[MUKADIMAH] Pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia sejak awal tahun lalu telah memberikan kesan yang begitu besar kepada ekonomi negara. Namun, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz optimis... Klik di sini untuk terus membaca

[MUKADIMAH] Pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia sejak awal tahun lalu telah memberikan kesan yang begitu besar kepada ekonomi negara.

Namun, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz optimis ekonomi Malaysia akan kembali bercahaya pada tahun hadapan.

Bercakap pada program ‘Bersama Tengku Zafrul’ yang menampilkan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar sebagai pengacara pada Rabu, Tengku Zafrul berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada pembukaan ekonomi secara berfasa termasuklah yang terbaharu, kebenaran rentas negeri selepas negara mencapai sasaran 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksin.

Berikut ialah inti pati wawancara khas tersebut.

JOHAN: Bagaimana kedudukan kewangan negara masa kini?

TENGKU ZAFRUL: Defisit kita diunjurkan akan naik. Sebelum ini unjuran kita semasa Belanjawan 2021 dibentangkan ada lebih kurang 5.4 peratus disebabkan oleh beberapa perkara terutama dari segi bantuan dan inisiatif yang diumumkan kerajaan. Pada tahun ini sahaja sudah empat bantuan tetapi unjuran baharu kita adalah antara 6.5 peratus hingga 7 peratus.

Dewan Rakyat pada 12 Oktober meluluskan RUU Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pindaan) 2021 dan RUU Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN). Adakah Datuk Seri rasa kita ada wang yang secukupnya untuk menangani masalah Covid-19 dan ekonomi pada masa ini?

Ya, kita ada. Itulah sebabnya di Parlimen kita telah membentangkan dua RUU iaitu pertama KWAN dan yang keduanya berkaitan Covid-19. Bagi peruntukan wang Covid-19 ini kita menaikkan had siling daripada RM65 bilion ke RM110 bilion. Jadi kenaikan ini akan dapat menolong rakyat dan juga kelangsungan perniagaan dalam tempoh tahun ini dan tahun 2022.

Datuk Seri melihat ada cahaya di hujung terowong dengan segala cabaran ekonomi akibat daripada pandemik ini?

Saya optimistik melihat baru-baru ini kita telah mengumumkan pembukaan rentas negeri di mana ia sedikit sebanyak akan menolong sektor pelancongan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bercakap ketika rakaman program ‘Bersama Tengku Zafrul’ yang dia adakan di bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Jalan Duta pada Selasa. Program ini menampilkan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar sebagai pengacara. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.

Ekonomi kita pun mula dibuka secara berfasa dengan selamat, kadar vaksinasi juga agak tinggi. Kita sudah mula menjalankan vaksinasi kepada golongan remaja. Jadi saya optimistik pada tahun 2022 negara akan kembali semula. Ia akan menjadi tahun pemulihan untuk Malaysia, insya-ALLAH.

Apakah penanda aras dalam konteks pengurusan ekonomi?

Kalau ditanya pakar ekonomi, mereka lebih fokus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Tapi bila kita lihat dari segi pandemik, bagi saya yang penting ialah kadar pengangguran. KDNK mungkin bertambah baik tahun ini. Tetapi dari segi kadar pengangguran dan tahap pendapatan rakyat, itulah salah satu fokus saya di Kementerian Kewangan (MOF) iaitu mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan tahap pendapatan.

Salah satu impak langsung pandemik Covid-19 ialah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas teruk, rakyat hilang pekerjaan. Apakah pandangan Datuk Seri untuk memulihkan semula usaha itu?

Kita kena buat perancangan yang betul kerana sebelum ekonomi dibuka, kita dapat lihat kadar pengangguran tinggi terutamanya pada tahun lepas, Mei 2020 mencecah kadar pengangguran 5.3 peratus. Alhamdulillah pada Ogos 2021 ini, berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah turun kepada 4.6 peratus, masih lagi tinggi kerana kadar pengangguran nasional kita adalah lebih kurang 3 hingga 3.5 peratus.

