SHAH ALAM - Berbeza dengan hutan di negeri lain yang diteroka secara haram untuk tujuan pembalakan, Hutan Simpan Kekal (HSK) di Selangor 'diperkosa' oleh individu tidak bertanggungjawab untuk tiga tujuan iaitu bertani, menternak dan membina... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Berbeza dengan hutan di negeri lain yang diteroka secara haram untuk tujuan pembalakan, Hutan Simpan Kekal (HSK) di Selangor 'diperkosa' oleh individu tidak bertanggungjawab untuk tiga tujuan iaitu bertani, menternak dan membina penempatan.

Demikian pendedahan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Datuk Ahmad Fadzil Abd Majid mengenai modus operandi penebangan dan penerokaan hutan secara haram di HSK dan tanah-tanah kerajaan di Selangor.

Malah, lebih mendukacitakan, perbuatan tersebut didalangi rakyat tempatan sendiri yang sesuka hati menebang pokok demi membina rumah, bertani dan menternak.

Jelas beliau, kegiatan itu berlaku sejak puluhan tahun lalu dan ia terbukti dengan penemuan struktur rumah batu dan rumah kayu, tanaman selain kandang ternakan di kawasan yang digempur Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).

Ahmad Fadzil

Ahmad Fadzil berkata, terdapat 35 HSK di Selangor dengan Hutan Simpan Kuala Langat Utara, Hutan Simpan Kuala Langat Selatan serta Hutan Simpan Bukit Lagong antara lokasi panas yang sering diceroboh.

"Di Selangor, keluasan HSK dianggarkan kira-kira 253,000 hektar yang digazetkan di bawah Akta Perhutanan Negara. Warta yang ada di dalam negeri Selangor telah bermula sejak tahun 1920 dan itu rekod terawal berkenaan pewartaan hutan simpanan kekal.

"Sehingga kini baki HSK yang ada merangkumi 31 peratus daripada keluasan tanah di Selangor.

"Aktiviti penerokaan dan pencerobohan secara haram ini sebenarnya berlaku bukan sahaja di kawasan HSK, bahkan di tanah-tanah kerajaan. Jadi, tumpunan utama JPNS adalah pencerobohan di kawasan hutan simpanan kekal.

"Kebanyakan aktiviti pencerobohan dan penerokaan ini dilakukan oleh masyarakat dan penduduk setempat melibatkan kerja-kerja tanah untuk tanaman kontan, tanaman pertanian dan juga untuk menternak haiwan peliharaan.

"Perkara ini telah berlangsung sejak sekian lama dan dari masa ke masa apabila ada pencerobohan, JPNS akan menjalankan aktiviti penguatkuasaan terutamanya pencerobohan baharu.

"Bagi pencerobohan lama yang telah berlaku sejak puluhan tahun dulu, JPNS juga sedang merangka penguatkuasaan untuk cegah penerokaan berlarutan ke kawasan baharu,” katanya kepada kru Rasuah Busters ketika diwawancara secara eksklusif baru-baru ini.

Beliau memberitahu, JPNS juga merancang dan melaksanakan operasi bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu dalam mengambil tindakan penguatkuasaan melibatkan pencerobohan yang telah lama berlaku di kawasan HSK.

Sebuah rumah yang didirikan di kawasan hutan simpan Bukit Lagong dirobohkan menerusi Operasi Bersepadu Ops Lagong, 28 September lalu. - FOTO SINAR HARIAN/ HALIM WAHID

SASAR KAWASAN TANAH SUBUR

Ahmad Fadzil berkata, terdapat beberapa lokasi yang menjadi kawasan tumpuan penerokaan terutamanya kawasan yang berdekatan dengan penempatan penduduk.

Selain itu, tambah beliau, beberapa HSK sering jadi tumpuan penceroboh kerana mempunyai tanah subur.

"Kalau di Selangor ini, hampir 70 hingga 80 peratus adalah kawasan tanah gambut dan subur untuk pertanian.

"Itu yang menjadi tumpuan masyarakat untuk buat pertanian. Seperti yang saya beritahu tadi, Hutan Simpan Kuala Langat Utara dan Kuala Langat Selatan adalah kawasan tanah gambut. Jadi penerokaan dari semasa ke semasa sering dilakukan masyarakat setempat tidak kira kaum dan bangsa,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan rekod-rekod tindakan yang diambil, setiap tahun banyak jentera-jentera yang digunakan untuk penerokaan dan pencerobohan hutan simpan telah dirampas antaranya jentera pengorek, kenderaan pacuan empat roda, motosikal selain gergaji rantai.

Kata Ahmad Fadzil, dengan kegiatan pencerobohan itu, jabatan perhutanan juga akan menuntut ganti rugi daripada individu terbabit berdasarkan setiap pokok yang ditebang.

"Biasanya dengan penerokaan yang dilakukan, akan berlakunya penebangan pokok dan pembakaran. Kita akan lihat tunggul pokok yang ada, kita akan ukur dan kira ganti rugi. Contohnya mungkin nilai pokok RM2,000 dan dari segi ganti rugi di bawah akta kita, boleh kenakan sehingga 10 kali ganda nilai itu,” jelasnya.

JPNS melaksanakan operasi bersepadu Ops Langat pada Julai lalu di kawasan hutan simpan kekal yang diceroboh untuk dijadikan kawasan ladang kelapa sawit.

MOROTARIUM PEMBALAKAN

Menurut Ahmad Fadzil lagi, dari segi pembalakan, negeri Selangor telah mengamalkan moratorium sejak tahun 2010.

"Sejak itu, Selangor tidak lagi mengamalkan pembalakan di kawasan hutan simpan kekal. Oleh sebab itu, kita tidak ada lagi permohonan untuk pembalakan kecuali bagi tanah milik yang hendak dimajukan,'' katanya.

"Pembalakan di hutan simpanan kekal memang tidak ada kecuali untuk tujuan pembangunan, kita ada beberapa aktiviti pembalakan dalam kawasan hutan simpanan kekal untuk tujuan pembinaan talian TNB, laluan lebuh raya dan sebagainya,” ujarnya.

Jelasnya, tetapi konsep yang diamalkan kerajaan negeri pada masa ini adalah tebang dan tinggal.

"Kayu tidak boleh dibawa keluar sebab kita hendak elakkan daripada orang ambil kesempatan dengan penebangan hutan ini. Jadi, konsep yang kita amalkan adalah tebang dan tinggal kayu-kayu itu,” katanya.

Katanya lagi, bagi JPNS, keputusan Kerajaan Negeri Selangor mengenakan moratorium pembalakan merupakan satu keputusan yang kami alukan kerana banyak kes-kes integriti dan rasuah bermula daripada adanya pengeluaran kayu dan balak.

"Kita tidak nafikan ada berlaku tawaran yang diberikan, tapi memandangkan Selangor telah amalkan moratorium pembalakan lebih 10 tahun, kita tidak ada kawasan pembalakan, jadi tidak ada ruang orang menawarkan apa-apa kepada pegawai dan anggota kita.

"Itu yang kita amat bersyukur dengan pelasanaan moratorium. JPNS dapat laksanakan tugas dengan baik dan integriti. Tiada aduan berkenaan rasuah diterima.

"Tawaran tentang rasuah tidaklah berlaku sewenangnya. Dalam melaksanakan tugas, kita amalkan pelbagai kaedah untuk banteras rasuah. Dari semasa ke semasa kia laksanakan pelbagai kurusus dan ceramah berkenaan anti rasuah,” katanya.

CEROBOH KETIKA PKP

Ahmad Fadzil berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikuatkuasakan sejak tahun 2021 akibat penularan Covid-19 dan dalam tempoh itu, terdapat pihak yang mengambil kesempatan menceroboh HSK.

"Tempoh itu agak lama dan tidak dinafikan ada kesan baru penerokaan telah dikesan JPNS. Dipercayai pencerobohan itu dilakukan masyarakat dengan alasan mereka tidak dapat melakukan aktiviti lain. Laporan ini diterima kita berdasarkan kerjasama awam

"Susulan aduan itu kita akan semak untuk sahkan kejadian itu, kemudian pasukan akan turun ke tapak bagi memastikan kejadian itu berlaku di hutan simpan atau sebaliknya. Tindakan tegas akan diambil dengan menyita jentera dan penahanan individu,” katanya.

JPNS dengan kerjamasama pihak berkuasa tempatan dan PDRM melaksanakan operasi pencerobohan kawasan hutan simpan.

DALANG WARGA TEMPATAN

Mempersoalkan adakah masyarakat sedar apa yang dilakukan mereka melangari peraturan Ahmad Fadzil berkata, peratusan hutan simpan di Selangor hanya kira-kira 31 peratus dan tanah kerajaan pula tidak sampai 10 peratus.

"Sedar atau tidak, kebanyakan aktiviti penerokaan ini awalnya dilakukan secara kecil-kecilan. Pemahaman masyarakat dengan tanah kerajaan itu satu yang perlu kita lihat.

"Ada yang beranggapan tanah kerajaan itu hak semua, siapa-siapa boleh teroka dan majukan kemudian dia mohon untuk jadi tanah milik dan sebagainya. Adakah masyakrakt sedar bahawa apa yag dibuat itu melanggar akta dan peraturan?

"Oleh itu, JPNS telah mengadakan program-program kesedaran bagi memaklumkan kepada masyarakat apa yang boleh dan tidak terutamanya di hutan simpan,” katanya.

Ujar beliau, Seksyen 81 Akta Perhutanan Negara 1984 menyatakan dengan jelas aktiviti-aktiviti yang tidak boleh dilaksanakan di hutan simpan termasuklah meneroka, membajak, menebang, menternak tanpa permit dan lesen yang sah.

Katanya, jika dilakukan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

"Dalam masa yang sama Seksyen 82 juga mengatakan bahawa tidak boleh mengadakan pembakaran. Kalau di Selangor ini kita dapati bila teroka, akan bakar. Selain di bawah Akta Alam Sekitar, di bawah Akta Perhutanan Negara juga nyatakan kesalahan itu,” katanya.

Ujar beliau, biar pun dengan jumlah keanggotaan yang terhad, usaha penguatkuasaan pencerobohan dan penerokaan tetap dilakukan.

"Di Selangor, lebih 1,000 rondaan setiap bulan dilaksanakan dan banyak pemeriksaan dibuat untuk memastikan undang-undang dipatuhi,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca