SHAH ALAM - Seorang veteran UMNO menjangkakan parti itu bakal kehilangan lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka kali ini sekiranya keputusan tiada lagi kerjasama Muafakat Nasional (MN)... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang veteran UMNO menjangkakan parti itu bakal kehilangan lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka kali ini sekiranya keputusan tiada lagi kerjasama Muafakat Nasional (MN) dimuktamadkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, pada Khamis.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Muhammad Khir Toyo berkata, kebimbangan itu berlandaskan asas kejatuhan kerajaan Melaka diterajui UMNO sendiri sebelum ini adalah berpunca daripada kes perselisihan antara bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Jelas beliau, situasi terkini UMNO di Melaka menyebabkan parti itu berada dalam keadaan sangat sukar untuk menang pada PRN Melaka, lebih-lebih isu defisit kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri dan UMNO Melaka oleh rakyat negeri itu sudah semakin memuncak.

"Sebaliknya, sekiranya kerjasama MN bersama Pas tidak diteruskan, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Pas sendiri dijangka akan lebih beruntung dan memenangi lebih banyak kerusi DUN majoriti pengundi Melayu berbanding UMNO.

"Hal ini memandangkan kerjasama dua parti Melayu itu menerusi koalisi Perikatan Nasional (PN) akan memastikan calon Bersatu dibantu jentera pilihan raya Pas, manakala calon Pas pula akan dibantu pemimpin PN dari segi jentera kerajaan dan kewangan.

"Ditambah dengan rakyat Melaka melihat tindak-tanduk pemimpin UMNO sendiri sebagai punca kejatuhan kerajaan negeri sehingga tercetusnya PRN, transisi peralihan sokongan pengundi Melayu daripada UMNO kepada PN berkemungkinan besar bakal diterjemahkan pada PRN Melaka kelak," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu mahupun Pas pada PRN Melaka yang akan datang.

Pendirian itu dikemukakan Ahmad Zahid dalam sebuah program bual bicara pada malam Rabu bersama pengacara Rafi Awang Kechik susulan moderator itu menanyakan sama ada MN bakal bertanding pada pilihan raya negeri itu kelak.

Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, beliau tidak nampak ada 'cahaya terang' untuk kerjasama MN bersama Pas direalisasikan sebagaimana pilihan raya kecil (PRK) terdahulu susulan MN itu tidak pernah didaftarkan.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menegaskan UMNO akan bertanding dengan panji-panji Barisan Nasional (BN) secara solo.

UMNO dan PAS memeterai piagam bersama untuk membentuk MN semasa kedua-dua parti itu menjadi pembangkang.

Bagaimanapun selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan tahun lalu, Pas menyertai PN yang diketuai Bersatu tanpa berbincang terlebih dulu dengan UMNO.

Pada 4 Oktober lalu, tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) blok kerajaan diketuai Idris menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menyebabkan kerajaan Melaka jatuh dengan DUN negeri itu kemudiannya terbubar.

DAP KEKALKAN SEMUA KERUSI PRU14

Sebelum terbubarnya DUN Melaka, komposisi kerusi DUN bagi blok kerajaan diketuai bersama antara UMNO dan Bersatu adalah 13 kerusi, manakala blok pembangkang diterajui DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah sebanyak 11 kerusi.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Khir turut menjangkakan DAP akan mengekalkan kesemua kerusi DUN dimenangi parti itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kerusi Amanah dan PKR bakal menjadi penentu pembentukan kerajaan baharu pada PRN Melaka kerana kedua-dua parti daripada koalisi PH dijangka berdepan kesukaran bagi mempertahankannya.

"Berbeza dengan isu dihadapi parti-parti Melayu dalam blok kerajaan, parti-parti Melayu dalam blok pembangkang juga berdepan cabaran besar bagi mempertahankan kerusi dimenangi pada PRU14 kerana mereka bakal menerima kesan daripada sentimen penolakan pengundi Melayu terhadap DAP di negeri itu.

"Dengan parti-parti pembangkang lain seperti Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang) dan Ikatan Demokratik Muda (Muda) dijangka tidak akan meletakkan calon bertanding PRN Melaka, secara tersiratnya kelebihan kini berpihak di tangan PN dan Bersatu sekiranya UMNO bertegas mahu bergerak secara solo," katanya.

DILEMA PERDANA MENTERI

Dalam pada itu, penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain turut membayangkan dilema terbesar bakal dihadapi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk turun membantu calon UMNO pada kempen PRN Melaka sekiranya piilihan raya negeri itu diputuskan dalam masa terdekat.

Tambahnya, sebagai seorang Perdana Menteri bagi kerajaan campuran UMNO-PN, timbul persoalan sama ada beliau sesuai untuk turun membantu kempen calon-calon UMNO pada PRN Melaka, sedangkan musuh-musuh parti itu pada PRN itu kelak termasuklah PN sendiri.

"Perkara ini juga menarik untuk kita perhatikan kerana saya berpandangan pada saat ini, hanya Ismail Sabri yang mampu memainkan peranan penting membantu UMNO menang lebih banyak kerusi DUN Melaka.

"Dengan PN ketika ini masih merupakan sebahagian parti membentuk kerajaan dipimpin Ismail Sabri, hal ini merupakan dilema terbesar yang bakal dihadapi Ismail Sabri sebagai seorang Perdana Menteri untuk membantu kemenangan UMNO kerana beliau tersepit dalam situasi 'keluarga 69'," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca