[DIKEMAS KINI] Di laman sesawang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kempen kesihatan mental sangat jelas dipamerkan. WHO menyatakan bahawa objektif umum Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 Oktober setiap tahun adalah untuk meningkatkan... Klik di sini untuk terus membaca

[DIKEMAS KINI] Di laman sesawang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kempen kesihatan mental sangat jelas dipamerkan. WHO menyatakan bahawa objektif umum Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 Oktober setiap tahun adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang isu kesihatan mental.

Hari Kesihatan Mental Sedunia memberi peluang kepada pemegang taruhnya berbincang dan mengkaji kemajuan yang perlu diteruskan untuk memperbaiki kesihatan mental masyarakat. Tema tahun ini ialah ‘Kesihatan Mental Dalam Dunia Yang Tidak Saksama’.

Suasana ketidaksaksamaan dalam dunia terus ketara. Ramai daripada mereka yang kaya tidak menjadi miskin, sementara ramai daripada mereka yang miskin tidak menjadi kaya. Kes riba dan rasuah menjadi-jadi dan ia merosakkan ketenteraman psikospiritual masyarakat secara langsung atau tidak langsung.

TEKANAN KEMISKINAN

Kesihatan mental atau kesejahteraan psikologi berhubung rapat dengan kesihatan kerohanian. Kesihatan psikospiritual ialah satu realiti yang lebih holistik daripada kesihatan mental sahaja. Kesihatan mental dan psikospiritual pula mempunyai hubungan dengan kesihatan sosial serta kesihatan ekofizikal setiap insan yang membangunkan masyarakat.

Laporan Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pada 8 Ogos lalu mendedahkan bahawa isi rumah T20 didapati turut terkesan apabila 12.8 peratus isi rumah kumpulan itu beralih kepada M40.

Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020 menunjukkan sebanyak 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 berpendapatan antara RM4,850 dan RM10,959 beralih kepada kumpulan B40 akibat kesan pandemik Covid-19.

Pengurusan isu kesihatan mental di seluruh negara kini menjadi keutamaan dan cabaran besar kerajaan. Ia dianggap penting bagi petugas barisan hadapan dan seluruh rakyat Malaysia. Demikian kenyataan Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri Dr Adham Baba pada pembukaan Persidangan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2021 yang berlangsung selama dua hari dan secara maya seperti dilaporkan akhbar pada 13 Ogos lalu.

Acara yang dianjurkan oleh Institut Strategik Asia Pasifik Kingsley bertemakan ‘Mempercepatkan Transformasi Sistem Kesihatan Dalam Pandemik – Cabaran dan Peluang’ itu melibatkan 23 orang ahli panel.

Pandemik yang berlaku sepanjang 2020 telah menyebabkan peningkatan kes kesihatan mental di negara ini. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 266 kes bunuh diri dan 1,080 kes cubaan bunuh diri antara 19 Mac 2020 hingga 30 Oktober 2020.

Ketidaksaksamaan yang berlaku boleh menyebabkan pelbagai golongan dalam masyarakat tidak mendapat peluang saksama untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan penyakit mental. Sifat rahmah amat penting supaya kesihatan psikospiritual pelbagai lapisan masyarakat dapat disuburkan.

Dari sekolah hingga universiti, pelajar, guru dan pentadbir mestilah bersikap proaktif dalam mengenal pasti tanda-tanda tekanan jiwa serta penyakit mental. Usaha untuk mengurangkan stigma terhadap penyakit dan pesakit mental mestilah terus diusahakan.

Para penggerak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mesti belajar cara hidup dan aktiviti berimbang bagi mengelak keadaan berat sebelah serta ekstremisme. Golongan sukarelawan yang berimbang kehidupannya dan holistik pendidikannya dapat memperbaiki kebajikan manusia dengan penuh sifat insani.

Dalam usaha kerajaan meramaikan lagi para profesional dalam bidang kesihatan mental, trend dan pengaruh psikologi palsu (pseudopsychology) mestilah dibanteras. Amalan kesihatan mental yang berasaskan dalil (evidence-based) dan beretika mestilah menjadi pilihan masyarakat.

Kesihatan mental atau kesejahteraan psikologi berhubung rapat dengan kesihatan kerohanian.

* Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Presiden Persatuan Terapi Psikospiritual Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca