SATU siri peningkatan serangan berdarah daripada kumpulan Daesh Khorasan telah menjejaskan usaha Taliban untuk membawa kestabilan ke atas Afghanistan selepas ia berjaya menguasai Kabul pada Mei lalu. Serangan itu termasuk kejadian bunuh... Klik di sini untuk terus membaca

SATU siri peningkatan serangan berdarah daripada kumpulan Daesh Khorasan telah menjejaskan usaha Taliban untuk membawa kestabilan ke atas Afghanistan selepas ia berjaya menguasai Kabul pada Mei lalu.

Serangan itu termasuk kejadian bunuh diri baru-baru ini yang dilakukan oleh kumpulan Daesh tersebut ke atas penganut agama Islam mazhab Syiah ketika solat Jumaat diadakan di bandar Kunduz, utara negara itu.

Ia dilakukan bagi memberi gambaran bahawa berlaku kebencian mazhab di Afghanistan dan mahu memperlihatkan negara berkenaan tidak dapat ditadbir dengan sempurna oleh Taliban.

Dalam kejadian itu, lebih 100 penduduk negara tersebut terbunuh.

SEJARAH DAESH

Kumpulan Daesh Khorasan ditubuhkan pada tahun lewat tahun 2004 ketika berlaku penentangan melibatkan kumpulan Sunni di Iraq dan Syria yang berikrar mahu mewujudkan sebuah negara berpentadbiran 'khalifah.'

Namun, sebelum ini kumpulan Daesh pusat pimpinan Abu Bakr al-Baghdadi yang menggunakan bendera berwarna hitam berjaya menawan sejumlah kawasan di Iraq dan timur Syria.

Abu Bakar kemudian terbunuh semasa tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan yang mendapat kelulusan bekas Presiden AS, Donald Trump di Syria pada Oktober 2019.

Bagaimanapun, pengaruh kumpulan tersebut semakin hilang apabila kawasan-kawasan yang ditawan itu kemudian dikuasai semula oleh tentera yang mendapat sokongan AS.

Sebelum itu, kumpulan berkenaan telah mengembangkan pengaruhnya di beberapa kawasan sekitarnya termasuk di Khorasan iaitu sebuah rantau yang dari segi sejarahnya terletak di dalam sebahagian negara Afghanistan, Iran, Pakistan dan Turkmenistan.

Felo kanan Penyelidikan Strategik Perancis, Jean-Luc Marret menggambarkan bahawa kumpulan Daesh Khorasan sebagai 'satu konglomerat bekas-bekas pejuang organisasi Islam yang terdiri daripada kumpulan etnik Uighur, Uzbekistan dan anggota-anggota Taliban yang berpaling tadah'.

Kumpulan Daesh Khorasan mendakwa pada Jumaat lalu bahawa ia mengaku mengebom di Kunduz.

Ia menyatakan, serangan itu dilakukan oleh anggotanya yang berketurunan Uighur.

Buat masa ini, Uighur yang merupakan kumpulan etnik Turki-Islam berdepan dengan isu ditindas oleh pemerintahan komunis China.

Berdasarkan kepada anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kumpulan Daesh Khorasan mempunyai antara 500 dan ribuan anggota di utara serta timur Afghanistan.

Sejak tahun 2020, kumpulan berkenaan dikatakan diketuai oleh seorang ketua yang dikenali dengan nama panggilan Shahab al-Mujahir.

Shahab dianggap datang dari dunia Arab tetapi asal keturunannya masih lagi tidak jelas.

Beliau dilaporkan pernah menjadi seorang komander Al-Qaeda atau bekas anggota rangkaian Haqqani iaitu sebuah kumpulan yang berada di bawah pengaruh Taliban.

Taliban kini menguasai Kabul yang merupakan ibu kota Afghanistan selepas tentera Amerika Syarikat berundur dari negara itu pada Mei lalu. - Foto AFP

SASARAN

Sehingga tahun 2020, kumpulan itu dibayangi oleh Taliban dan menjadi sasaran serangan udara tentera AS dan serangan dron menyebabkan ia kehilangan pengaruh di Afghanistan.

Bagaimanapun, dengan kemunculan pemimpin baharu kumpulan Daesh Khorasan itu, ia telah mengubah bentuk pendekatan serangan.

Menurut Abdul Sayed iaitu seorang penyelidik di sebuah laman pengesan gerakan pelampau, ExTrack, Shahab membuat penekanan baharu kumpulan tersebut dengan menggunakan pendekatan perang bandar.

Katanya, kumpulan berkenaan telah memilih sasaran 'mudah' seperti tempat-tempat beribadat, institusi-institusi pendidikan dan tempat-tempat awam seperti hospital-hospital dan lain-lain.

Abdul berkata, pemilihan tempat-tempat seperti itu adalah bertujuan untuk menyebarkan ketakutan dalam kalangan penduduk di negara tersebut.

Kini, Taliban berdepan dengan kumpulan Daesh Khorasan.

Ia juga mendapat sedikit bantuan dari luar tetapi tidak ada satu pun datang dari pasukan perisikan AS bagi memerangi kumpulan itu.

Namun, pada minggu lalu, ia mengumumkan berjaya menghapuskan satu sarang kumpulan Daesh Khorasan di Kabul selepas serangan bunuh diri berlaku di masjid kedua terbesar di Afghanistan. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca