SHAH ALAM - Kebenaran rentas negeri bukan setakat memberi manfaat kepada sektor tertentu tetapi apa yang lebih penting dapat memberi limpahan aktiviti ekonomi kepada penduduk dan kawasan setempat. Menurut Ketua Penganalisis Ekonomi Bank... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kebenaran rentas negeri bukan setakat memberi manfaat kepada sektor tertentu tetapi apa yang lebih penting dapat memberi limpahan aktiviti ekonomi kepada penduduk dan kawasan setempat.

Menurut Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perkembangan positif berkenaan bakal merancakkan sektor ekonomi selepas rakyat lebih bebas untuk bergerak.

"Pergerakan fizikal ini bakal meningkatkan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan yang sebelum ini tersekat disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sehubungan itu akan berlakulah lonjakan permintaan dari segi perkhidmatan serta logistik,” katanya.

Jelasnya, kalau tahun lalu, jumlah perbelanjaan pelancongan domestik merudum ke paras RM40.4 bilion berbanding RM103.2 bilion pada tahun 2019. Namun ianya mungkin dapat ditingkatkan pada masa akan datang berikutan kelonggaran yang diberikan.

Meskipun begitu, semua pihak haruslah berhati-hati dalam menangani risiko jangkitan dengan mengikuti peraturan operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Sektor berkaitan logistik termasuk penerbangan, pelancongan, pembinaan dan perkhidmatan bakal mendapat manfaat besar daripada pembukaan semula sempadan antara negeri.

"Saya menjangkakan permintaan terhadap pakej pelancongan dan pengurusan acara dijangka meningkat berikutan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) kepada peringkat yang lebih baik.

"Dalam pada itu, secara dasarnya pasaran modal tempatan akan meraih momentum positif setelah sekatan rentas negeri dimansuhkan, disokong jangkaan aktiviti ekonomi yang lebih aktif.

"Perkembangan positif itu akan memberi limpahan kepada ekonomi negara kerana sektor pelancongan mempunyai kesan rantaian yang tinggi terhadap ekonomi domestik,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca