PENJAGAAN alam sekitar perlu dititikberatkan kerana ia menawarkan pelbagai perkhidmatan dan manfaat untuk kegunaan manusia. Justeru, kesihatan dan kesejahteraan alam sekitar sangat perlu dipelihara kerana kemusnahan alam akan membawa... Klik di sini untuk terus membaca

PENJAGAAN alam sekitar perlu dititikberatkan kerana ia menawarkan pelbagai perkhidmatan dan manfaat untuk kegunaan manusia.

Justeru, kesihatan dan kesejahteraan alam sekitar sangat perlu dipelihara kerana kemusnahan alam akan membawa malapetaka dan bencana berterusan.

Ini disebabkan persekitaran mempunyai kesan ketara terhadap kehidupan manusia, khususnya dari segi tahap kesihatan serta kualiti hidup.

Masyarakat merupakan salah satu komponen penting dalam mencapai pembangunan lestari dengan terlibat sama dalam merancang, mengurus, melaksanakan dan memantau alam sekitar seperti yang dinyatakan dalam Prinsip 22, Agenda 21 (LA21).

Justeru, kerajaan hendaklah mengiktiraf dengan cara yang sesuai bagi membolehkan penglibatan masyarakat secara berkesan dalam mencapai agenda pembangunan lestari.

Matlamat Agenda 2030 SDG 12 juga menekankan perlunya kesedaran pembangunan lestari dalam kalangan penduduk dunia di samping memupuk gaya hidup sihat.

Namun, walaupun pelbagai program dan kempen berkaitan perlindungan alam sekitar dijalankan, episod pencemaran dan pemusnahan berterusan berlaku.

Kajian mendapati sikap masyarakat Malaysia terhadap isu alam sekitar masih pada tahap membimbangkan, yang mana kebanyakan mereka menganggap masalah menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab kerajaan.

Hal ini menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap isu alam sekitar masih rendah walaupun pelbagai usaha telah dan sedang dijalankan.

Justeru, semua lapisan masyarakat perlu sentiasa komited dan bertanggungjawab atas setiap tindakan mereka, terutamanya untuk tidak melakukan sebarang bentuk pencemaran yang mampu mengancam dan membinasakan alam sekitar.

Kesedaran secara langsung tentang krisis alam sekitar wujud dengan terbitnya buku oleh Rachel Carson bertajuk Silent Spring pada tahun 1962.

Buku ini telah berjaya menyedarkan masyarakat dunia berhubung krisis alam sekitar, yang mana masyarakat mulai sedar bahawa kuasa untuk memelihara dan melindungi alam terletak di tangan mereka iaitu sebagai individu dalam masyarakat, kita mempunyai pilihan sama ada untuk menyelamat atau memusnahkan alam sekitar.

Hal ini kerana hanya kita sahaja yang berhak untuk mengatakan ‘tidak’ ataupun ‘ya’ dalam memastikan kita hidup dalam suasana persekitaran yang bersih dan selesa.

KEWAJIPAN

Tuntasnya, kewajipan menjaga kesejahteraan alam sekitar terletak sepenuhnya di tangan setiap daripada kita.

Maka, sudah tiba masanya setiap anggota masyarakat membuang sikap ‘tidak apa’ dalam diri masing-masing untuk melindungi persekitaran sejagat dengan tidak melakukan pemusnahan terhadap alam sekitar secara berterusan.

Ia merupakan tugas dan kewajipan setiap dari kita untuk menjaga dan memelihara alam sekitar sebagaimana ia telah memberi pelbagai manfaat berabad lamanya.

Selain itu, pembangunan masyarakat menyediakan kerangka yang lebih baik untuk individu dalam masyarakat bekerjasama dengan perasaan berkongsi matlamat, tanggungjawab dan peranan yang jelas dalam memelihara dan memulihara alam sekitar.

Masyarakat juga perlu menjadi lebih peka dengan semua aktiviti pembangunan di sekeliling mereka termasuk kes pencemaran.

Sebagai antara pemegang taruh utama, mereka boleh memainkan peranan aktif dengan bertindak menyalurkan maklumat dan melaporkan kejadian pencemaran.

Dengan ini masyarakat dapat berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ kerajaan.

Segenap lapisan masyarakat mesti berusaha menghayati etika persekitaran, memperakui kuasa alam semula jadi dan merasa rendah diri dalam memahami bahawa mereka hanyalah sebahagian kecil daripada sistem alam sekitar.

Masyarakat juga perlu dididik dan didedahkan dengan amalan dan kaedah untuk hidup secara lestari supaya pendidikan lestari menjangkau sempadan minda, dijiwai dan meresapi jiwa sehingga ianya menjadi budaya dan amalan hidup.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah dari Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca