TAIWAN tidak sesekali akan tunduk kepada Beijing dan akan meneruskan pentadbiran secara demokrasi, kata Presiden Tsai Ing-wen pada Ahad ketika China berterusan menceroboh ruang udara pulau tersebut baru-baru ini.
Taiwan yang mempunyai 23 juta penduduk sering menerima ancaman China yang mana repubulik itu menyifatkan Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan berikrar akan merampasnya secara paksa jika perlu.
"Semakin banyak yang kita capai, semakin besar tekanan yang akan kita hadapi daripada China.
"Tidak ada yang dapat memaksa Taiwan untuk melalui jalan yang sudah ditetapkan China kepada kita,” kata Tsai semasa ucapan sempena Hari Kebangsaan Taiwan.
Ing-wen menyifatkan Taiwan sebagai ‘berdiri di barisan pertama bagi mempertahankan demokrasi’
"Kami berharap dapat mengendurkan ...hubungan dengan Beijing dan tidak bertindak secara terburu-buru, serta rakyat Taiwan tidak sesekali tunduk kepada desakan China,” tambahnya.
Taiwan dan China memerintah negara masing-masing sejak berakhirnya Perang Saudara China pada tahun 1949.
CEROBOH
Ketegangan mula kemuncak dalam beberapa dekad di bawah pemerintahan Presiden Xi Jinping yang memutuskan hubungan komunikasi rasmi dengan Taipei susulan pilihan raya yang dimenangi Ing-wen lima tahun lalu dan meningkatkan tekanan ekonomi dan ketenteraan.
Bahkan, baru-baru ini China dilihat menceroboh zon pertahanan udara Taiwan (ADIZ) dengan jet pejuang dan pesawat pengebom.
Jinping menjadikan Taiwan sebagai matlamat utama dalam kepimpinannya.
Beliau pada Sabtu lalu menyatakan dalam ucapannya bahawa ‘penyatuan semula kedua-duanya akan dapat direalisasikan’.
Tahun lalu, jet tentera China mencatatkan 380 pencerobohan ke zon pertahanan Taiwan, dan jumlah pencerobohan selama sembilan bulan pertama tahun ini sudah melebihi 600 kali.
ADIZ tidak sama seperti ruang udara wilayah Taiwan tetapi termasuk kawasan yang jauh lebih luas dan bertindih dengan bahagian zon identifikasi pertahanan udara China serta termasuk kawasan tanah besar negara itu.
Ing-wen yang memenangi dua pilihan raya dibenci Beijing kerana beliau menganggap Taiwan sudah mencapai kemerdekaan dan pulau ini bukan sebahagian daripada China.
"Setiap langkah yang kita ambil akan mempengaruhi hala tuju masa depan kita dan masa depan ini akan mempengaruhi masa depan Taiwan,” katanya. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca