MEDIA sosial adalah terma yang boleh dianggap seakan payung membayangi laman sesawang dan pelbagai aplikasi. Ia membolehkan pengguna berkongsi pengisian serta buah fikiran bersama komuniti dalam talian. Menurut kajian pada tahun 2019, 56... Klik di sini untuk terus membaca

MEDIA sosial adalah terma yang boleh dianggap seakan payung membayangi laman sesawang dan pelbagai aplikasi.

Ia membolehkan pengguna berkongsi pengisian serta buah fikiran bersama komuniti dalam talian.

Menurut kajian pada tahun 2019, 56 peratus daripada penduduk dunia boleh berinteraksi secara dalam talian, manakala 45 peratus lagi mempunyai akses kepada platform media sosial pelbagai.

Separuh daripada pengguna media sosial berumur dari 18 hingga 34 tahun, dengan mereka yang berumur sekitar 30 tahun merupakan pengguna media sosial paling utama global.

Perintis media sosial membolehkan interaksi antara pengguna adalah SixDegrees.com yang mula beroperasi pada 1997.

Pada ketika itu penggunanya mencapai sehingga satu juta.

Tidak lama kemudian, media sosial lain tumbuh bagai cendawan, antaranya AmIHotorNot, Friendster, Myspace, Facemash, Facebook, Tumblr, Weibo dan pelbagai lagi.

Dalam konteks konflik, media sosial memainkan peranan semakin kritikal dan hari ini dianggap boleh menjadi pendorong kepada tercetusnya sokongan terhadap sesuatu konflik bersenjata melibatkan dua negara mahupun dua pihak yang mempunyai pandangan berbeza dalam sesuatu isu.

Lebih membimbangkan, berbeza dengan sistem komunikasi elektronik yang lain, media sosial mempunyai kepantasan sebaran maklumat yang amat pantas.

Ini menjadikan ia satu sistem penyebaran ideologi yang dinamik.Media sosial dianggap sebagai pencetus kepada revolusi ‘Arab Spring’ yang menyaksikan gerakan demokratik disokong oleh majoriti rakyat di negara-negara Arab berjaya menumbangkan kerajaan diktator sedia ada kepada yang lebih demokratik.

Revolusi media berkonsepkan demokrasi ini walau bagaimanapun tidak kekal lama dan bertukar menjadi huru-hara apabila elemen-elemen berkepentingan turut menjadikan ia sebagai platform untuk menyebarkan maklumat palsu, kebencian mahupun keganasan terhadap kumpulan tertentu.

SEBARKAN KEBENCIAN

Menurut satu kajian dilaksana Universiti Haifa di Israel, pada peringkat awal, hanya wujud 12 laman sesawang yang dikaitkan dengan kumpulan ekstremis.

Jumlah tersebut telah melonjak kepada 9,800 laman sesawang dengan sebahagian besar diwujudkan selepas peristiwa 9/11.

Di rantau Asia Tenggara penggunaan media sosial bagi tujuan keganasan paling buruk berlaku di Myanmar.

Kumpulan penasihat berkaitan hak asasi manusia di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendapati Facebook telah digunakan secara meluas untuk menyebarkan kebencian serta mendorong perbuatan keganasan terhadap etnik Islam Rohingya sehingga tercetusnya pembunuhan beramai-ramai.

Dari sudut lain, Kementerian Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat Palestin ketika konflik Gaza yang terkini telah menyeru agar pengguna di Facebook menyebarkan tanda pagar atau ‘hashtag’ seperti #GazaUnderAttack, #GenocideinGaza dan #savesheikhjarrah agar ia dapat diakses oleh umum peringkat global.

Selain konflik bersenjata, media sosial mampu mengakibatkan kerugian ekonomi dan keselamatan sesebuah negara seterusnya kekacauan global.

Pada April 2013, organisasi digelar ‘Syrian Electronic Army’ telah menyerang akauan Twitter agensi berita Associated Press (AP). Menerusi laman Twitter yang telah digodam, ia menyebarkan berita tergempar menyatakan dua letupan berlaku di Rumah Putih mengakibatkan Presiden Barrack Obama cedera parah.

Berita ini kemudiannya diketahui palsu, namun hanya beberapa minit selepas ia disebarkan, Bursa Saham New York kerugian sebanyak AS$136 bilion.

Dengan kestabilan politik di negara ini kelihatan rapuh dan tindak tanduk sebahagian ahli politik yang seakan semakin galak berpolitik berkiblatkan jawatan, peluru ajaib media sosial ini dianggap senjata ampuh.

Namun harus diingat ia juga mampu mengakibatkan kemusnahan perpaduan, perbalahan etnik malah keruntuhan negara dari dalam.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007

Klik di sini untuk terus membaca