SHAH ALAM - Kira-kira 500,000 pengundi di Melaka hampir pasti akan membuang undi susulan pilihan raya negeri itu dijangka diadakan tidak lama lagi. Sebelum ini status PRN Melaka menjadi tanda tanya kerana terdapat pendapat bahawa tindakan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kira-kira 500,000 pengundi di Melaka hampir pasti akan membuang undi susulan pilihan raya negeri itu dijangka diadakan tidak lama lagi.

Sebelum ini status PRN Melaka menjadi tanda tanya kerana terdapat pendapat bahawa tindakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka tidak wajar.

Ini kerana bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali tidak mempunyai hak untuk menasihati Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam untuk membubarkan DUN Melaka kerana terlebih dahulu telah hilang kepercayaan majoriti ADUN.

Malah, ramai yang membantah berikutan kebimbangan kes Covid-19 akan meningkat seperti mana yang pernah berlaku di Sabah.

Bagaimanapun, selepas lebih lapan hari status PRN Melaka menjadi tanda tanya, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak hari ini mengesahkan yang satu mesyuarat Khas SPR akan diadakan Isnin depan.

Ikmalrudin berkata, mesyuarat tersebut dijangka memutuskan mengenai tarikh-tarikh penting berkaitan PRN Melaka.

"Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan oleh Datuk Abdul Ghani Salleh, Pengerusi SPR yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRU DUN Melaka seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut," katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membuat keputusan itu.

Ia selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengutuskan surat pembubaran kepada Tun Mohd Ali susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Empat bekas ADUN itu adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Klik di sini untuk terus membaca