SHAH ALAM - Kadar tempahan yang diterima industri hotel dijangka meningkat sebanyak 40 hingga 45 peratus susulan kebenaran rentas negeri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bermula Isnin. Ketua Pegawai Eksekutif... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kadar tempahan yang diterima industri hotel dijangka meningkat sebanyak 40 hingga 45 peratus susulan kebenaran rentas negeri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bermula Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, ketika ini kadar penginapan hotel mencatatkan 20 hingga 25 peratus sahaja.

Menurutnya, hotel sentiasa menjadi pilihan orang ramai apabila melancong tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Saya menjangkakan peningkatan ini sama seperti ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tahun lalu.

"Kebenaran rentas negeri akan menggalakkan orang ramai membuat tempahan bermula sekarang.

"Antara destinasi popular yang bakal menjadi tumpuan pengunjung ialah Langkawi, Pulau Pinang, Ipoh dan Pulau Pangkor di Perak, Resort World Genting, Pahang dan Legoland di Johor.

"Walaupun Sabah dan Sarawak berpotensi tinggi tetapi ia masih bergantung kepada kawalan kerajaan negeri masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, tawaran dan promosi istimewa yang diperkenalkan akan dapat menarik lebih ramai pelanggan untuk menginap di hotel.

"MAH sendiri turut menjalin kerjasama dengan Tourism Malaysia dan Shopee bagi menawarkan penginapan dengan subsidi kerajaan antara RM100 untuk hotel empat dan lima bintang manakala RM50 bagi hotel tiga bintang ke bawah,” tambah beliau.

Dalam masa sama, katanya, industri akan memberi komitmen yang tinggi dalam pematuhan dan pemantauan SOP serta berharap pelancong akan bekerjasama dengan pengusaha pelancongan.

"Ini menjadi tanggungjawab semua dan bukan bergantung kepada pihak berkuasa sahaja,” ujar beliau.

Gambar dari kiri: Yap Lip Seng, Ganesh Michiel

NAIK 50 PERATUS

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel turut menjangkakan kadar tempahan hotel dalam negara boleh meningkat sebanyak 50 peratus dalam masa terdekat.

Menurut beliau, buat masa ini, agensi pelancongan dan industri perhotelan mula aktif terutama di lokasi percutian.

"Kami menyambut baik kebenaran merentas negeri termasuk membenarkan aktiviti pelancongan,” katanya.

Bagaimanapun, Ganesh mengakui penggiat industri perhotelan masih berada dalam keadaan yang memerlukan bantuan bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka dan kebenaran merentas negeri hanya akan menyumbang sedikit peningkatan terhadap usaha pemulihan tersebut.

"Mereka memerlukan dana. Kalau tiada wang, bagaimana mahu mendapatkan pekerja baharu dan sebagainya?

"Kebanyakan hotel sudah lama tutup. Jadi pengusaha perlu melaksanakan banyak urusan membaik pulih sebelum membuka semula hotel mereka,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca