SEBUAH lagi kerajaan negeri runtuh akibat perpecahan dalam parti yang memerintah. Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka menarik sokongan mereka terhadap Ketua Menteri menyebabkan kerajaan hilang majoriti untuk terus memerintah.... Klik di sini untuk terus membaca

SEBUAH lagi kerajaan negeri runtuh akibat perpecahan dalam parti yang memerintah. Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka menarik sokongan mereka terhadap Ketua Menteri menyebabkan kerajaan hilang majoriti untuk terus memerintah.

Lanjutan daripada itu, Yang Dipertua Negeri telah memperkenankan permohonan Ketua Menteri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 5 Oktober lalu.

Dengan pembubaran DUN tersebut, kerajaan negeri juga akan terbubar. Ketua Menteri dan ahli-ahli Exco akan hilang jawatan. Namun, pentadbiran negeri harus diteruskan untuk menjamin kesejahteraan rakyat. Bagi memastikan kesinambungan pentadbiran, kerajaan sementara harus diwujudkan.

Amalan di Malaysia adalah Ketua Menteri dan beberapa atau keseluruhan ahli Exco akan terus menjalankan tugas pentadbiran di atas kapasiti sebagai kerajaan sementara. Undang-undang di Malaysia, sama ada di peringkat negeri atau persekutuan tidak memperuntukkan secara jelas berkaitan dengan kuasa serta perjalanan kerajaan sementara walaupun Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan memberi ruang agar kerajaan sementara ditubuhkan apabila Dewan Rakyat dibubarkan.

Fungsi kerajaan sementara adalah tertakluk kepada beberapa amalan yang harus dipatuhi kabinet sementara, antaranya kerajaan berkenaan tidak boleh mewujudkan apa-apa undang-undang, peraturan atau polisi baharu dalam waktu sementara ini dan tidak boleh membuat apa-apa komitmen atau perjanjian yang boleh mengikat kerajaan akan datang.

SISTEM KEWANGAN

Urusan kewangan kerajaan hanya sekadar untuk tujuan pentadbiran dan tidak akan membebankan sistem kewangan bagi kerajaan yang akan datang. Namun sekiranya terdapat keperluan mendesak, kerajaan sementara dibolehkan berbelanja untuk kepentingan rakyat, sebagaimana yang dinyatakan Ketua Setiausaha Negara pada 17 Ogos lalu.

Kerajaan sementara bukanlah perkara asing di Malaysia. Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama pernah melantik Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri pada 1959 bagi membolehkan Tunku Abdul Rahman mengetuai persiapan untuk pilihan raya umum dalam tahun yang sama.

Pakistan adalah antara negara yang memberi penekanan khusus ke atas integriti kerajaan sementara. Perlembagaan negara itu memperuntukkan bahawa dewan perundangan tidak akan dibubarkan selagi kerajaan sementara tidak dibentuk. Perlembagaan Pakistan juga memperuntukkan bahawa Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang harus bersetuju dengan keahlian kerajaan sementara.

Di United Kingdom, walaupun tidak terdapat undang-undang secara khusus, kerajaan sementara adalah tertakluk kepada Garis Panduan Kabinet (Cabinet Manual) yang dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak. Australia juga mempunyai Konvensyen Bertulis (Written Convention) yang menjadi pegangan semua pihak dalam pembentukan dan perjalanan kerajaan sementara.

Ketiadaan undang-undang atau polisi yang jelas secara bertulis akan mewujudkan keadaan yang samar selepas dewan perundangan dibubarkan dan kerajaan baharu belum ditubuhkan.

Kesamaran itu mendedahkan pentadbiran kerajaan kepada kemungkinan salah guna kuasa dan lain-lain isu yang melibatkan integriti dalam pengurusan negeri. Ia lebih ketara apabila kerajaan tumbang kerana sokongan ahli dewan terhadap Ketua Menteri ditarik atas alasan hilang kepercayaan.

Sekiranya Ketua Menteri yang sama terus menjalankan tugas tanpa mekanisme semak dan imbang oleh ahli-ahli DUN yang lain, pelbagai persepsi negatif akan timbul dan boleh menyebabkan kegusaran dalam kalangan masyarakat keseluruhannya.

Walaupun undang-undang menetapkan bahawa pilihan raya negeri harus diadakan dalam masa 60 hari, namun ancaman Covid-19 masih menghalang pilihan raya negeri untuk diadakan dalam masa terdekat.

Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan darurat di keseluruhan negeri Sarawak, dua kawasan Parlimen dan dua kawasan DUN bagi menangguhkan pilihan raya negeri serta pilihan raya kecil bagi kawasan-kawasan tersebut ke suatu masa yang lebih selamat.

Mungkin perkara sama akan dilakukan untuk negeri Melaka. Sekiranya itu berlaku, kerajaan sementara bagi Melaka akan berlanjutan. Pergelutan politik akan menjadi lebih agresif dan boleh menimbulkan isu keselamatan awam.

Kawalan, peraturan dan undang-undang berkaitan kerajaan sementara amat penting bagi memastikan integriti serta amalan demokrasi yang utuh dalam pentadbiran politik di Malaysia. Sebab itulah Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) telah mencadangkan agar undang-undang khusus berkaitan kerajaan sementara diwujudkan.

* Amerul Muner Mohammad ialah mantan Ketua Pegawai Eksekutif ERC

Klik di sini untuk terus membaca