 tahun lalu.

Justeru, Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani Dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) mahu kerajaan mempertimbangkan semula kenaikan gred lantikan skim perkhidmatan tersebut daripada Gred 19 ke Gred 29.

Dalam pada itu, Adnan berkata, skop kerja pembantu tadbir sudah melangkaui fungsi asal mereka sehingga terpaksa melaksanakan kerja seorang pengurus.

"Ini maknanya mereka telah menjalankan tugas-tugas lebih daripada biasa tetapi dengan gaji masih di peringkat taraf SPM.

"Dahulunya mereka banyak membantu tetapi sekarang ini mereka bukan membantu terus menjadi pengurus.

"Kerja-kerja ini terus dilaksanakan bukan lagi sekadar membantu disebabkan zaman sudah berubah dan kepentingan pembantu tadbir memang diperlukan di semua jabatan sehingga mencecah 350,000 orang,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, sistem saraan itu perlu dimasukkan dalam Bajet Belanjawan 2022 bagi peruntukan pelaksanaan sistem berkenaan.

"Walaupun masih dalam perancangan peringkat akhir oleh JPA tetapi sekurang-kurangnya peruntukan perlu ada,” jelasnya.

Beliau turut berharap gred lantikan skim perkhidmatan pembantu tadbir dapat diubah kepada Gred 29 seperti yang dicadangkan.

Pada masa sama, Adnan berkata, penolong pegawai tadbir Gred 29 telah menghantar memorandum permohonan kepada JPA supaya skim itu ditambah kepada Gred 41.

Menurut beliau, ia bagi mengelakkan berlakunya pertindihan antara pembantu tadbir dan penolong pegawai tadbir terutama dari segi fungsi dan skop tugas mereka.

Klik di sini untuk terus membaca