SHAH ALAM - Ekonomi negara dijangka lebih baik susulan pengumuman kerajaan membenarkan rakyat Malaysia melakukan pergerakan rentas negeri bermula Isnin.
Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ia berikutan sebahagian besar perbelanjaan pelancongan domestik adalah untuk membeli-belah.
Beliau berkata, para peniaga gerai bakal mendapat manfaat secara langsung apabila orang ramai keluar berbelanja dan melancong.
"Tahun lalu, perbelanjaan pelancongan domestik merudum ke paras RM40.4 bilion berbanding RM103.2 bilion pada 2019. Justeru, situasi ini bakal berubah impak kebenaran untuk merentas negeri.
"Dari sudut ekonomi, perbelanjaan pengguna yang merangkumi lebih 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, bakal menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi pada suku keempat 2021 dan seterusnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam berkata, langkah membenarkan rentas negeri itu sangat penting kerana banyak perniagaan telah terjejas, begitu juga pendapatan individu yang merosot sehinggakan ada golongan T20 telah jatuh ke kelompok M40.
Dalam pada itu, Dekan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berpandangan sektor pelancongan dijangka mengalami peningkatan sebanyak 20 peratus dalam tempoh enam bulan akan datang.
Katanya, pertambahan pada suku pertama 2022 itu melibatkan semua rantaian industri pelancongan seperti hotel, homestay serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Sebagai contoh, katakan orang pergi ke pulau, jadi sepanjang perjalanan mereka ke pulau tersebut, berapa ramai pihak yang mendapat wang yang dibelanjakan oleh pelancong.
"Jadi wang berpindah tangan daripada pelanggan kepada peniaga-peniaga di kawasan tersebut,” ujar beliau.
Tambahnya, aspek mobilisasi dari segi pertambahan kenderaan di lebuh raya turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan secara signifikan.
"Mobilisasi yang luar biasa ini akan menyumbang pertambahan pendapatan kepada semua rantaian,” ujar Ahmad Azrin.
Klik di sini untuk terus membaca