"TIDAK ada fenomena seni hiburan di negara ini yang lebih fenomena daripada Akademi Fantasia”.
Begitu kata kawan saya. Dia orang seni.
Kadang-kadang pening juga hendak faham cakap insan-insan bergelar seniman.
Tempat yang ayat sepatutnya pendek dipanjangkan, yang seharusnya panjang pula dipendekkan.
Tetapi itulah unik dan lebihnya mereka. Salute ikhlas daripada saya untuk semua anak seni.
Saya bersetuju dengan komen kawan saya itu. Memang negara kita beberapa kali dilanda fenomena seni.
Filem-filem Melayu era Jalan Ampas pernah mencetuskan fenomena. Pop Yeh Yeh juga pernah menjadi fenomena. Filem-filem Hindi seperti Sangam dan Bobby pun apa kurangnya.
Kemudian muncul era telenovela Sepanyol dan selepas itu, drama bersiri Korea Winter Sonata.
Luar biasa fenomena kedua-duanya sehinggakan ada mak cik dan ‘kak cik’ yang sanggup menolak kalau diajak pergi shopping ketika waktu tayangannya. Walhal dalam keadaan biasa, asal sebut kata shopping, hujan dan ribut petir pun mereka sanggup redah.
Tetapi seperti kata kawan saya sang seniman tadi, semua fenomena itu tidak dapat mengatasi Akademi Fantasia. Sejak kemunculan musim pertamanya pada Jun 2003, ia terus menyebabkan seluruh negara dilanda ‘demam’.
Bukan hanya peminat muzik dan seni suara, malah hampir semua orang, lelaki perempuan, tua dan muda, waima peminat lumba kuda, peminat burung tekukur, peminat roti puri dan sebagainya, menghidap ‘demam’ tersebut untuk suatu tempoh.
Ada kawan saya, orang politik, yang sentiasa kontrol ‘cun’ konon-kononnya tidak berminat dengan rancangan-rancangan hiburan tempatan sebab tidak ada ‘kelas’, sentiasa menghilang setiap malam konsert mingguan Akademi Fantasia dipancarkan.
Pemandunya kata, waktu itu dia mesti berkurung di rumah, menghadap televisyen.
Apabila ditanya dia tidak mengaku, tetapi yang peliknya semua peserta akademi itu dia tahu nama. Bukan setakat musim pertama, malah hingga musim ketujuh atau kelapan.
Apa hebatnya Akademi Fantasia? Saya dan tentunya ramai lagi berpendapat, ia kerana rancangan itu merupakan program realiti TV yang pertama di negara ini. Bukan di Malaysia, di mana-mana negara pun, program yang diolah formatnya daripada La Academia, sebuah rancangan TV di Mexico itu, sememangnya mendapat sambutan hangat.
Selepas Malaysia, yang menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang memiliki versi sendiri untuk program itu, Indonesia, Thailand, Singapura dan banyak lagi negara lain berebut-rebut mengadakan program tersebut.
Sebenarnya Akademi Fantasia bukanlah program realiti TV pertama di dunia. Sejak tahun 1940-an telah ada usaha mengangkat program-program realiti ke kaca televisyen.
Telah ada Queen for a Day, Cash and Carry, Candid Camera, Original Amateur Hour, Talent Scouts dan banyak lagi.
Konsep
Di Malaysia pun sebelumnya pernah muncul rancangan-rancangan tempatan yang berasaskan konsep separa realiti seperti Juara Kugiran, Bakat TV, Bintang RTM, Sinaran Pasport Kegemilangan, Roda Impian, Who Want to Be a Millionaire dan beberapa yang lain.
Tetapi pendekatan program-program itu masih konvensional. Ia berbeza dengan Akademi Fantasia yang membawa pendekatan baharu secara menyeluruh, termasuk dalam konteks pembabitan penonton.
Pada era kemunculan Akademi Fantasia telah ada program-program realiti import yang popular disiarkan di saluran-saluran televisyen tempatan.
Dek kerana Akademi Fantasia itu dihasilkan di Malaysia, dengan naluri orang Malaysia, dengan pendekatan cara Malaysia, maka ia dengan mudah mendapat tempat di hati segenap lapisan masyarakat Malaysia.
Dalam Akademi Fantasia itu juga ada fenomenanya sendiri apabila pada musim ketiga muncul seorang anak muda bernama Asmawi Ani atau Mawi, dari Kulai, Johor.
Dia yang pada mulanya tersingkir daripada konsert prelude tetapi kemudian diserap balik di akhir konsert minggu pertama berdasarkan pemilihan juri terhadap lapan pelajar yang tersingkir itu mencetuskan fenomena luar biasa kerana menjadi ‘kegilaan’ ramai.
Adik saya sendiri membelanjakan sejumlah kredit telefon kerana mengundi anak muda itu. Pernah saya tertanya-tanya kepada diri sendiri kenapa Mawi diminati?
Suaranya tidaklah luar biasa sangat dan penampilan pun ‘biasa-biasa’.
Satu jawapan yang saya temui kemudiannya ialah dia kelihatan ‘lurus dan ikhlas’. Bagi saya, itulah kelebihannya.
Kelebihan itulah yang melonjakkan namanya sehingga bukan sahaja muncul juara, tetapi menjadi ikon kepada anak muda, sekali gus meletakkan namanya sebaris dengan penyanyi-penyanyi terkenal tanah air.
Kejayaan Akademi Fantasia yang bertahan selama 13 musim itu menjadi pemangkin kepada kemunculan lebih banyak program realiti TV.
Ia membuka peluang kepada kita menyaksikan Malaysian Idol, Audition, Mentor, Gangstarz, Idola Kecil, Anak Wayang, Pilih Kasih, Sehati Berdansa, Mari Menari, Explorace, Malaysia’s Top Host, On Air, Jangan Lupa Lirik dan mungkin ada lagi yang saya tidak tahu atau tidak ingat.
Peranan
Bukan hanya program hiburan, malah skop program realiti TV diperluaskan. Misalnya yang bersifat kekeluargaan seperti Familia Ceria dan Mencari Cinta serta yang berteraskan keagamaan seperti Imam Muda, Pencetus Umah, Da’I Pendakwah Nusantara, Ustazah Pilihan dan Solehah.
Usaha mencungkil bakat sukan menerusi rancangan realiti juga pernah dibuat melalui program My Team yang popular satu ketika dahulu.
Walau bagaimanapun, dalam tahun-tahun kebelakangan ini minat khalayak terhadap program realiti TV jauh berkurangan.
Banyak faktor yang menyebabkan perkara itu berlaku dan yang paling utama tentulah perubahan gaya hidup.
Televisyen tidak lagi menjadi sumber utama untuk kita mendapatkan hiburan dan maklumat secara visual. Peranannya diambil alih pelbagai jenis gajet.
Program-programnya pula bersaing dengan ribuan jenis program dan platform yang boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Dahulu hendak menyaksikan realiti kehidupan artis, kenamaan atau geng-geng kayangan merupakan sesuatu yang sangat sukar.
Sebab itu, apabila ada wawancara eksklusif di media massa, dan ada pula program realiti, maka ia pantas mendapat sambutan.
Sekarang ini semua itu sudah hilang nilai eksklusifnya. Usahkan hendak tengok artis itu makan apa hari ini, nak tahu warna pakaian dalamnya pun boleh.
Kalau dia tak dedahkan sendiri, ada orang lain yang jadi tukang cerita.
Bukan hanya golongan ternama dan terkenal sahaja, kita juga berpeluang mengetahui rahsia kehidupan kebanyakan orang di sekeliling kita.
Sama seperti tadi, kalau dia tak ceritakan sendiri, orang lain akan tolong ceritakan. Yang penting kita ada gajet untuk mengakses maklumat mengenainya.
Itulah realiti kehidupan kita sekarang. Setiap orang daripada kita kian sehari kian menjadi ‘harta awam’. Oleh itu, berhati-hatilah. Jaga diri, jaga tingkah laku, jangan sampai kita dianggap macam tandas awam. #dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah setiausaha politik yang gemar menulis nostalgia
Klik di sini untuk terus membaca