PKS dari segi memberi peluang pekerjaan, lebih kurang 70 peratus penduduk Malaysia peluang pekerjaan datangnya daripada PKS. Jadi penting untuk kita membantu terutamanya syarikat-syarikat PKS. Setakat ini, peruntukan yang diberikan seperti program subsidi upah adalah lebih kurang RM20 bilion di mana kerajaan membantu membayar gaji rakyat Malaysia. Setakat ini lebih kurang 330,000 syarikat telah dapat manfaat daripada program tersebut.

Yang keduanya, dari segi pertolongan untuk PKS mikro. Mereka juga ramai yang terjejas apabila ekonomi ditutup. Semasa beberapa tahap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kerajaan telah memperuntukkan lebih kurang RM6.8 bilion untuk sejuta PKS mikro. Tapi apabila dibuka, masalahnya lain pula. Mereka memerlukan modal kerja dan pinjaman untuk memulakan semula. Jadi kerajaan perlu memastikan bagaimana kita dapat membantu sektor yang terkesan ini.

Ada pandangan menyatakan bahawa kadangkala kita tidak menumpukan kepada stimulus ekonomi yang sebenar, maka itu pergantungan terlalu banyak kepada bantuan kewangan kerajaan dan kadangkala ada kesan negatif. Apa komen Datuk Seri?

Kita sekarang berada dalam situasi yang tidak pernah dilalui di mana kita ada dua krisis serentak iaitu ekonomi dan kesihatan. Dari segi struktural isu ini, kalau kita bagi bantuan ini, kita harap tiga atau empat tahun akan datang mereka tidak perlu lagi bantuan kerana mereka akan boleh bangun dan berdikari serta dapat cari pekerjaan semula. Tetapi semasa pandemik ini, kerajaan mesti beri bantuan secara tunai kerana kita perlukan campur tangan kerajaan.

Disebabkan itu, bantuan tunai amat diperlukan kerana mereka tidak dapat bekerja dan kerajaan sendiri buat keputusan untuk menutup ekonomi, jadi kita yang menutup peluang untuk mereka mencari mata pencarian. Tetapi untuk jangka masa panjang, kita perlu lihat semula bantuan yang diberikan mestilah berbentuk supaya mereka dapat keluar atau meningkatkan dari segi latihan dan kemahiran. Pada masa ini kita buat serentak.

Salah satu daripada apa yang sangat diharap oleh rakyat sewaktu pandemik ialah moratorium bank, dan ini tentunya memberi kesan besar kepada bank sendiri. Berapa lama keadaan ini akan berterusan? Apakah impaknya kepada sistem perbankan dan ekonomi?

Saya telah berunding dengan Bank Negara untuk berbincang dengan bank-bank tempatan kerana mereka yang terkesan. Di sini kita perlu ada keseimbangan. Buat masa ini, kita perlu fokus kepada mereka di mana awal dulu kita buat moratorium secara tidak bersasar atau secara pukal. Tetapi sekarang moratorium akan diberikan kepada golongan yang lebih terkesan seperti PKS, namun bagi golongan B40 masih lagi diberi secara pukal.

Dalam jangka masa panjang apabila ekonomi sudah pulih, saya rasa bank-bank tempatan perlu kembali kepada normal. Jika tidak kerugian akan menjadi agak besar kerana kita kena ingat bahawa bank yang menolong golongan terutamanya B40 ini seperti Bank Islam, Bank Rakyat, Bank Affin dan sebagainya.

Siapakah pemilik Bank Islam? Tabung Haji siapakah pencarumnya? 100,000 orang ahli koperasi dalam Bank Rakyat, mereka yang rugi. 80 peratus daripada 100,000 orang tersebut adalah golongan B40. Adakah itu adil untuk mereka? Kadang-kadang kita lupa siapa sebenarnya pemilik bank ini? Rakyat itu sendiri iaitu orang Melayu, bumiputera.

Sebahagian besar pencarum KWSP memilih jalan mudah mengeluarkan wang. Apakah pendekatan populis yang terpaksa dilakukan kerajaan itu dapat menyelamatkan mereka yang dalam kesusahan pada waktu itu tetapi bagaimana dengan kesan jangka panjang?

Ia adalah keputusan yang sukar kerana banyak tekanan supaya membenarkan ia dilaksanakan. Kita buat sesi libat urus dengan mereka dan kepada golongan yang memerlukan. Ini kerana KWSP adalah simpanan untuk masa hadapan.

Jadi fokusnya sekarang ramai rakyat yang memerlukan dana itu. Kerajaan buat pertama kalinya membenarkan mereka mengeluarkan wang simpanan itu. Jumlah keluarannya adalah sebanyak RM110 bilion, anggaran 11 peratus daripada keseluruhannya. Tapi mereka yang keluarkan wang tersebut adalah mereka yang tidak mempunyai simpanan yang banyak untuk masa depan. Jadi, kita bersama-sama KWSP sedang berbincang bagaimana hendak mempercepatkan simpanan itu naik dengan cepat semula supaya masa depan rakyat tidak terjejas apabila bersara nanti.

Adakah Datuk Seri merasakan rakyat menyambut baik cadangan yang dibentangkan dalam RMK12?

Pada pandangan peribadi, saya berpeluang untuk berbincang dengan rakan-rakan di sektor PKS dan sebagainya. Ini adalah perancangan jangka panjang. Saya dengar pendapat mereka iaitu kita perlu menyentuh tentang masalah utama.

Antaranya adalah mengenai pelaksanaan kerana itu adalah penting. Dari segi perancangan sudah cantik, semua isu yang penting ada dalam RMK12. Mereka cuma mahu tekankan kepada kerajaan supaya pelaksanaan itu dapat dibuat dengan betul. Jadi itulah fokus kami.

Sebenarnya Perdana Menteri telah berbincang supaya pemantauan itu lebih rapi dan beliau sendiri yang akan membuat pemantauan. Saya percaya beliau mempunyai perancangan untuk membuat pemantauan yang lebih sistematik dan menyeluruh.

Apakah perbezaan antara RMK12 dengan sebelum ini?

RMK12 lebih menyeluruh kerana ia memasukkan isu-isu keterangkuman, kelestarian dan juga mengenai Revolusi Perindustrian Keempat (4IR). Tapi yang paling penting bagi saya, ialah konsep Keluarga Malaysia di mana kita tidak mahu sesiapa pun ketinggalan dalam mencapai pendapatan apabila tibanya tahun 2025. Kita perlu pastikan bahawa rakyat berjaya sampai ke tahap tersebut pada tahun 2025. Kita kena pastikan bahawa rakyat kita berjaya sampai ke tahap itu.

Hujah tentang player field ini kita dah dengar 50 tahun dulu sewaktu Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan. Tetapi mengapa kita tidak mencapai tahap itu setelah kita wujudkan banyak kementerian, jabatan, agensi dan sebagainya tapi sampai sekarang kita masih bercakap tentang hal yang sama?

Yang kita cakap tentang hal yang sama terutamanya adalah dari segi ekuiti. Salam RMK12 kita ada mengumumkan 17 peratus sahaja, kita tidak dapat capai sasaran 30 peratus (ekuiti bumiputera) tapi kita kena lihat dari segi holistik, ini bukan sahaja dari segi pemegang ekuiti tetapi dari segi profesional. Semasa ia dibuat ada berapa ramai doktor, jurutera Melayu? Namun, pengukuran tidak hanya pada ekuiti, satu lagi ialah kita lihat tahap pendapatan bumiputera terutamanya kaum Melayu sebelum ini dan sekarang. Malah isunya sekarang jurang antara kaum Melayu dan Cina dari segi pendapatan sudah berkurangan. Tetapi isunya ialah jurang dalam kaum Melayu itu sendiri.

Jadi itu adalah isu-isu yang kita kena hadapi. Memang kita ada penubuhan pemegang saham Permodalan Nasional Berhad (PNB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan sebagainya, ini semua menunjukkan kemajuan.

Jadi saya percaya masih ada ruang untuk penambahbaikan. Kita hasilkan graduan kaum Melayu sangat banyak, tapi berapa yang jadi pakar? Kita kena fokus semua kerana ini akan menaikkan tahap pendapatan mereka juga.

Bagaimana usaha untuk melahirkan generasi ahli perniagaan Melayu atau bumiputera yang betul-betul tulen?

Itu satu soalan yang agak sukar untuk saya jawab kerana banyak syarikat bumiputera yang telah berjaya tetapi apabila kena krisis 1997, dan juga pandemik ini ada yang tidak dapat bangun semula.

Jadi di sini yang penting ialah keseluruhan sistem sokongan. Itulah yang perlu kita pelajari. Daripada apa yang saya lihat, apabila ada syarikat-syarikat Melayu yang berjaya dan mula menyerlah, kita mesti beri sokongan kepada keseluruhan ekosistem kerana kejayaan syarikat bukan bumiputera adalah kerana mereka mempunyai ekosistem yang bagus dan lebih ke arah global.

Kenapa kita tidak boleh membina ekosistem yang sesuai untuk perniagaan Melayu?

Ada banyak sebab. Yang pertama, mereka mengatakan kita terlalu bergantung pada bantuan. Tetapi bagi saya, bantuan ini diperlukan sebagai permulaan atau start up, cuma kita perlu keluar dari situ. Bermakna, kerajaan bantu mereka untuk bermula, tetapi mereka perlu berdiri sendiri. Keadaan ini ibarat payung, kita payungkan mereka tetapi kita nak beri pertolongan supaya satu hati nanti, mereka akan keluar daripada payung itu. Tetapi, ada syarikat yang bila kita payung, mereka terus duduk bawah payung. Itu masalah pemikiran (mind set) sendiri.

Apa pandangan Datuk Seri dalam soal institusi wakaf?

Dalam RMK12 pun ada sebut wakaf. Ini satu rancangan yang bagus tapi ada isu sensitif di sini. Isu sensitifnya wakaf ini di bawah negert. Di bawah kuasa negeri bukan kuasa Persekutuan dan wakaf ini dari segi agama di bawah kuasa raja-raja, jadi kita kena buat libat urus dengan raja-raja dan juga kerajaan negeri mengenai wakaf. Itu satu latar belakang yang penting yang kita perlu faham. Tapi potensinya ada.

Ada sebarang pelan induk untuk melihat wakaf secara keseluruhan?

Ada. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ada membuat kajian, jadi kita tunggulah. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed pun ada menyebut dalam RMK12. Kita di Kementerian Kewangan menunggu rancangan itu dan kita akan memberi input apabila dipanggil.

Tapi saya sebagai seorang yang pernah terlibat dengan wakaf semasa saya di (institusi) bank dahulu, ini satu idea yang bagus. Cuma semasa kita berbincang dalam Belanjawan 2021 sebelum ini mereka telah memberi nasihat kepada saya (supaya) tunggu dahulu menteri-menteri berkenaan (selesai buat kajian) kerana ia melibatkan kuasa negeri dan kerana ini agama, wakaf ini isu yang sensitif. Kajian menyeluruh perlu dibuat kerana wakaf adalah sesuatu yang perlu kita pertimbang.

Ada cadangan untuk mewujudkan sebuah Bank Wakaf sebagai contoh. Apa pandangan Datuk Seri?

Saya menerima semua cadangan ini. Sebenarnya ada cadangan saya sudah dengar dan ada sudah diterima Bank Negara. Saya menunggu kajian mengenai Bank Wakaf ini. Sebenarnya ada pelbagai cadangan untuk program wakaf. Jadi kita menerima dengan terbuka dan kalau kita boleh laksanakan insya-ALLAH.

Tengku Zafrul optimis ekonomi Malaysia akan kembali bercahaya pada tahun hadapan.

Tidak lama lagi Datuk Seri akan membentangkan Belanjawan 2022. Apa inti pati utama kalau boleh kongsikan?

Inilah kali pertama sebenarnya kita buat kenyataan prabelanjawan. Ini menunjukkan kita lebih telus. Inti patinya ada di dalam itu. Kita juga buat pertama kali membuat empat kertas konsultatif awam.

Pentingnya adalah kita hendak mendengar pendapat rakyat dan juga pihak yang berkepentingan, pemegang taruh. Fokus kita kepada tiga ‘R’ iaitu Recovery, Resilience dan Reform. Jadi secara ringkas fokusnya adalah kepada pemulihan ekonomi kerana kita percaya insya-ALLAH tahun 2022 ini ekonomi kita akan dibuka semula.

Pada masa inilah kerajaan bersama-sama pihak swasta, rakyat kena berganding bahu untuk membangunkan semula ekonomi negara kita. Itulah inti patinya. Yang pentingnya kita fokus kepada rakyat, perniagaan dan juga ekonomi.

Apakah Datuk Seri buat libat urus misalnya dengan persatuan-persatuan peniaga, badan gabungan peniaga dan sebagainya untuk Belanjawan 2022 ini?

Ya. Kita telah buat dan saya pun baru balik buat jelajah negeri. Kita pergi ke semua negeri dan saya pun baru pulang dari Pulau Pinang, minggu lepas Pahang. Kita, saya dan timbalan saya, kita berpecah untuk jumpa dengan semua ahli persatuan perniagaan semua kaum, semua parti politik. Tapi bukan semua kita ambil, mana yang bagus kita ambil tapi paling penting adalah kita mendengar, kita faham.

Banyak cadangan pun sama tapi masalah mereka kali ini belanjawan ini amat penting kerana inilah tahun kita untuk mempercepatkan lagi pemulihan kerana kita ingat tahun 2021 ini insya-ALLAH dapat (lakukan pemulihan). Walaupun dengan varian Delta dan sebagainya, alhamdulillah vaksin sudah dapat capai sasaran.

Apakah Datuk Seri rasa dalam konteks untuk kerajaan dari segi percukaian mahu tidak mahu kita kena fikirkan semula untuk menggerakkan seakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)?

Mahu tidak mahu kita kena fikirkan saya setuju. Sama ada kita kena buat atau tidak itu satu lagi persoalan dan kalau kita hendak buat bilakah masanya, itu satu lagi persoalan. Tapi mahu tidak mahu kita kena lihat semua jenis percukaian termasuklah GST dan kita juga kena lihat ketirisan kerana kadang-kadang cukai GST ini okey tapi kenapa begitu banyak ketirisan.

Dalam pandemik ini banyak syarikat yang membuat keuntungan besar, sebagai contoh syarikat yang membabitkan sarung tangan. Tidakkah kerajaan memikirkan perlunya ada cukai durian runtuh kepada syarikat-syarikat ini?

Tahun lepas kita fikir juga semasa Belanjawan 2021 tapi yang kita risau ialah kesan kepada pelabur asing yang datang melabur di Malaysia. Ia termasuk juga pelabur tempatan kerana syarikat sarung tangan ini kebanyakannya pelabur tempatan. Kalau mereka buat untung luar biasa, kalau kita ada sejarah untuk cukai luar biasa mereka akan bawa pelaburan keluar dari negara kita.

Setelah berunding dengan syarikat sarung tangan sendiri mereka telah bersetuju memberi kerajaan RM400 juta dari segi sumbangan selain daripada cukai kerana lagi banyak untung, lebih banyak cukai yang dibayar sebenarnya.

Tapi kita lihat bukan sektor sarung tangan sahaja yang buat duit, sektor peralatan perubatan dan banyak lagi sektor. Jadi kita kena buat kajian yang betul-betul, buat libat urus dengan semua pihak.

Klik di sini untuk terus membaca