CHINA mempamerkan generasi baharu jet-jet pejuang dan dron miliknya di tengah ura-ura ia akan melakukan serangan ke atas kepulauan Taiwan yang terletak berdekatan dengan negaranya.
Justeru, Pameran Penerbangan Antarabangsa dan Aeroangkasa yang turut dikenali sebagai Pertunjukan Udara China di Zhuhai, selatan Guangdong diadakan lewat September berlangsung sehingga awal Oktober lalu yang dianggap sebagai cara negara berkenaan menunjukkan kekuatannya dalam bidang ketenteraan.
Ia diadakan buat pertama kali dalam tempoh tiga tahun selepas ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda China.
Negara komunis itu mempamerkan satu pasangan jet pejuang senyap iaitu J-20 yang mempunyai nama gelaran iaitu Weilong atau Kekuatan Naga yang boleh melancarkan sistem peluru berpandu jarak jauh.
Jet pejuang itu boleh mengisi minyak di udara dan ia dilaporkan digunakan dalam tentera China pada tahun 2017 setelah melakukan penerbangan sulung pada tahun 2011.
Ia dibangunkan oleh syarikat aeroangkasa milik kerajaan negara yang dikenali sebagai Perbadanan Industri Penerbangan China (AVIC) dan ia sepatutnya menjadi jet pejuang generasi masa depan keluaran negara tersebut.
Pada pameran itu, jet-jet pejuang yang dipamerkan itu menggunakan enjin baharu yang ditambah baik dan ia mampu terbang secara menegak.
Dalam pameran itu, jet pejuang elektronik JI6D turut dipamerkan dengan fungsinya adalah untuk mengesan radar dan melancarkan peluru berpandu bagi mengganggu sistem pertahanan negara musuh.
Ia dilaporkan boleh memerangi pesawat tentera Amerika Syarikat (AS), EA18G.
Strategi ketenteraan
Tentera China turut mempamerkan pesawat pengangkut Y-20 yang boleh digunakan untuk pelbagai fungsi dan mengangkut banyak senjata dan peralatan untuk ke medan peperangan.
Sebagai contohnya, ia boleh digunakan sebagai sebuah pesawat pengisi minyak.
Sebuah pesawat KJ-500 yang dilengkapi dengan radar pengesan serangan contohnya, mengesan kedudukan kapal perang, jet-jet pejuang, peluru berpandu dan kenderaan turut dipamerkan pada pameran tersebut.
Pesawat itu dilaporkan dibangunkan oleh China selepas ia gagal membeli pesawat buatan Rusia dalam bilangan yang secukupnya.
Dalam pada itu, sejumlah dron yang pelbagai saiz turut dipamerkan dan penggunaannya mampu membantu strategi ketenteraan China kerana ia boleh membawa misi-misi berbahaya dan kosnya pula adalah murah.
Antaranya ialah Dron WZ-7 dan merupakan sebagai pesawat tanpa juruterbang turut dipamerkan kepada umum dan ia mempunyai tugas-tugas pemantauan di sempadan negara dan di perairan maritim.
Tentera AS dikatakan mempunyai dron yang sama dikenali sebagai RQ-4 atau Global Hawk.
Pakar-pakar menyatakan ia yang mampu terbang rendah dan mengesan sasaran yang sedang bergerak mungkin digunakan di Laut China Selatan dan di sempadan India serta Afghanistan.
Media China melaporkan dron itu mampu terbang selaju 700 kilometer sejam pada altitud 20,000 meter selama 10 jam tetapi Global Hawk milik tentera AS pula boleh bergerak sejauh 20,000 kilometer pada ketinggian 20,000 meter dan terbang selama 30 jam.
Dron pemantauan hipersonik WZ-8 yang dilengkapi dengan enjin roket turut dipamerkan dan mampu terbang pada kelajuan tinggi dan altitud tinggi.
Media China melaporkan ia boleh terbang pada ketinggian 50,000 meter dan boleh dilancarkan dari udara.
Buat pertama kalinya, pertunjukan udara itu mempamerkan bot-bot tempur, sebuah kapal tentera laut pelbagai guna yang mana China menganggapnya sebagai kapal perlindungan paling kecil di dunia.
Kapal perlindungan terkecil dunia itu sepanjang 15 meter dan selebar 4.8 meter serta mampu melepaskan tembakan topedo ke arah sebuah kapal selam musuh yang berada di bawah laut dan dilengkapi dengan pelancar misil yang menegak. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca