LEBIH setahun wabak Covid-19 melanda negara Malaysia. Dalam tempoh itu, rakyat perlu mematuhi pelbagai peraturan dan arahan kerajaan seperti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Semalam, kerajaan mengumumkan kebenaran aktiviti merentas negeri apabila kadar vaksinasi golongan dewasa telah mencapai 90 peratus.
Berita gembira itu pastinya disambut baik oleh rakyat yang telah lama tidak dapat merentas negeri untuk menjenguk keluarga di kampung halaman.
Ramai juga yang teruja ingin beriadah dan melancong di pelbagai lokasi menarik dalam negara.
Namun, apakah yang bakal berlaku kepada tempat-tempat riadah atau kawasan pelancongan apabila rakyat dibenarkan merentas negeri?
Apakah peristiwa seperti kesesakan pengunjung yang luar biasa dan longgokan sampah-sarap yang banyak akan berulang seperti yang berlaku di beberapa tempat baru-baru ini?
Sepatutnya, bagi mengelak isu yang sama berulang, aktiviti lawatan perlu dibuat secara beretika dan keupayaan sesuatu kawasan menampung jumlah pengunjung perlu diberikan perhatian.
Dalam bahasa yang mudah difahami, keupayaan tampungan ialah ukuran paling banyak penggunaan sesuatu tempat tanpa merosakkan persekitarannya dan menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan pengguna.
Ukuran paling banyak itu diwakili oleh suatu angka dan ia perlu dipatuhi. Sebagai contoh, jika bilangan paling ramai pelawat di sesuatu tempat riadah atau pelancongan itu adalah seramai 300 orang untuk satu tempoh masa tertentu, maka patuhilah angka tersebut.
Keupayaan tampungan tidak dipatuhi apabila bilangan pelawat melebihi angka 300 orang.
Perkara berkenaan perlu diberi perhatian oleh semua pihak termasuklah pengendali tempat lawatan atau pelancong terutama semasa negara masih dilanda pandemik Covid-19.
Antara kesan sampingan yang dijangka berlaku apabila keupayaan tampungan tidak dipatuhi adalah kawasan lawatan menjadi sesak dengan pelawat, SOP diabaikan seperti pengunjung yang tidak mengamalkan penjarakan fizikal, parkir kenderaan tidak mencukupi, persekitaran yang kotor dengan sampah-sarap dan menimbulkan perasaan kurang senang kepada pelawat dan penduduk tempatan.
Contohnya seperti yang berlaku di kawasan rekreasi Sungai Pisang di Gombak baru-baru ini. Kawasan itu menjadi sesak dengan pengunjung untuk aktiviti berkelah dan mandi-manda setelah kerajaan memberi kebenaran merentas daerah.
Contoh lain di luar negara adalah kesesakan pengunjung di Taman Gunung Huangshan, China pada April 2020 apabila sekatan perjalanan dilonggarkan. Padahal tempat itu hanya mampu menerima paling ramai 20,000 pengunjung dalam sehari.
Kesesakan pengunjung juga berlaku di kawasan pelancongan Bournemouth, United Kingdom apabila perintah kawalan pergerakan dilonggarkan pada Jun 2020. Turut berlaku adalah kesesakan lalu lintas dan janaan sampah-sarap yang banyak kira-kira 33 tan.
Justeru, kita perlu celik dalam aspek keupayaan tampungan tempat lawatan dan sedar tentang tanggung jawab masing-masing terutama dalam keadaan negara masih berperang dengan Covid-19.
Kerajaan juga dicadangkan mengemas kini SOP sektor rekreasi dan pelancongan dalam Pelan Pemulihan Negara iaitu menetapkan had jumlah pengunjung di sesuatu kawasan agar proses riadah dapat berlangsung dengan berhemah.
Dalam pada itu, pengendali tempat lawatan hendaklah mengambil inisiatif dengan menetapkan bilangan maksimum pelawat yang boleh diterima untuk sesuatu masa bagi menjamin kebersihan dan pematuhan SOP.
Pelawat juga perlu mengambil berat keupayaan tampungan sesuatu tempat lawatan selepas ini agar usaha untuk mengekang jangkitan Covid-19 dapat terus dilakukan.
* Dr Muhamad Asri Abdullah Kamar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, UiTM Perak
Klik di sini untuk terus membaca